Saturday, October 25, 2014

Menteri: Hospital Shah Alam beroperasi 2015

   

Hospital Shah Alam dijangka beroperasi pertengahan tahun depan dengan proses pentauliahan peralatan dan kelengkapan perubatan kini giat dijalankan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata 2,300 bilik dan ruang di kompleks bernilai RM410 juta itu memerlukan pemeriksaan teliti termasuk proses percubaan peralatan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

"Sekarang adalah proses penerimaan dan pentauliahan peralatan yang semuanya perlu diperiksa dengan teliti. Kita harap ia dapat disiapkan dalam tempoh lima bulan akan datang.

"Jabatan yang terlibat dengan pembinaan bangunan akan memohon kepada Majlis Bandaraya Shah Alam untuk mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi kompleks hospital ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek itu di Seksyen 7 di Shah Alam semalam.

Menurut Subramaniam, hospital yang sepatutnya mula beroperasi pada 2011 itu gagal disiapkan mengikut jadual, menjurus kepada kontraktor baharu dilantik pada tahun sama untuk menyiapkannya.

Subramaniam berkata hampir 94 peratus kompleks itu telah siap dan sedang dalam proses akhir memperindah serta mempersiap segala kelengkapan hospital sebelum dibuka kepada umum.

Dalam pada itu, beliau berkata sistem kawalan aset sama ada bangunan atau kelengkapan hospital perlu diperkemas.

Katanya, ini kerana aset-aset yang dimiliki kerajaan terutama di hospital mempunyai nilai yang tinggi.

"Kerajaan perlu beri penekanan untuk wujudkan sistem kawalan terperinci dengan perkembangan teknologi canggih masa kini kerana sekarang kita masih lagi menggunakan sistem yang agak ketinggalan zaman," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.