Monday, September 29, 2014

Isu 2 Adun lari di muktamar - Oleh Subky Latif


JIKA kes dua Adun PAS Selangor yang lari ke ‘angkasa lepas’ dibangkit dan diberi reaksi keras dalam Muktamar PAS di Batu Pahat bukanlah justeru atas kehilangan watak itu sangat, tetapi ia lebih disasarkan kepada maruah politik pencuri Adun itu sendiri.

Adapun watak yang hilang itu tidak perlu pimpinan dan muktamar beri masa banyak mengenangnya, kerana muktamar lebih memerlukan masa membincangkan hal yang lebih penting buat jemaah.

Cuma ia dibangkitkan adalah sebagai reaksi kekecewaan petugas parti terdiri daripada orang awam yang memberi banyak masa dan tenaga, menggunakan duit dari saku sendiri bekerja bertungkus lumus bagi memenangkan calon dalam pilihan raya, tetapi calon yang berjaya meninggalkan bumi yang dipijak, untuk bersuka dengan orang lain. 
 
Jika pimpinan memberikan masa yang amat berharga bagi menyentuh hal yang berbangkit itu, ia adalah bagi menghargai pengorbanan aktivis parti dalam perjuangan terutama apa yang mereka beri semasa pilihan raya. 
 
Pengorbanan mereka tidak terhingga besarnya pimpinan dan jemaah amat menghargainya. Pimpinan amat simpati atas apa yang mereka rasai.

Apa jua alasan yang diberi, perbuatan itu adalah seperti secara sengaja menyepak bola ke gol sendiri. Tiada pasukan boleh yang terima pemainnya tersepak bola gol sendiri, apa lagi jika pemain itu sengaja menjaringkan bola ke golnya. Pemain itu tidak akan diperlukan lagi.

Tidak perlu lagi bagi parti ambil masa untuk mereka,kerana mereka sudah menghukum diri sendiri, dan seksanya sedang mereka dan anak isteri mereka rasai untuk satu jangka panjang yang tidak diketahui akhirnya. Biarkan mereka menempuh hidup gantung tidak bertali.

Akan tetapi apabila muktamar menyentuh kes itu, ia adalah bagi menyatakan bahawa adanya politik tidak bermaruah di mana saja dan oleh sesiapa saja, yang amat perlu dihindari oleh semua apa lagi sesama sendiri.

Apa yang terjadi Adun PAS itu telah dibeli atau dicuri oleh sekutunya sendiri. Perbuatan itu dalam apa keadaan jua, dikira tidak berakhlak, tidak bermaruah dan tidak bermoral. Ia adalah satu peng khianatan yang tidak dapat diterima oleh sesiapa.

Dalam politik duniawi, politik bermaruah itu memang tidak banyak.

Sekalipun ia mungkin satu amalan biasa, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan bagi kita menghalalkan politik tidak bermaruah itu.

Malaysia sendiri telah banyak menyaksikan politik beli membeli ini. PAS amat berpengalaman Adun dan MP-nya dibeli oleh musuh politiknya. Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang awal tahun 1960-an kerana Adunnya telah dibeli/dicuri oleh Perikatan. Adunnya di Kelantan juga cuba dicuri.

Secara teknikal kerajaannya dikalahkan hujung tahun 1970-an justeru Adunnya dicuri bagi dijadikan Menteri Besar yang lebih mendengar arahan BN.

DAP sendiri mengalami sejak tahun 1969 MP dan Adun yang dicuri oleh Barisan Nasional, dan paling menyayat hatinya ialah seorang Adunnya di Perak bersama dua Adun KeADILan dicuri oleh BN hingga menyebabkan Pakatan Rakyat Perak tumbang.

Selain itu KeADILan berdepan dengan beberapa orang MP-nya di Bayan Baru, Bagan Serai dan Wangsa Maju meninggalkan parti itu. Mereka tidak meninggalkan partinya begitu saja, tetapi dipercayai mendapat sagu hati yang menarik.

Tindakan BN itu telah dikecam oleh DAP dan KeADILan. Tidak terkecuali PAS. Tidak dapat kita bayang kalimah yang diluah akan pengkhianatan BN itu.

