Tuesday, September 30, 2014

Nik Abduh, Tantawi jangan terlajak sangat DAP & PKR masih rakan tahaluf

Sempoi punya Nik Abduh & Tantawi di tegur... Jangan terlajak sangat..!! 

Ekoran kritikan terbuka perwakilan PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim, terhadap kerajaan negeri pimpinan DAP dalam Muktamar Tahunan ke 60 baru-baru ini, beliau telah digantung tugas sebagai Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). 

Sebagai wakil negeri, tentulah beliau tidak bercakap atas sifat peribadi. Suaranya di muktamar adalah suara rasmi PAS Pulau Pinang.


PAS negeri mempunyai banyak saluran untuk membuat teguran agar tidak mencalarkan imej kerajaan Pakatan Rakyat. Mereka boleh membangkitkan dalam mesyuarat ahli majlis kerajaan tempatan, bertemu Exco berkenaan atau terus bertemu Ketua Menteri Lim Guan Eng. 
 
Jika semua itu masih sukar, mereka boleh ‘gunakan’ Pesuruhjaya PAS Negeri, Haji Mohamad Sabu yang mempunyai hubungan akrab dengan Guan Eng sejak dalam tahanan ISA di Kemunting, untuk menyampaikan hasrat. Jika langkah itupun tidak menjadi, saluran terakhir ialah Majlis Presiden. 
 
Tapi soalnya, mengapa PAS Pulau Pinang tidak menggunakan saluran sedia ada sebaliknya memilih untuk ‘memalukan’ DAP di khalayak ramai? Hanya Allah sahaja yang mengetahui.

Ekoran tindakan tatatertib itu, AJK PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi membidas tindakan kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng. 
 
Nasrudin mendakwa tindakan itu dilihat seperti kerajaan PAP Singapura yang mendiamkan pengkritik mereka dengan tekanan dan tindakan undang-undang.

"Saya kira ia sebagai satu langkah untuk menakut dan menggerunkan pihak yang mahu menegur dan mengkritik," katanya.

Seorang lagi AJK PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz turut membidas. “Macam Umno jugak DAP ni. Gembira dan megah sangat bila dah ada kuasa. Maklumlah, lama jadi pembangkang bersama PAS, baru penggal lepas DAP mula dapat kuasa memerintah, sedangkan PAS yang hidupnya sering dibuli dah lama berkuasa di Kelantan dan Terengganu. 
 
Saya hanya nak nasihatkan DAP agar janganlah suka membuli. Nanti jadi bongkak. Bila dah bongkak, rakyat akan marahlah,” ujar Nik Abduh.

Presiden PAS baru pertegas dalam muktamar baru-baru ini PAS akan terus bersama Pakatan. 
 
Sebahagian besar pemimpin PAS Pusat juga bercakap perihal memperkasa Pakatan. Kenyataan Nasrudin dan Nik Abduh nampaknya semacam tak membantu memperkukuhkan Pakatan. 
 
Namun ulamak muda PAS itu tentu mempunyai strategi tertentu dalam memperkukuh Pakatan. Tidak semesti diam atau membodek sahaja Pakatan jadi kukuh. 
 
Membangkitkan kemarahan rakan tahaluf mungkin boleh bantu kukuhkan. Menceritakan seantero dunia bahawa Pakatan tidak bersatu, berbalah dan tidak boleh kerjasama, mungkin juga satu cara untuk menarik sokongan rakyat kepada Pakatan. 
 
Membidas secara terbuka rakan tahaluf pun boleh kukuhkan Pakatan juga barangkali, wallahuaklam.

Ada serangan, ada jawapan. Pihak kerajaan negeri Pulau Pinang mendakwa ucapan Izuree yang mendakwa dasar pembangunan Kerajaan Pulau Pinang sama seperti Umno adalah tidak tepat. 
 
Pulau Pinang merupakan kerajaan negeri pertama di negara ini yang mewujudkan dana RM500 juta untuk Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik bagi membina 20,000 unit oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Jumlah ini merupakan jumlah terbesar seumpamanya di negara ini. 
 
