“Saya sudah ambil keputusan untuk tidak jawab surat itu selepas berfikir panjang"
PETALING JAYA:Yammy
Samat mengambil keputusan untuk tidak menjawab surat tunjuk sebab
berhubung dakwaan beliau berkempen untuk anaknya, Dyana Sofya Mohd Daud,
calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada Mei lalu.
Beliau berkata, ia adalah keputusan muktamad yang dibuat, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak, termasuk Dyana.
Menjelaskan
lagi, katanya, cara Umno yang hanya menyerahkan salinan surat berkenaan
untuk mendapatkan penjelasannya turut mempengaruhi keputusan itu.
“Saya sudah ambil keputusan untuk tidak jawab surat itu selepas berfikir panjang. Keputusan saya ini adalah muktamad.
“Terserah
kepada Umno untuk membuat keputusan selepas ini sama ada mahu memecat
saya daripada parti atau apa sahaja tindakan mereka,” katanya ketika
dihubungi mStar Online pada Rabu.
Yammy Samat
pada 23 Jun lalu akhirnya menerima surat tunjuk sebab daripada Umno
selepas 20 hari daripada tarikh surat pertama yang dihantar pada 3 Jun
tetapi tidak diterimanya.
Ia adalah surat
ketiga yang dihantar oleh Umno selepas surat pertama dipulangkan semula
oleh Pos Malaysia kerana terdapat kesalahan alamat, manakala surat
kedua yang dikatakan telah dihantar pada 16 Jun lalu turut gagal sampai
ke tangannya.
Yammy
mengulangi pendiriannya bahawa beliau akan mengambil keputusan untuk
berehat daripada pembabitannya dalam politik sekiranya dipecat daripada
Umno.
“Saya juga
tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik lain. Biarlah
saya berehat, saya sudah lama menyertai politik bersama Umno sejak 1974.
“Apapun,
sebagai ibu... saya terus akan menemani Dyana sehinggalah dia berkahwin
nanti. Bagi saya, keluarga perlu diutamakan,” katanya.
Dalam pada itu,
beliau menasihatkan kepada semua ahli Umno supaya membuat pertimbangan
sewajarnya sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga dari parti politik
berbeza.
“Jika anda
mempunyai ahli keluarga dari parti berlainan, diharap berfikir terlebih
dahulu sebelum membuat keputusan sebelum terlibat bersama mereka.
"Jangan jadi
macam saya, yang hanya menemani Dyana sebagai anak tanpa memberi
sokongan kepada parti lain atau memburuk-burukkan parti saya tetapi
diberi surat tunjuk sebab,” katanya.
Mengenai Dyana, Yammy berkata: “Nasihat saya supaya Dyana meneruskan perjuangan.”
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.