Friday, October 3, 2014
Yang tidak berkepimpinan, jangan berkeliaran di Putrajaya lagi.
Harga petrol dan diesel naik lagi hasil dari penarikan balik subsidi bahan api oleh kerajaan sebanyak 0.20 dua hari yang lepas. Belum lagi kita dapat menerima pengenalan GST tidak berapa lama lagi kita dibebankan dengan kenaikan harga bahan api sebanyak 0.20 bagi setiap litre.
Kita bukan tidak menerima hakikat yang akhirnya nanti kita tidak akan dapat mengelak dari penarikan kembali subsidi bahan api ini, tetapi ia dilakukan diwaktu subsidi ini perlu dikekalkan buat sementara waktu kerana rakyat sedang dalam kesusahan yang keterlaluan sekarang ini.
Dalam keadaan harga minyak dunia sedang dalam keadaan menurun sejak beberapa tahun yang lalu kita menaikan harga ‘retail’ bahan api ini tidak henti-henti. Ini bukan masalah kita mahu subsidi itu kekal, tetapi ia adalah masalah waktu dan cara harga bahan api ini dinaikkan.
Sejak 2009 begitu banyak subsidi telah ditarik balik. Nampaknya kerajaan tidak mempunyai keupayaan untuk menambah pendapatan untuk menyelenggarakan negara dengan kadar yang baik dan terpaksa menyelindungi kelemahannya dengan menarik balik subsidi bahan api ini.
Kerajaan sepatutnya buat sementara ini menyelesaikan masalah rakyat yang terhimpit dengan kesempitan ini dahulu, bukannya menggunakan rakyat untuk menyelesaikan masalah kerajaan yang boros dan tidak berbelanja dengan telus seperti yang difahami oleh ramai sekarang ini.
Apabila kerajaan bermasalah sahaja, maka rakyat terpaksa menanggung kelemahan kerajaan menguruskan perbelanjaan negara sedangkan kerajaan tidak pernah menyedari yang rakyat telah berkorban dengan membenarkan subsidi bahan api ini ditarik balik beberapa kali dalam tempoh setahun dua ini.
Yang bermasalah sekarang ini bukannya rakyat, tetapi yang mempunyai masalah sekarang ialah kita mempunyai pemimpin yang bermasalah besar. Pemimpin kita semuanya adalah dari gulungan yang keliru, tidak tahu bagaimana dan cara mana mereka berada diatas sana dan memimpin kita dan negara.
Kita tidak ada ‘planner’ yang baik untuk menyusun dan mengendalikan isu kekurangan pendapatan kerajaan dengan mencari sumber lain selain dari memberikan tumpuan menarik balik subsidi yang sudah begitu besar sejak beberapa tahun yang lepas ini.
Najib sepatutnya berhenti buat seketika bercakap bergegar-gegar hendak membawa negara ini kepada sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 sedangkan rakyat dibawah ini sedang bergelumang dengan kehidupan yang sempit dan memeritkan ini.
Najib lebih mementingkan populariti peribadi beliau dari menangani masalah rakyat yang lebih dari 70 peratus yang berada dibawah purata pendapatan RM3000 sebulan ini. Cerita hendak menaikkan tahap negara berpendapatan tinggi, buat sementara ini masih lagi cerita dongeng Najib ‘and geng’ yang begitu sarat dengan dongengan itu.
Najib sepatutnya bercakap mengikut kadar yang sepatutnya sahaja dan elakkan diri dari hanya berucap tanpa mempunyai asas kukuh untuk mengaku yang negara kita bakal menjadi negara maju menjelang tahun 2020 nanti.
Najib nampaknya bukannya memimpin negara dengan bermodalkan kepada kebijaksanaan atau kemampuan untuk membuat perancangan baik untuik rakyat, tetapi hanya bersandarkan kepada populariti beliau di dalam UMNO sahaja.
Najib jelas mempunyai lidah yang terlalu pantas dari pemikirannya. Najib sepatutnya sekarang berdiri diatas pentas dan mengumumkan yang beliau tidak lagi berdaya untuk menguruskan negara dan mengaku sahaja yang beliau telah gagal dalam serba serbinya dan mengumumkan apa yang sepatutnya yang beliau perlu lakukan.
Jika beliau menyedari keadaan itu, dan mengambil keputusan untuk mengangkat bendera putih dan bersara, maka semua barisan kepimpinan dibawahnya juga sepatutnya turut serta bersara dan memberikan rakyat membuat pilihan yang lain.
Kerajaan sekarang tidak sepatutnya bertahan lagi kerana jika diteruskan juga bertahan dengan memaksa rakyat untuk berkorban terus-terusan, maka kita berada dalam sebuah negara yang akan lumpuh dalam tidak berapa lama lagi.
Najib tidak berhenti-henti bercakap tentang ekonomi, satu subjek ‘which he knows too little’. Nampaknya beliau sama sahaja seperti kemampuan rakyat biasa seperti saya ini.
Takkanlah kerajaan sekarang hanya mempunyai satu kemahiran sahaja dalam kepimpinannya, iaitu untuk menarik subsidi sahaja untuk menyelesaikan masalah kewangan negara.
Kita tidak tahu apakah peranan yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Legislature Negara kerana membiarkan Ketua Kerajaan Persekutuan ini masih dibiarkan berkeliaran (loitering) di Putrajaya itu hanya untuk mengelirukan rakyat.
Tidak boleh kah mereka yang berada di peringkat Dewan Legislatif Negara melakukan sesuatu yang drastik dan berani untuk mencari kepimpinan yang mampu untuk memahami keadaan rakyat yang sangat terhimpit kehidupan mereka ini?
Tidak adakah di kalangan mereka ini mengenepikan sedikit masa untuk berfikir untuk membantu rakyat yang dalam keperitan ini? Bukankah berfikir sejenak itu lebih baik dari beramal sepanjang malam?
Najib, Muhyidin dan lain-lain diatas itu patut berkorban untuk rakyat. Berkorban bukan hanya dengan memegang jawatan. Meletakkan jawatan untuk kepentingan negara juga adalah pengorbanan.
Elok letak jawatan sekarang daripada di letakkan jawatan mereka ini oleh rakyat dalam pilihanraya yang akan datang. Pemimpin kerajaan (UMNO) sekarang ini jangan mengekalkan kuasa semata-mata disebabkan kekalutan yang sedang berlaku dipihak pembangkang sekarang sahaja.
Posted by Aspan Alias
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.