KUALA LUMPUR: Kesesakan luar biasa
berlaku di stesen minyak di Lembah Klang berikutan pengumuman kenaikan
harga petrol dan diesel mulai tengah malam ini.
Pengumuman kenaikan harga itu dibuat
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hari ini
berikutan pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen
seliter, berkuat kuasa 12.01 pagi, 2 Okt 2014.
Sehubungan itu harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.
Harga pasaran bagi petrol RON95 pada masa ini ialah RM2.58 seliter dan harga diesel RM2.52 seliter.
Tinjauan Bernama di beberapa stesen
minyak Petronas, Shell, Petron dan Caltex di sini mendapati orang ramai
berpusu-pusu dan beratur panjang sejak pukul 8.30 malam. (Foto atas
dipetik dari blog Omak Kau)
Kebanyakan pengguna menerima realiti
kenaikan harga bahan api itu namun berharap kerajaan mengumumkan lebih
awal agar senario kesesakan setiap kali berlaku kenaikan harga minyak
tidak berulang.
Seorang kakitangan kerajaan, Hasbullah
Ahmad, 25, berkata beliau segera ke stesen minyak sebaik mendengar
pengumuman kenaikan harga itu.
"Jadi bila dapat tahu saya terus keluar
isi minyak dan terpaksa menunggu giliran kira-kira 20 minit, itupun saya
bernasib baik kerana sampai (ke stesen minyak) lebih awal," katanya
kepada Bernama.
Pensyarah sebuah kolej swasta, Noraisha
Abdul Razak, 23, berkata beliau terkejut dengan pengumuman itu kerana
tidak mendengar ura-ura kenaikan harga minyak sebelum ini.
"Saya hanya mengetahui kenaikan ini setelah melihat suasana sesak dan banyak kenderaan mengerumuni stesen minyak," katanya.
Juruteknik, Amirul Haslam, 22, pula
meluahkan kebimbangan kenaikan harga bahan api itu akan menyebabkan
harga keperluan asas turut meningkat sekali gus menjejaskan kos sara
hidup.
"Selalunya kalau harga minyak naik,
harga barang lain pun naik, ia akan bebankan rakyat terutama golongan
berpendapatan rendah," katanya.
Peniaga kuih, K.Selvi, 50, pula berkata beliau juga risau kenaikan harga minyak itu turut memberi kesan kepada perniagaanya.
"Harap kerajaan beri insentif untuk bantu kenaikan kos ini," katanya.
Seorang pegawai bank, David Lim, 30, pula berharap tiada kenaikan lagi akan berlaku dalam masa terdekat.
"Kita terpaksa menerima kenaikan itu
tetapi berharap kerajaan mengambil inisiatif untuk meningkatkan lagi
ekonomi bagi memastikan pemberian subsidi dapat dikekalkan kepada
rakyat," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.