Saturday, August 30, 2014

Anwar bidas langkah pemberhentian 6,000 staf MAS, hukuman tidak adil OLEH ANISAH SHUKRY

Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada hadirin di Centre For Reform Democracy & Social Initiative di Puchong, Selangor hari ini
Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada hadirin di Centre For Reform Democracy & Social Initiative di Puchong, Selangor hari ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas langkah Putrajaya membuang 6,000 staf Malaysia Airlines (MAS), sementara pihak sebenar yang menjadi punca kerugian syarikat penerbangan negara itu diberi pampasan.

Ketua pembangkang tersebut mempersoalkan apa akan berlaku kepada masa depan keluarga staf MAS tersebut.

"Pernah anda terfikir sejenak, bagaimana dengan masa depan keluarga 6,000 staf ini? Adakah ini salah mereka? Adakah mereka malas, tidak berdaya saing?

"Salah siapakah ini? Kenapa hukum mereka, tetapi mereka yang melakukan jenayah diberikan pampasan secukupnya?" kata Ketua Umum PKR tersebut semasa berucap di Puchong dalam forum berjudul Asian Renaissance Course hari ini.

Anwar mendakwa MAS mula mengalami kerugian selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin memutuskan untuk menswastakannya.

Dr Mahathir bertanggungjawab dalam perjanjian yang menyaksikan Tan Sri Tajuddin Ramli mengambil pinjaman RM1.79 bilion pada 1991 untuk membeli 32% pegangan majoriti MAS.

Tajuddin, bekas pengerusi eksekutif MAS, menerima tempias akibat krisis kewangan Asia pada 1997 dan terpaksa menjual pegangannya kepada kerajaan pada harga RM1.79 bilion atau RM8 sesaham, jumlah sama yang dibayarnya pada 2001.

Bagaimanapun, harga saham terakhir syarikat semasa Tajudin membeli MAS adalah pada RM3.68.

"Apa yang akan berlaku selepas ini? MAS hilang berbilion ringgit dan Tajudin diberikan hadiah sebanyak RM586 bilion ringgit," kata Anwar.

Khazanah Nasional Berhad mengumumkan MAS akan mengurangkan 6,000 (30%) daripada 20,000 pekerja kepada 14,000, di samping memindahkan ibu pejabat dan operasi utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di bawah pelan pemulihan syarikat itu.

Sebagai pemegang saham terbesar MAS, Khazanah mengumumkan pengurangan pekerja besar-besaran itu selepas ia kerugian sekurang-kurangnya RM3 juta sehari bagi separuh pertama tahun kewangan semasa.


Kerugian semakin bertambah selepas ia dilanda dua tragedi besar, kehilangan pesawat MH370 pada Mac lalu dan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai.

Pelan penstrukturan semula MAS itu mendapat kelulusan kabinet dan lembaga pengarah MAS, bertujuan mewujudkan sebuah entiti yang lebih kukuh dan lebih cekap.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas pengumuman tersebut berkata suntikan tersebut adalah "pelaburan" dan bukannya bantuan kewangan.

"Najib kata ia bukan bantuan kewangan tetapi pelaburan. RM6 bilion akan dibelanjakan dan 6,000 staf akan dikorbankan.


"Persoalannya disini, mengapa ia perlu berlaku begini?" kata Anwar.

Beliau kemudian menerangkan mengenai kontrak katerer selama 25 tahun bernilai RM6.25 bilion yang diberikan kepada Brahim's Holding, yang dikatakan membebankan MAS bertahun-tahun.

"Tidak pernah sebelum ini ada perjanjian melibatkan pemberian kontrak kepada sesiapa pun selama 25 tahun. Dan ini diberikan kepada abang bekas perdana menteri," kata Anwar, merujuk kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Semua ini melemahkan MAS dan terus membebankan mereka hingga ia mencapai tahap ini. Ini diikuti insiden MH370 dan MH17."


Anwar berkata tidak adil kepada 6,000 staf dan keluarga mereka dihukum sebegitu kerana perkara tersebut di luar kawalan mereka.

"Jika kamu menjadi pemimpin, kamu mesti menjaga orang bawahan kamu. Kamu mesti faham kesusahan rakyat," katanya.

Najib berkata, sebarang pemberhentian kerja akan dilaksanakan secara perikemanusiaan dan belas kasihan.

Katanya, jika ada keperluan bagi menggantikan ketua pegawai eksekutif MAS pada masa ini, maka keutamaan akan diberi kepada anak tempatan.

"Dia boleh orang tempatan atau asing. Jika asing, ia hanya dalam tempoh sementara. Warga tempatan akan mengambil alih kemudiannya," katanya.

MAS yang menggantung dagangan pada Khamis lalu berikutan pengumuman pelan itu, melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM302.62 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2014, daripada kerugian sebanyak RM165.89 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Saham itu terakhir diniagakan pada 25 sen Khamis lalu. – 30 Ogos, 20
-
See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.