Ia berlaku dalam situasi kerajaan negeri tidak menerima apa-apa pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan untuk perumahan awam atau mampu milik. Malah kerajaan Persekutuan hanya membina 70 unit PPR atau perumahan awam untuk golongan miskin di Pulau Pinang.

Sejak Pakatan mentadbir negeri ini mulai Mac 2008, pembangunan berlaku dengan pesat sehingga melonjakkan harga hartanah. Ia memberi kesan terhadap pemilikan rumah.
 
Bagi mengawal spekulasi hartanah kerajaan negeri telah melaksanakan kaedah perumahan baru yang berkuatkuasa pada 1 Februari 2014 yang mana antara lain, mengenakan larangan jualan lima tahun pada perumahan mampu milik dan 10 tahun larangan jualan untuk perumahan awam (tertakluk kepada pengecualian bagi rayuan dalam kes-kes tertentu).
 
Malah sejak Julai 2012, bagi mengawal pembelian hartanah oleh warga asing, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menghadkan pembelian hartanah oleh warga asing kepada RM1 juta dan ke atas (RM2 juta bagi landed property) untuk meredakan spekulasi hartanah supaya harga rumah kekal berpatutan untuk golongan berpendapatan sederhana.

Sebagai langkah tambahan, kerajaan negeri Pulau Pinang mencadangkan levi sebanyak tiga peratus pada harga urus niaga hartanah di Pulau Pinang oleh warga asing bermula 2014.
 
“Dasar baru juga menetapkan bahawa rumah mampu milik (bawah RM400,000 di Pulau) hanya boleh dibeli oleh orang yang diluluskan oleh kerajaan negeri, manakala semua pembelian rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik dikenakan moratorium penjualan semula selama 10 tahun (kos rendah dan sederhana rendah) dan lima tahun (mampu milik), bagi memastikan spekulasi hartanah tidak berlaku,” terang Mohd Hariszuan Jaharudin seorang ahli MPPP.

Perbalahan di Pulau Pinang rupanya berjangkit hingga ke Sarawak. Pemuda DAP di Sarawak membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan PAS. 
 
Entah siapa yang mentarbiyah Pemuda DAP; di mana semua orang boleh bercakap apa saja dan membidas apa saja bagi pihak parti tanpa perlu melihat status diri?

Banyak lagi sebenarnya catatan serang menyerang antara parti komponen Pakatan. Semuanya sudah secara terbuka. Muncullah pelbagai ungkitan dan ugutan. Tiada siapa lagi dapat mengawal atau mahu mengawal.

Persis Umno bercakap mahu banteras rasuah. Cakap lain, buat lain. Demikian segelintir pemimpin Pakatan bila bercakap mahu memperkukuh Pakatan. 
 
Nampak macam tiada istiqamah pula dalam tindakan. Menyerang mana-mana parti dalam Pakatan secara terbuka itu kerja Umno/BN. 
 
Mengapa ambilalih kerja Umno/BN sehingga mendapat liputan istimewa dalam akhbar yang jadi musuh tradisi PAS sejak berzaman – Utusan Malaysia?

Berkata Saidina Ali, “Jangan salahkan orang menuduh kamu lakukan maksiat, jika kamu hadir di tempat maksiat.” Demikian realiti kita, jangan asyik menyalahkan pihak tertentu menuduh UG jika kita (secara tidak langsung) membantu kerja Umno/BN dengan menyerang terbuka rakan tahaluf.

Persoalan yang lebih penting dari itu ialah apa untungnya pemimpin PAS menyerang DAP? Mungkin ia strategi untuk menakutkan parti itu supaya menghormati tahaluf. Mungkin juga satu kaedah dakwah yang efisien. Atau mungkin juga hanya untuk memuaskan nafsu marah. 
 
Mana lebih besar mudharatnya terhadap perjuangan Islam yang dibawa PAS, antara menyerang secara terbuka atau berbincang secara tertutup? Hanya orang yang menyerang lebih arif akan maqasid serangan.

Terdapat penganalisis politik berpendapat, mudharatnya lebih besar jika DAP diserang secara terbuka kerana DAP mengembeling sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan.
 
