Tuesday, September 30, 2014

Segarkan terus politik tahaluf - MOHAMED HANIPA MAIDIN

 
Berjuang atas parti Islam bukan suatu yang mudah kerana pendukungnya membawa mesej Islam ke tengah-tengah masyarakat. Apabila PAS membawa mesej Islam tidak dapat tidak rakyat akan mengaitkan segala tindak tanduknya dengan Islam. 
 
Jika ada tindak tanduk PAS yang dilihat tidak selari dengan Islam maka bukan sahaja imej PAS yang akan tercalar imej Islam juga turut sama tercalar. Di sinilah beban besar yang ditanggung oleh PAS.

Muktamar PAS baru berlalu. Muktamar PAS kali ini mengukir banyak sejarah yang manis dan yang pahit. Sejarah manisnya buat kali pertama PAS berjaya mengadakan muktamarnya di Johor. Semua tahu betapa sukar bagi PAS untuk melebarkan sayapnya di Johor - negeri yang sinonim dengan Umno.

Namun kecemerlangan muktamar PAS malangnya diselit dengan beberapa adegan yang sedikit sebanyak mencacatkan sedikit sebanyak jati diri dan imej PAS. Adegan beberapa orang perwakilan Pemuda meninggalkan dewan semasa ucapan perasmian Timbalan Presiden PAS dalam muktamar Pemuda PAS dan adegan dalam muktamar penuh PAS khususnya adegan perwakilan Wilayah Persekutuan membaca doa yang penuh dengan kata-kata yang tidak mencerminkan sebuah doa dan adegan mengeboo oleh para pemerhati menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak..apa sudah jadi pada PAS? Di mana akhlak orang orang PAS yang selama ini dicemburui oleh rakan-rakan dan musuh-musuh politik PAS?

Apa pun muktamar PAS masih tetap tegas berpegang kepada keputusan mengukuhkan tahaluf Pas bersama Pakatan Rakyat.

PAS adalah parti politik yang terlibat dalam sistem demokrasi. Penyertaan dalam politik adalah suatu keperluan bagi mendapatkan kuasa di mana kuasa itu pula perlu bagi melaksanakan agenda agenda Islam dalam aspek pentadbiran dan kenegaraan.

Dalam sistem demokrasi kuasa disandarkan kepada rakyat maka bagi mendapatkan kuasa, parti politik termasuk PAS tidak boleh berpisah dari rakyat. Dr Ali Shariati menggambarkan kalimah al-nas di dalam Al Quran dengan istilah rakyat dan para Nabi dan Rasul adalah memimpin al-nas.

Rakyat Malaysia adalah pelbagai kaum , bangsa dan agama. Maka PAS tidak ada pilihan selain menerima hakikat realiti komposisi rakyat Malaysia yang ditakdirkan begitu. Atas dasar itu sebagai parti politik PAS perlu mendekati seluruh rakyat Malaysia bagi mendapatkan sokongan jika ingin berkuasa di negara ini.

Sejarah PAS menunjukkan bahawa apabila ia bergerak bersendirian PAS hanya mampu menawan negeri negeri di pantai timur yang majoritinya berbangsa melayu dan beragama Islam. Maka tidak dapat tidak bagi mendapat sokongan orang bukan Islam dan bukan Melayu, bergerak secara solo, buat masa ini, bukan suatu opsyen bagi PAS.

PAS tidak boleh elak selain mengadakan kerjasama dan kesepakatan politik dengan parti parti politik yang mempunyai agenda yang substantifnya sama dengan PAS meskipun berlainan ideologi.

Melalui Pakatan banyak manfaat yang PAS perolehi jika PAS bijak mengambil peluang manfaat itu. PAS kini boleh memasuki ruang dan wilayah yang selama ini tidak boleh ditembusi atau sukar dimasuki oleh PAS. Ini, bagi saya satu imbuhan kepada PAS apabila ia bersama PR.

Politik tahaluf berpremiskan kesediaan menerima kepelbagaian bagi berhadapan musuh yang sama. Di situlah signifikannya hilfu al fudul iaitu kesepakatan atau tahaluf antara orang orang jahiliyyah bagi menentang musuh mereka yang sama yang dilakukan di rumah Abdullah ibn Judan, pemimpin bani taym yang mana Rasulullah s.a.w (ketika itu baginda masih belum menjadi Rasul) turut hadir di rumah tersebut dan menyaksikan hilfu al fudul tersebut.

