KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar
Abdul Samad berkata, jika PAS menolak kerusi Timbalan Speaker Selangor,
ia adalah kerana tidak mahu Adun PAS yang tidak dilantik sebagai exco,
disibukkan dengan tugas itu sehingga menjejaskan tugas asasi mereka.
Bagaimanapun
katanya, sehingga kini, PAS Selangor belum lagi membuat apa-apa
keputusan berhubung tawaran itu dan akan memuktamadkan perkara tersebut
sebelum Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada November akan datang.
"Satu keputusan akan dibuat sebelum sidang DNS bermula.
"Jika
PAS menolak adalah kerana PAS mahukan kesemua Adun PAS yang tidak
dilantik menjadi Exco dapat berperanan sepenuhnya sebagai Adun di dalam
DNS dan tidak disibukkan dengan tugas sebagai Timbalan Speaker,” katanya
dipetik Selangor Kini.
Semalam, Iskandar yang juga Adun Chempaka
menulis di Facebokk bahawa PAS masih belum memutuskan sama ada menerima
atau menolak tawaran tersebut.
Beliau berkata, pertemuan exco
dan mantan exco PAS dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi
Awang malam semalam juga tidak membuat keputusan berhubung perkara itu.
Sebelum
ini, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengumumkan tiga Adun PAS dilantik
sebagai Exco iaitu kurang satu kerusi berbanding empat sebelum ini.
Bagaimanapun
menurut Azmin, PAS akan diberi jawatan Timbalan Speaker yang telah
dikosongkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilantik sebagai salah seorang
dari empat exco PKR.
Azmin membariskan pasukan exconya mengikut komposisi 4 PKR, 3 DAP dan 3 PAS.
Dua
exco dari PAS yang dikekalkan adalah Iskandar Abdul Samad (Chempaka)
dan Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), manakala seorang lagi muka baru
adalah Adun Taman Templer Zaidy Abdul Talib.
Dua exco PAS sebelum
ini pula iaitu Dr Halimah Ali (Selat Klang) dan Sallehen Mukhyi (Sabak)
bagaimanapun tidak dikekalkan dalam kabinet baru Azmin.
- HARAKAHDAILY 29/9/2014
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.