Apa pun BN dan segala komponennya terutama Umno adalah diketahui musuh tradisi setiap parti dalam Pakatan Rakyat. Mereka tidak lagi memikirkan pentingnya politik bermaruah dan politik bermoral.

Yang penting bagi mereka ialah setiap parti pembangkang itu mesti dimusnahkan dengan apa cara jua. Curi mencuri wakil rakyat itu adalah mainan biasa yang sebati dengan darah dan dagingnya.

Sama seperti Qabil yang tidak pernah memikirkan perlunya moral dan maruah ketika membinasakan adiknya Habil, politik inilah yang diwarisi oleh sekalian parti politik yang mencuri Adun-Adun musuhnya sepanjang zaman.

Politik permusuhan dan kebencian yang diamalkan oleh sekutu Barisan itu adalah sifat setiap yang bermusuh. Kerana harimau itu makanannya adalah kucing, maka kucing pula tidak jadi kucing jika ia tidak makan tikus. Itulah kirakira PAS bagi Umno. Nescaya ia bukan Umno kiranya ia tidak ada azam untuk mencuri Adun PAS.

Tetapi parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak wajar menganut fikiran politik yang sama terutama sesama sekutu sendiri. Apa yang dihalal oleh musuh terhadap musuh, maka sahabat tidak boleh pula halalkan apa saja kepada sahabat.

Politik bermaruah dan bermoral adalah rukun bagi manamana tahaluf politik. Muafakat akan berkecai jika moral dan maruah tidak diambil kira. Maka sama saja Qabil jika moral politik tidak diambil kira.

Adalah penting bagi Muktamar PAS melihat isu pencurian Adun oleh sekutunya itu. 
 
Pencurian itu boleh menggugat pakatan yang dirancang bersama. Mungkin ada yang memikirkan muafakat dengan PAS tidak begitu penting lagi kerana PAS ada pendirian tertentu dalam perkara tertentu.

PAS mungkin boleh dilupakan, tetapi kita tidak boleh lupakan kepentingan rakyat dan negara.

Bukan kuasa yang jadi keutamaan Pakatan Rakyat. Keutamaannya ialah bagi membela rakyat dan negara yang selama ini ditindas oleh kerajaan BN.

Mana-mana tindakan yang dilihat mengkhianati sesama sendiri, ia tidak sekadar mengkhianati sekutu sendiri, tetapi ia juga adalah sama seperti mengkhianati diri sendiri dan mengkhianati rakyat dan negara.

Mencuri orang PAS adalah salah dari segi moral. Ia boleh menjejaskan usaha membebaskan rakyat daripada belenggu penindasan.

Jika dengan gangguan itu menyebabkan BN tidak dapat digantikan dalam PRU14 nanti, maka yang paling rugi ialah rakyat seluruhnya. 
 
Rakyat dan negara tidak dapat dibebaskan daripada penindasan kuasa yang ada. Maka terus terbelenggulah rakyat, sedang mereka boleh dibela oleh perpaduan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat memang boleh dan memang mampu membebaskan rakyat daripada belenggu penindasan BN itu. Harapan rakyat kepada Pakatan adalah tinggi dan mereka amat menghendaki pembelaan itu.

Tetapi jika setiap hari kita bercakap tentang perbezaan dan perpecahan, maka kita sebenarnya tidak bersungguh untuk membebaskan rakyat daripada belenggunya selama ini.

Apa yang dibuat oleh muktamar dan oleh PAS sebelumnya adalah untuk mengemukakan beberapa penyelesaian atas perkara yang kita sama-sama hadapi. Bukan untuk melanjutkan pertikaian.

Apa yang disebut berhubungan pencurian itu adalah ingatan dan amaran supaya kita tidak terlibat dalam politik tidak bermaruah.

Politik tidak bermaruah tidak mampu menggantikan sebuah kerajaan yang tidak bermaruah.
Kita tidak boleh berbangga de ngan menghabiskan usia kita dalam perjuangan dan keluar masuk penjara kerana perjuangan, tetapi kita tidak hiraukan perjuangan itu bermaruah atau tidak.

Itulah yang diingatkan supaya kezaliman tidak diganti dengan kezaliman juga, tetapi kezaliman hanya boleh dihapuskan oleh keadilan politik yang bermaruah.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.