Pengerusi
pertubuhan MyWatch R Sri Sanjeevan mengundang reaksi sinis selepas
didedahkan membida untuk nombor plat 'BMW' dengan harga RM340,000.
Anggota Kabinet, hakim, dan kerabat diraja adalah pemenang bidaan yang
tidak dinamakan bagi nombor pendaftaran "BMW", kata Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ).
JPJ berkata, nama pemenang bidaan itu dirahsiakan adalah prosedur biasa
yang diamalkan bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat.
Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad turut menafikan jabatan berkenaan
memberi lima nombor pendaftaran eksklusif yang tertera "Anggota
Pentadbiran Kerajaan" secara percuma.
Ismail memberitahu The Malaysian Insider, pembida yang tidak dinamakan
itu turut membayar bagi nombor pendaftaran BMW 1, BMW 2, BMW 7, BMW 9
dan BMW 10, namun enggan mendedahkan jumlah bidaan mereka yang diterima
JPJ.
"Mereka bida nombor-nombor pendaftaran itu dan memenanginya. Kami tidak
dedahkan nama dan jumlahnya untuk mengelakkan persepsi negatif
masyarakat," kata Ismail kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata amalan berkenaan merupakan prosedur operasi standard
(SOP) JPJ dan tidak berbangkit isu ketelusan berhubung perkara itu.
"Ini amalan kami. Ia bukan soal ketelusan. Ini SOP dan kami tiada niat buruk merahsiakan maklumat itu.
"Kami mahu mengelakkan spekulasi. Selagi mana-mana individu ada duit dan
melakukannya dengan cara yang sah untuk memperolehi nombor itu, mereka
boleh memilikinya tanpa mengira siapa mereka," kata Ismail.
Beliau juga berkata SOP berkenaan adalah untuk tidak mendedahkan nama
pembida yang merupakan kerabat diraja, atau kerabat rapat kepada Yang Di
Pertuan Agong.
Lima pembida yang tidak didedahkan identitinya timbul selepas aktivis
anti jenayah, R Sri Sanjeevan dikritik kerana membida bagi nombor
pendaftaran BMW 8 dan BMW 11 dengan harga RM340,000.
Pengerusi pertubuhan MyWatch itu turut disenaraikan bersama pembida yang
berjaya memenangi bidaan bagi nombor pendaftaran bermula BMW 1 hingga
BMW 12 dengan JPJ Selangor.
Turut tersenarai adalah lima pemenang yang tidak dinyatakan butiran lanjut bidaan mereka.
Perkara itu menimbulkan spekulasi di media sosial anggota kerajaan berkenaan menerima nombor tersebut secara percuma.
Ismail berkata hanya Yang di-Pertuan Agong boleh memiliki nombor
pendaftaran percuma lebih dari satu, namun masih tertakluk kepada
beberapa kuota.
Bagi menteri pula, kata Ismail, mereka hanya diberikan sebuah nombor pendaftaran kenderaan secara percuma.
"Jika hendak lebih, mereka perlu bayar kerana kelebihan yang diberikan hanya satu nombor pendaftaran percuma.
"Individu yang mendapat lebih dari satu nombor pendaftaran percuma
adalah Yang di-Pertuan Agong, namun itu pun ada kuotanya," kata Ismail.
"Jumlah untuk nombor panas seperti ini boleh mencecah tiga, empat kali
ganda berbanding nombor pendaftaran biasa. Itu sahaja yang boleh saya
kata," katanya.
"Jadi jika nombor normal dijual pada RM1 juta, untuk jenis ini, boleh jadi RM3 juta hingga RM4 juta," kata Ismail.
Nombor pendaftaran kenderaan bermula dengan BMW dibuka untuk bidaan pada 14 Ogos hingga 28 Ogos di semua premis JPJ.
Ikon badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei juga turut tersenarai
sebagai pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran BMW 6 dengan jumlah
RM97,777 sementara Tengku Ahmad Shah memenangi bidaan BMW 3 dengan
harga RM132,000.
Nombor pendaftaran BMW 5 dimenangi Tengku Sulaiman Shah dengan RM188,100.
Kejayaan Sanjeevan mendapatkan nombor pendaftaran BMW 8 dan BMW 11
dengan bayaran hampir RM340,00 mengundang reaksi sinis di Twitter.
Ketika menjawab soalan pengguna Twitter @saifuyoo yang bertanyakan sama
ada beliau menabung sedari kecil untuk membeli nombor plat berkenaan,
Sanjeevan berkata: "Yes tepat sekali... Haha!"
Beliau berkata bukanlah sesuatu yang mengejutkan dapat membeli nombor
plat dengan harga berkenaan kerana pengasas Facebook Mark Zuckerberg
mampu menjadi seorang hartawan.
"Biarkan mereka berkata apa yang mereka mahu kerana akhirnya itu adalah
duit hasil gigih saya dan terpulang bagaimana saya membelanjakannya.
"Mark Zuckerberg seusia dengan saya tetapi dia seorang bilionair. Ada
saya merungut? Tidak, saya bersaing," katanya menjawab pelbagai
pertanyaan pengikutnya di Twitter.
Sanjeevan terselamat dalam insiden ditembak di dada Julai tahun lalu
oleh seorang penunggang motosikal ketika sedang memandu kenderaan jenis
BMW miliknya di Negeri Sembilan selepas beberapa hari membuat dakwaan
terdapat perlakuan rasuah dalam jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). –
tmi
Bloglist Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.