Saya mendapat maklumat dari ramai rakan-rakan Cina berhubung pergolakan dalam Pakatan yang berlaku mutakhir ini. 100 peratus meluahkan pandangan bahawa ia memberi kesan negatif terhadap sokongan masyarakat Cina kepada PAS. 
 
Mereka berterus terang, jika pilihanraya diadakan sekarang majoriti orang Cina tidak mengundi PAS.

Sukar untuk mempercayai semua itu, sehinggalah akhirnya bertemu dengan kenyataan bekas AJK PAS Pusat di zaman Almarhum Ustaz Fadzil Noor iaitu Haji Kamal Koh. Katanya, berdasarkan laporan media Cina, beliau tidak menjumpai laporan positif mengenai PAS.
 
“Saya rasa imej PAS di mata Cina kini kembali ke tahun 1984 sebelum saya menyertai PAS sebagai ahli tidak lama selepas bermula daripada era kepimpinan ulamak.

“Adakah kita perlu bekerja dan kempen selama 30 tahun lagi untuk mendapatkan semula populariti PAS dalam masyarakat Cina?” soalnya.

Susah juga untuk menghuraikan pentingnya undi bukan Melayu kepada golongan manusia yang ‘bermakam tinggi’ beriktiqad bahawa segala-galanya atas kekuasaan Allah, bahkan syirik menganggap undi bukan Melayu sebagai penentu kemenangan.

Terpaksalah pula kita menerangkan asas aqidah Ahlussunahwaljamaah yang beriktiqad bahawa segalanya berlaku atas kekuasaan Allah, tetapi manusia dituntut berusaha, berikhtiar dan berdoa. 
 
Betul Allah yang tumbuhkan padi tapi tanpa berusaha menanam, melihat saja benih padi untuk tumbuh dan menghasilkan beras tanpa berbuat sesuatu maka itu aqidah sesat namanya. 
 
Demikian mengharap sokongan bukan Melayu dalam pilihanraya dengan mengambil sebab musabab yang menjauhkan mereka dari PAS adalah kerja tidak munasabah. Sedangkan pilihanraya menuntut suara terbanyak untuk memenanginya. 
 
Kecualilah PAS bersepakat menolak pilihanraya, maka tak perlulah memikirkan soal undi dan sokongan sesiapa pun.

Saya menyedari, sukar juga untuk menasihatkan ‘kaki serang’ rakan Pakatan. Antara jawapan popular, "Mengapa tak nasihat belah sana, asyik nasihat belah sini.
 
"“Mereka yang bertindak dulu, takkan kita nak biar saja…” Dah jadi macam budak-budak! Setiap kali khutbah Jumaah bermula, seringkali bilal mengingatkan jemaah, berdasarkan pesan Nabi SAW, 
 
“Jangan berkata-kata ketika khatib berkhutbah, walau berkata ‘diam’ sekalipun.” Suruh orang yang bising dalam masjid supaya diam pun bising juga namanya. 
 
Tak payahlah kita nak bantah Hadis Nabi dengan berkata, “Dia yang bising dulu, saya cuma suruh dia diam.”

Apa yang diulas ini adalah kerana DAP dan juga PKR masih rakan tahaluf PAS. Tahaluf siasi disahkan oleh Majlis Syura Ulamak, dipertegaskan oleh Muktamar. 
 
Tok Guru Presiden selaku pemimpin nombor satu juga masih mahukan PAS bersama dalam Pakatan. 
 
Bermakna setiap ahli bawahan sampai pemimpin tertinggi mesti menjaga adab dalam membetulkan rakan tahaluf jika mereka melakukan kesilapan. 
 
Jangan terlebih garpu dari sudu, terlebih lajak dari laju, terlebih baja dari perdu, terlebih wangi dari gaharu, terlebih mabuk dari samsu, terlebih haru dari keliru, gatal kurang terlebih garu. 
 
Kena beradab dan bersabarlah dalam jamaah. Jangan gopoh sangat.

 
Nukilan
Zulkifli Yahaya

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.