PETALING JAYA - Dia bukan anggota geng kongsi gelap, bukan penyamun,
jauh sekali perompak. Kalau dilihat dari luaran dia hanyalah seorang
kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.
Namun, siapa sangka dalam usia semuda itu dia mendapat gelaran Raja
Toyol selepas terbabit dalam tidak kurang daripada 23 kes kecurian
membabitkan kes pecah rumah, kecurian tabung masjid dan kedai runcit
di kawasan Kampung Sungai Ara, Damansara, di sini, sejak setahun lalu.
Meskipun sudah acap kali ditangkap penduduk kampung kerana mencuri,
bahkan pernah dibelasah kerana perbuatannya itu, budak lelaki yang sudah
tidak bersekolah ini tidak serik, malah bertambah aktif seolah-olah
mencuri menjadi kerjaya sepenuh masanya.
Difahamkan kanak-kanak ini hanya memerlukan tempoh yang singkat untuk
melarikan wang yang disimpan di dalam rumah tanpa disedari oleh
pemiliknya. Sudah beribu ringgit masuk ke sakunya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Sungai
Kayu Ara, Ramli Daud berkata, kanak-kanak itu pernah diserahkan kepada
polis tetapi dibebaskan semula kerana dia di bawah umur.
“Dia bergerak seorang diri di dalam kampung dan sasaran utamanya adalah wang.
“Baru-baru ini dia pernah ditangkap dan apabila ditanya ke mana wang
curi itu dibelanjakan, dia dengan selamba memberitahu wang itu digunakan
untuk berhibur di pusat siber. Saya yakin dia berkawan dengan budak
yang lebih besar dan di situlah wang itu dibelanjakan,” katanya.
Menurut Ramli, kanak-kanak ini melakukan kerja tidak kira siang ataupun
malam. Jika ada peluang dia akan masuk ke dalam rumah sesiapa sahaja
tanpa disedari.
“Dia akan sasarkan wang yang disimpan di dalam rumah, tidak kira di dalam poket seluar, almari mahupun laci.
“Peliknya dia boleh tahu di mana wang itu disimpan dan dengan tubuhnya
yang kecil dia boleh masuk ikut lubang kecil selain tahu membuka gril
pintu rumah,” katanya.
Jelas Ramli lagi, masalah itu sukar diselesaikan kerana keluarga kanak-kanak ini langsung tidak mengambil berat terhadapnya.
“Dia anak ketujuh daripada lapan adik-beradik dan tinggal bersama
ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Keluarganya sudah
lali dengan cerita kanak-kanak itu ditangkap.
“Ramai yang nasihat ayahnya supaya tidak membiarkan anaknya terus begitu, tetapi tidak diendahkan,” katanya.
Bloglist Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.