Monday, September 29, 2014

Pesta buang pekerja kerajaan BN


INGAT lagi cerita Yiked Holdings Sdn Bhd (YIKed) yang disaman RM11 juta di penghujung pentadbiran Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak dahulu?

Menurut fakta kes, mahkamah telah mengarahkan YIKed membayar RM11 juta kepada Syarikat Senisinga Sdn Bhd. Ia ekoran kegagalan YIKed menyelesaikan masalah tanah yang telah dipersetujui bersama dengan syarikat berkenaan dalam satu projek besar yang telah dimulakan sejak zaman Menteri Besar BN, Tan Sri Osman Aroff lagi.

Long Island Development Sdn Bhd iaitu syarikat bersama YIKed dan Long Island Properties bertanggungjawab menebus 16 keping tanah yang digadai kepada Southern Bank Berhad tetapi telah gagal berbuat demikian.

Rentetan itu, syarikat Senisinga Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat yang mengambil alih pinjaman tidak berbayar Southern Finance Berhad bertindak menyaman YIKed RM11 juta dan telah berjaya di mahkamah.

YIKed dilaporkan telah membayar sebanyak RM300,000 bermula 27 Ogos 2012 lepas dan bakinya akan dibayar ansuran sehingga bersambung di bawah pentadbiran Dato' Paduka Mukhriz Mahathir yang mengambil alih Kedah pada Mei 2013.

Jumlah RM11 juta yang dibazirkan angkara kerajaan BN sebelum Mac 2008 termasuk dalam senarai RM403 juta penyelewengan dan pembaziran yang berlaku di zaman BN dahulu. Ustaz Azizan terpaksa berhempas pulas mencari duit untuk melunaskan semua pembayaran yang dipaksakan itu. “Tak dak duit nak bayar, aku tebang balak,” seloroh Ustaz Azizan dalam satu sidang media di Stadium Suka Menanti.

Hebatnya pentadbiran Ustaz Azizan, bagaimana tenat pun menghadapi masalah kewangan dalam GLC beliau tidak pernah mengizinkan tindakan zalim memecat staf hanya kerana kekangan kewangan. Kolej Universiti Insaniah (KUIN) adalah antara yang hadapi masalah kewangan sehingga gaji lewat dibayar.

Pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat berusaha mencari duit menyelesaikan masalah yang berlaku. Namun membuang pekerja sewenang-wenangnya tidak berlaku.
Hari ini seluruh negara dikejutkan dengan tindakan YIKed (merupakan anak syarikat Yayasan Islam Negeri Kedah) memberhentikan 28 staf serentak dengan alasan prestasi syarikat tidak memberangsangkan, syarikat menanggung perbelanjaan operasi yang tinggi, perolehan tidak dapat menampung kos operasi dan alasan penstrukturan semula syarikat.


“Saya difahamkan, pemberhentian dilakukan secara sukarela dan tanpa paksaan,” ujar Exco kerajaan negeri Dato' Mohamad Rawi Abdul Hamid. Jurucakap 28 staf yang dipecat, Fadhlurrahman Zawawi pula menegaskan bahawa kesemua staf diberhentikan tanpa sukarela. Cakap Exco yang tidak boleh dipakai. Dalam keadaan negara mengalami kemelesetan ekonomi, kedudukan kewangan rakyat yang gawat akibat kenaikan kos sara hidup dan sukarnya rakyat untuk mendapat peluang pekerjaan; tidak munasabah staf Yiked mahu diberhentikan secara sukarela.

Antara yang diberhentikan, ada yang sudah berkhidmat sehingga 17 tahun dan kesemua staf adalah bertaraf pekerja tetap. Hilang pekerjaan adalah merupakan perkara besar. Banyak komitmen yang ditanggung oleh mangsa daripada perbelanjaan harian hinggalah ansuran tetap bulanan untuk semua pinjaman yang perlu dilunaskan. Bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan baharu dengan segera.

Baru bulan lalu, Dewan Undangan Negeri Kedah dikejutkan dengan pendedahan pembangkang perihal kegagalan projek pertanian Kedah Agro di Bukit Tangga. Ramai pekerja yang diberhentikan atau lari begitu sahaja setelah tidak menerima gaji dalam tempoh yang panjang. Semuanya gara-gara kegagalan kerajaan BN menguruskan projek dengan baik, rugi dan tiada sumber kewangan untuk meneruskan.

Dalam isu pemberhentian staf YIKed, kerajaan negeri bersikap lunak kononnya sedia membantu mereka yang diberhentikan kerja. “Saya akan cuba bantu mereka sebaik mungkin,” janji Mukhriz penuh lunak apabila diajukan persoalan pemberhentian staf YIKed itu. Janji seumpama itulah juga yang dibuat dahulu terhadap staf Insaniah Holding yang tidak dibayar gaji berbulan-bulan sejak BN ambil alih kerajaan. Akhirnya ramai yang tidak tahan dengan penderitaan yang ditimpakan mengambil jalan keluar dengan berhenti.

Sebagai Menteri Besar, Mukhriz sudah tahu dari awal pembuangan pekerja beramai-ramai di YIKed. Kalau nak tolong tak berlaku berlakon, sediakan dahulu tempat alternatif untuk mangsa pemberhentian. Atau serapkan mereka ke dalam pentadbiran negeri. Hakikatnya, tiada tempat lagi yang boleh diisi dalam kerajaan atau GLC. GLC lain juga sedang alami penstrukturan. Ada staf yang sudah dibuang dan akan dibuang. Staf sedia ada pun nak dikurangkan, maka tak berbangkit lagilah pengambilan staf baharu. Semua itu cuka lakonan lunak BN Kedah dengan bermain kata-kata.

Semua yang berlaku menunjukkan betapa BN gagal menguruskan dengan baik GLC. Syarikat yang boleh buat untung pun tenat, apatah lagi yang syarikat yang tidak memberangsangkan. Kemungkinan ditutup lebih banyak daripada terus beroperasi.

Sejak berzaman BN mempamerkan rekod pengurusan GLC yang sangat teruk. ‘Kemampuan’ mereka hanyalah menguruskan duit yang disediakan oleh Pusat. Untuk menambah dana negeri dengan mencari sendiri, maaflah memang BN tiada kemampuan.

Baru-baru ini akibat terlalu boros dan habis duit dalam kantung negeri, maka Majlis Mesyuarat Exco terpaksa minta peruntukan tambahan dari Pusat sebanyak RM4 juta. Pusat luluskan tetapi tiada ramai tahu kemana menghilangkan duit tersebut.

Dari awal kita sudah menjangkakan bahawa menyerahkan pentadbiran kerajaan dan GLC kepada BN ibarat menyerahkan bunga pada kera.

Namun apa boleh buat, rakyat terbanyak yang buat pilihan. Sekarang rakyat terbanyak Kedah juga ramai yang menyesal. Kesilapan mengundi BN terpaksa ditanggung dalam tempoh agak panjang. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.