Apa yang menarik Rasulullah s.a.w menyatakan jika Baginda masih diminta untuk mengambil bahagian dalam pakatan seperti itu ketika waktu ini (waktu Baginda sudah pun menjadi Rasul), Baginda merasa gembira untuk menerimanya. Hatta Rasulullah s.a.w menyanjungi pakatan tersebut yang Baginda sifatkan sebagai suatu yang amat cemerlang sehingga Baginda tidak akan sama sekali menukar ganti pakatan tersebut sekalipun diminta ditukar ganti dengan sekumpulan unta merah yang tinggi nilainya.

Dalam buku kupasan mengenai seerah oleh Dr Tariq Ramadan dalam bukunya bertajuk "In the footsteps of the Prophet..lessons from the life of Muhammad", penulis menulis antara lain: "Di sini Rasulullah s.a.w secara jelas mengakui keesahan prinsip keadilan dan prinsip membela golongan yang tertindas yang dipersetujui oleh satu pakatan sebelum era Islam. Keduanya Rasulullah s.a.w juga mengakui keesahan berpegang kepada prinsip keadilan dan membela golongan yang dizalimi tanpa mengira prinsip itu datang dari dalam kerangka Islam itu sendiri atau di luar kerangka Islam."

Di sini juga menunjukkan mesej Islam bukanlah satu sistem nilai yang tertutup (a closed value system) yang sepanjang masa bercanggah atau berkonflik dengan sistem nilai yang lain.

Kepelbagaian bukan suatu yang mudah untuk diuruskan melainkan ada satu sikap toleransi dan tahap kesabaran yang tinggi. Tanpa toleransi dan kesabaran tahaluf sukar untuk dipertahankan. Toleransi dan kesabaran akan mudah dicapai jika PAS memahami bahawa Islam tidak tertegak atas retorik semata mata sebaliknya ia dimanifestasi melalui satu kepercayaan yang jitu dan kental ke atas kehebatan Islam dan pembawa mesej Islam itu sendiri.

Tahaluf juga bagi saya memerlukan satu persiapan mental dan jiwa dari semua lapisan dalam PAS menyesuaikan diri dengan kaedah dan wasilah baru dalam merealisasikan hasrat dan cita-cita PAS.Kegagalan menyesuaikan diri dalam politik tahaluf akan mengancam kestabilan tahaluf itu sendiri.

Mereka yang selesa berjuang bersendirian dan enggan menyesuaikan diri mereka dengan politik tahaluf akan mudah mengalah dan kecewa. Begitu juga mereka yang tidak melihat Islam dalam bentuknya yang holistik dan universal khususnya Islam sebagai rahmah kepada alam sebaliknya lebih selesa memilih untuk menyampaikan Islam dalam bentuk hukum akan terasa tahaluf melambatkan proses untuk "memenangkan Islam".

Apabila PAS menggagaskan idea Negara Kebajikan dan PAS for all, bagi saya, ia adalah satu bentuk penyesuaian diri dan kebijaksanaan PAS bagi menjayakan proses tahaluf siyasi ini. Kedua dua idea ini telah berjaya membantu PAS mendekati segmen rakyat yang dahulunya terlalu prejudis dengan PAS!

Selagi PAS bergerak mengguna wasilah demokrasi dan muwajahah silmiyyah maka PAS mesti sedar bahawa ia terlibat dalam pertembungan idea dan pemikiran. Idea dan pemikiran tidak boleh dipaksakan ke atas sesiapa. 
 
Idea yang dipaksa untuk diterima tidak akan mampu bertahan lama. Idea dan pemikiran perlukan pujukan dan rayuan dengan menggunakan bahasa dan hujah yang terang dan nyata, rasional, logikal dan tidak bersifat judgmental (menghukum), munasabah dan tidak memaksa, lembut tanpa apologetik.

Di sinilah perlunya para pimpinan tertinggi PAS mendidik semua lapisan dalam PAS supaya membudayakan dialog atau hiwar dan memilih pendekatan inklusif dan bukannya eksklusif dalam berhadapan masyarakat yang rencam tabiat dan kelakuannya. 
 
Tanpa kesedaran ini akan berlakunya kontradiksi berpanjangan antara pendirian PAS dan tindak tanduknya. Pendiriannya bertahaluf tapi tindak tanduknya menghancurkan tahaluf!

Jika tahaluf gagal jangan salahkan orang lain salahkan diri kita sendiri!


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.