Thursday, August 28, 2014

Isu MB: Penolakan pada Hadi membara

Adakah pil 'wala' tidak mujarab lagi?

Apa kena dengan Hadi?
Bagaimana kalau hancur sebuah negeri baru ribut berhenti?

 
 
Cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memilih Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai calon menteri besar Selangor jika dapat menarik beberapa lagi anggota PKR bekerjasama dengan Umno, menimbulkan keresahan anggota jawatankuasa (AJK) PAS.

Sekalipun pegawai kanan Hadi dan pemimpin PAS menafikan keras, ia tetap mengundang resah dan "penolakan dari dalam" kumpulan Erdogan, malah segelintir kumpulan pro-ulama yang "berang berbaur terkejut" dengan perkara itu.

Sumber-sumber PAS memberitahu Malaysiakini, mesyuarat AJK pusat kelmarin, ada pemimpin yang sudah malas 'bergaduh' dengan Hadi.

Malah ada juga yang 'bersingsing lengan' dengan presiden PAS itu dan ada juga yang mempertahankan keputusan 17 Ogos itu yang memilih Azmin di samping Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Ekoran itu, pemimpin PAS dilihat dalam dilema - diluah mati emak, ditelan mati bapa - ekoran pendirian terbaru Hadi yang tidak selari dengan keputusan sebulat suara AJK Pusat PAS Ahad dua minggu lalu.

Ia sekaligus menambahkan parah krisis menteri besar Selangor.

Bagaimanapun penolakan itu, sumber-sumber parti memberitahu, tidak sampai ke tahap penolakan mutlak terhadapnya, termasuk dalam Muktamar PAS 2014 di Johor pada 18-20 September depan.

"PAS berada dalam keadaan dilema tetapi tidak sampai menolak Abdul Hadi (di muktamar). (Malah) ada pemimpin kanan PAS yang tak dipercayai oleh Abdul Hadi (ekoran penolakan itu).

"Mereka terkejut dan tidak setuju dengan dua perkara, bergabung dengan Umno dan mengajar parti rakan khianat (kepada Pakatan Rakyat)," kata sumber kepada dihubungi Malaysiakini semalam.

Sejarah 80-an berulang?

Mengimbau sejarah PAS lebih tiga dekad lalu, sumber-sumber berkata isyarat penolakan Hadi itu boleh berlaku sepertimana ketika Yang Dipertua PAS Datuk Asri Muda disingkirkan pada 1982 dan digantikan Yusof Rawa.

Sementara pada 1986 pula, Yusof pula diasak apabila idea penubuhan Majlis Perundingan Masyarakat Cina (CCC), sebuah badan bagi mempromosikan dasar PAS kepada bukan Islam, ditolak walaupun menjadi sebahagian daripada ucapan dasar yang dipertuanya.

"(Dengan kata lain, perwakilan ketika itu) menolak usul yang menjadi sebahagian daripada ucapan dasar, (dan ia) dianggap sebagai menolak presiden," katanya.

Sumber-sumber lain yang dekat dengan PAS pula mempersoal perubahan sikap Hadi yang dikatakan tiba-tiba menjadi negatif dan kelihatan terlalu marahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat AJK PAS Pusat pada Isnin lalu.

Sumber itu tidak menolak kemungkinan wujudnya gerakan untuk menolak Hadi termasuk mencabarnya sebagai presiden pada pemilihan PAS tahun depan.

Antara alasan yang digunakan ekoran ekoran pendekatan “one man show” (bergerak sendiri) beliau dalam membuat keputusan politik.

Malah, kedua-dua kelompok dalam PAS – kumpulan Erdogan dan pro-ulama – kini dikatakan sama-sama cuba “membersihkan” satu sama lain.

“Presiden akan dicabar," kata sumber kepada Malaysiakini.

Sementara itu, mengakui PAS berdepan dengan "situasi berkecamuk" berhubung kemelut ini, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengakui "PAS pernah mengalami situasi penolakan" terhadap ketuanya sebelum ini.

Salahuddin: Ribut mana tak berhenti

"(Tetapi) biarlah masa menentukan. Untuk berlaku adil terhadap presiden (Hadi), beliau boleh berhujah, memberi pandangan, menjawab persoalan secara terbuka sebagai ketua parti. Maka berlaku interaksi dua hala.

"Perwakilan (juga) akan memberikan penilaian yang jujur dan muktamar terbuka untuk bercakap. Muktamar satu lagi medan untuk perwakilan berucap mengenai harapan, sindiran atau kritikan," katanya.

Beliau menjawab soalan sama ada cadangan bekerjasama dengan Umno yang dikemukakan Hadi itu boleh mencetuskan tanggapan buruk terhadap pemimpin nombor satu PAS itu, sekaligus menyebabkan beliau ditolak.

Salahuddin, bekas MP Kubang Kerian itu berkata, sebagai sebuah parti yang menjunjung demokrasi, PAS tidak mengongkong semua pihak dalam parti itu memberikan pandangan.

"Akhirnya satu keputusan dapat dicapai. Biarkan ia (krisis MB ) bergelora dan akhirnya berakhir dengan satu kematangan. Politik baru ini tidak boleh dielak. Ini yang anak muda mahu.

"Biarkan gelora itu berhenti (dengan sendirinya). Ribut mana yang tidak mahu berhenti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.