Saturday, October 4, 2014

Dari Melati kepada macai yang nama “KuntaKinte Malaysia” tu...

 

Aktivis dan ahli DAP, Jamila Rahim, seorang wanita Islam berpurdah, lebih dikenali sebagai Melati, percaya tidak wujud konflik antara keimanannya dengan parti yang disertai, walaupun ia membawa ideologi sosialis dan sekularis.

“Saya tertarik kepada DAP kerana ia menolak politik perkauman dan fokus kepada keadilan dan kebajikan.

“Islam menganjurkan kebajikan dan kemanusiaan,” katanya.

Aktivis berusia 22 tahun itu menerima kritikan hebat minggu ini selepas ramai mengetahui beliau menyertai DAP, dengan seorang penulis blog Melayu hingga berkata lebih baik Melati jadi pelacur.

Kepada mereka yang membencinya, Melati ada jawapan ini:”Allah tidak pernah beri sesiapa hak untuk menghina orang lain.”

Beliau yang juga seorang penulis novel berkata kepada The Malaysian Insider tidak pernah menjangka hentaman sedemikian terhadapnya hanya kerana menyertai DAP.

“Hanya kerana saya berpurdah, orang anggap saya patut hadkan tindakan. Tetapi saya ada hak untuk buat apa yang saya mahu dan saya tidak firkin menyertai DAP itu salah.

“Saya menyertai sebuah parti; Saya tidak jual agama. Saya tidak tukar agama. Saya masih Islam,” katanya.

Seorang penulis blog dengan nama “KuntaKinte Malaysia” menulis keputusan Melati untuk menyertai DAP adalah sama seperti menjual diri dan agamanya untuk kekayaan yang ditawarkan.

"Pelacur yang menjual diri tidak akan menghakis kedudukan kebesaran Islam di negara ini, tapi mereka yang menyertai DAP sedang membantu menghancurkan kedudukan Islam di Malaysia.

"Hakikatnya, lebih mulia jadi pelacur yang menjual diri untuk sesuap nasi, dari mereka yang bertudung dan berpurdah 'menjual diri' kepada DAP untuk kesenangan dunia sehingga melemahkan Islam," katanya di laman sosial www.mykmu.net.

Penghinaan penulis blog itu tidak meruntuhkan Melati.

“Mereka mempersoalkan keimanan saya dalam Islam, tetapi mereka sendiri tidak melakukan perkara yang betul dengan menghina saya. Islam tidak pernah mengajar kita untuk hina orang seperti itu,” katanya.

Beliau berkata, kritikan itu umpama api kepadanya, tetapi ia tidak membuatnya menyesal menyertai DAP atau memakai purdah.

“Dalam Islam, berpurdah tidak wajib, ia Sunnah. Dan saya buat keputusan memakainya kerana saya percaya ia adalah hak saya,” katanya.

Melati melihat agama sebagai perkara peribadi, dan tidak seperti PAS, yang mahu menukar Malaysia kepada negara Islam dan melaksanakan hudud, beliau mengambil pendirian lebih pragmatik berhubung isu berkenaan.

“Agama adalah hak peribadi seseorang. Kita tidak boleh paksa orang jadi seperti kita, dan kita tidak boleh paksa orang buat apa yang kita mahu.

“Jika kita lihat kenyataan Tunku Abdul Rahman, beliau berkata Malaysia adalah negara sekular, tetapi Islam adalah agama rasminya.

“Saya orang Islam, dan hudud disebut dalam Al-Quran. Saya tidak menolaknya. Tetapi untuk melaksanakannya dalam negara berbilang bangsa dan agama …

“Ia seperti apa yang (bekas mufti Perlis) Dr Mohd Asri Zainul Abidin said, kita perlu menyelesaikan isu lain dulu, seperti membanteras rasuah,” katanya.

Mempunyai 7 adik beradik, Melati menamatkan pengajian dari Universiti Selangor dengan diploma Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua pada 2011.

Tetapi beliau memilih untuk mengajar di sebuah rumah kebajikan yang kekurangan kakitangan di Teluk Intan yang menempatkan 70 penghuni dengan pelbagai ketidakupayaan.

“Saya beritahu diri ini, jika saya tidak buat, siapa yang hendak buat,” katanya, ketika ditanya mengapa bekerja di tempat itu.

Bekerja di rumah kebajikan membuka matanya kepada diskriminasi yang dialami orang kurang upaya, dan mendorongnya untuk menjadi aktivis dan membela mereka.

Melati berkata, beliau terkesan dan sangat kasihan kepada golongan tertindas dan mereka yang dieksloitasi, dan ia tercermin menerusi penulisannya – novelnya Pelacur Kelas Pertama adalah mengenai pelacur, isteri yang didera dan pengantin yang diculik menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

“Menerusi DAP, Insya-Allah, saya akan boleh membela mereka yang kurang upaya, dan bantu memperkenalkan pendidikan terapeutik kepada mereka.

“Mereka adalah kumpulan terpencil yang mendapat perhatian sangat sedikit. Saya juga mahu fokus kepada hak wanita, dan kebajikan untuk semua,” katanya.

Katanya, beliau tidak berminat dengan kedudukan politik dalam parti, dan tidak ada rancangan untuk berbuat demikian pada masa depan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk jadi Adun atau ahli Parlimen. Saya menyertai DAP untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Melati berkata, keluarga dan rakan menyokong keputusan itu walaupun mereka di luar lingkungan yang mengenalinya tidak begitu mengalu-alukan idea berkenaan.

“Di Malaysia, masalah perkauman sangat tinggi. Jadi bila saya masuk DAP, rakan kepada sahabat baik saya rasa saya khianati Melayu. Jadi mereka suruh rakan jangan berkawan dengan saya.

“Rakan dan keluarga berdepan banyak tekanan mengenai perkara ini, tetapi mereka tidak lepaskan kepada saya. Mereka melindungi saya daripada tekanan itu,” katanya.

Tetapi Melati sudah biasa dengan kontroversi – beliau menceritakan menerima mesej ancaman di telefonnya selepas menyertai bantahan untuk pendidikan percuma 3 tahun lalu.

“Ketika saya masih belajar di Unisel, orang tidak dikenali hantar mesej kepada saya cakap mahu pukul saya, rogol saya, hanya kerana mereka tidka setuju saya menyertai bantahan seumpama itu,” katanya.

Melati berkata, beliau tidak menghiraukan pesanan itu, dan memilih untuk melakukan perkara sama kali ini ketika berdepan dengan hinaan dan gelaran yang mencercanya di Internet.

“Kita tidak boleh halang orang bercakap apa yang mereka mahu. Jika saya balas, ia akan berterusan, jadi, saya hanya tunggu mereka penat dan berhenti,” katanya.

Ketika ditanya mengenai harapannya untuk masa depan Malaysia, Melati berkata beliau mahu kerajaan memperuntukkan lebih banyak bantuan kepada golongan kurang upaya dan yang memerlukan, selain menghentikan rasuah.

“Bagi masa depan saya – dalam tempoh 5 tahun, saya harap dapat membuka rumah kebajikan saya sendiri,” katanya lapor The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.