Friday, October 24, 2014

Zahid harus tahu cara tangani ahli politik dibiayai penjenayah - Hazlan Zakaria



KOMEN: Saya harus memuji Menteri Dalam Negeri kerana keberaniannya mendedahkan mengenai dakwaan penglibatan sindiket perjudian haram dalam bidang politik, walaupun saya tertanya-tanya jika dia cukup berani untuk mengambil tindakan sebenar.
Lagipun beliau adalah Datuk Seri Zahid Hamidi, menteri yang terkenal dengan kesediaannya untuk mengambil tindakan terhadap wartawan-wartawan yang tidak mahu bekerjasama.
Seperti katanya kepada media ketika berbicara tentang orang-orang yang dianggapnya sebagai bermasalah, "Saya tahu apa yang perlu dilakukan".
Saya berharap bahawa dia "tahu apa yang perlu dilakukan" apabila ia melibatkan ahli-ahli politik yang didakwa mungkin dibiayai oleh unsur-unsur jenayah.
"Berdasarkan maklumat yang saya terima, ada ahli-ahli politik yang terlibat. Jika mereka mahukan bukti, pihak polis mempunyai buktinya," Zahid dilaporkan berkata kepada pemberita awal minggu ini. 
Walaupun saya tertanya-tanya jika beliau benar-benar sedar bahawa hubungan antara ahli-ahli politik dan elemen jenayah, atau pegawai-pegawai kerajaan dengan elemen-elemen kurang wajar, bukanlah sesuatu yang baru.
Ada sebuah parti politik yang keanggotaannya telah dikaitkan rapat dengan gengster. Dengan beberapa personaliti dalam kepimpinan parti itu dan NGO yang rapat dengannya telah didedahkan sebagai anggota elemen jenayah.
Sebuah lagi parti utama dalam parti pemerintah itu telah dikatakan mempunyai pemimpin-pemimpin yang mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan-kumpulan gengster atau mengambil bahagian dalam kegiatan kongsi gelap itu sendiri. Ada yang dituduh menggunakan samseng untuk “melindungi” kawasan mereka dari ahli-ahli politik pembangkang.
Turut ada desas-desus mengenai seorang tokoh biro aduan terkenal sebuah parti komponen pemerintah yang membantu rakyat dengan memberikan mereka pinjaman, dengan faedah yang tinggi.
Salah seorang pegawai kanan penguatkuasaan undang-undang turut pernah dikaitkan dengan seorang anggota sindiket perjudian sebelum ini. Namun individu ini menafikannya dan sebaliknya menuduh bahawa ahli-ahli politik lain yang memiliki hubungan langsung dengan gangster ini, yang beliau berusaha untuk hentikan.
Walau apapun, penglibatan dunia jenayah dalam bidang politik dan kerajaan kita adalah sebuah rahsia terbuka.
Jadi mungkin Zahid tidak seharusnya bertindak seperti ini adalah sesuatu yang baru, atau hanya dilakukan satu pihak dari spektrum politik. Atau mungkin dia menyedarinya, tetapi tidak mempedulikannya.
Kerana jika dia mempunyai bukti, kita tertanya-tanya mengapa Zahid tidak memastikan yang tindakan diambil. Lagipun saya menganggap yang ianya melibatkan tindakan yang bersifat jenayah dan mesti dihukum di bawah undang-undang yang sedia ada.
Aneh bahawa Zahid memberitahu parti-parti politik itu untuk mengambil tindakan terhadap ahli-ahli politik yang mendapat dana dari elemen ini.
Ini adalah perkara jenayah, bukannya masalah disiplin. Walaupun tindakan oleh parti adalah sesuai, apa yang diperlukan adalah supaya undang-undang ditegakkan.
Maksud saya kita tidak boleh memilih dan hanya menguatkuasakan undang-undang ke atas hal-hal seperti hasutan, dan tidak mengendahkan isu-isu seperti pembiayaan jenayah, salah guna kuasa dan rasuah, bukankah begitu?
Tentu saja kita mungkin dapat beri alasan mengenai kesedaran dan semangat beliau untuk bertindakan dalam hal ini, kerana beliau baru setahun menjadi Menteri Dalam Negeri.
Atau mungkin, ia disebabkan kepentingan politiknya dan pemuliharaan diri sendiri.
Lagipun, jika dia betul-betul mahu mengambil tindakan terhadap semua ahli politik yang didakwa dibiayai oleh dana jenayah, mungkin beliau akan nampak ramai muka-muka yang dikenali dari balik jeriji besi
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Zahid-harus-tahu-cara-tangani-ahli-politik-dibiayai-penjenayah#sthash.7ll7Q2dd.dpuf


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.