Sunday, September 28, 2014

PERKASA cabar Marina Mahathir kemuka bukti tuduhan !!


Brehem Ingat Semua Orang Buta Dan Tuli Ke?

 
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mencabar Marina Mahathir kemuka bukti atas tuduhan pertubuhan itu dapat hak istimewa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 September, 2014. 

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini mencabar anak perempuan bekas perdana menteri, Datin Paduka Marina Mahathir terhadap sindirannya ke atas Utusan Malaysia dan pertubuhan tersebut yang mengatakan mereka mendapat keistimewaan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata Marina tidak wajar membuat tuduhan sedemikian jika tidak mempunyai bukti serta menyatakan kesediaan didakwa jika ada kebenaran atas tuduhannya.

"Jangan cakap hanya berasaskan kepada persepsi yang tidak ada bukti. Jika benar Perkasa melanggar undang-undang negara, boleh dakwa kita," kata Ibrahim yang dipetik berkata dalam edisi Mingguan Malaysia hari ini.

 

Marina baru-baru ini menyindir akhbar milik Umno Utusan Malaysia, mengatakan ia mempunyai kebebasan bersuara mutlak tidak seperti akhbar lain yang tidak memiliki keistimewaan sebegitu.

"Utusan ada kebebasan mengkucar-kacirkan keadaan," kata anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad itu semasa Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia baru-baru ini.

Marina berkata, kumpulan pejuang hak Melayu, Perkasa, menikmati layanan istimewa dan mendapat ruang didengari media berbanding kumpulan lain.

Ibrahim juga membidas kenyataan Marina dengan mempersoalkan adakah menjadi kesalahan bagi mereka untuk memperjuangkan perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan seperti hak keistimewaan kaum Melayu.

"Adakah dengan memperjuangkan asas Perlembagaan termasuk hak dan keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan juga Raja-Raja Melayu menjadi kesalahan dan melanggar undang-undang negara," katanya.

Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan rapat dengan pemerintah yang lantang dan membangkitkan isu melibatkan hak kaum Melayu dan agama Islam.

Bagaimanapun tindakan yang diambil Perkasa sering mencetuskan kontroversi kerana didakwa cuba mengapi-apikan bahang perkauman dan tidak sensitif kepada kaum dan agama lain. – 28 September, 2014. - TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.