Monday, September 29, 2014

Aktivis Ali dibebaskan selepas lebih 20 hari dalam tahanan polis



Aktivis Ali Abd Jalil akhirnya bebas hari ini, tanpa ditangkap semula, setelah berada dalam tahanan polis lebih 3 minggu. 
 
Peguamnya New Sin Yew memberitahu The Malaysian Insider, Ali dibebaskan dari ibu pejabat polis Nusajaya pada jam 3.35 petang. 
 
Ali melalui satu pengalaman yang menakutkan berikutan disiasat polis kerana dituduh membuat posting berunsur hasutan di laman sosial.
Dia menghabiskan lebih 20 hari dalam tahanan polis kerana dibawa ke tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Johor di mana laporan polis dibuat terhadapnya sebelum ini. 
 
Ali berdepan dengan tiga tuduhan hasutan menghina Sultan Selangor dan Sultan Johor dalam kiriman laman Facebook. 
 
Dia dituduh menghasut menerusi penulisan di laman Facebook "Kapitalis Bangsat" yang dikatakan menghina Sultan Johor. 
 
Ali pertama kali ditahan pada 8 September dan berada dalam tahanan polis Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. 
 
New sebelum ini berkata kepada The Malaysian Insider penahanan Ali di tiga negeri itu merupakan penderaan fizikal dan mental kepada anak guamnya.
"Penahanan ke tiga negeri itu tidak berguna kerana semua penyiasatan boleh dilakukan di Kuala Lumpur," katanya. Pada 23 September, Ali dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM8,000 di Kompleks Mahkamah Shah Alam. 
 
Bagaimanapun, pembebasannya tidak bertahan lama selepas ditahan semula dan dibawa ke Johor kerana terdapat laporan polis terhadap dirinya di sana. 
 
Ali dibebaskan polis Johor pada Jumaat dan kemudian ditahan semula polis Nusajaya bagi membantu siasatan. 
 
New berkata, Ali ditahan polis lebih lama berbanding seorang suspek bunuh yang hanya boleh ditahan sehingga 14 hari sebelum dibebaskan atau didakwa.

Ali juga mendakwa dia dipukul polis pada malam pertamanya ditahan pada 8 September dan abangnya sudah membuat laporan polis. Satu kumpulan aktivis muda berhimpun pada Ahad menunjukkan solidariti pada Ali. 
 
Kempen Solidariti Untuk Ali itu diadakan di Kuala Lumpur, Pahang dan Melaka dengan sekumpulan mereka memegang sepanduk dan membuat pertunjukan di hadapan pusat beli belah Sogo. 
 
Di hadapan orang ramai, kira-kira 20 anak muda menyanyikan lagu Buruh Tani yang liriknya menggesa mahasiswa bangkit demi perubahan. 
 
Polis dilihat membuat pemantauan dengan terdapat anggota yang mengambil gambar dan video acara itu.
Salah seorang peserta itu ialah Safwan Anang yang baru-baru ini dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan pada forum 13 Mei tahun lalu. 
 
Safwan berkata demonstrasi aman itu penting bagi menghantar mesej kepada Ali bahawa dia mendapat sokongan walaupun ditahan, selain mendidik orang ramai kepentingan memansuhkan Akta Hasutan.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.