Sunday, June 8, 2014

MH370: Tubuhkan segera RCI - Tian Chua LYN NASIR

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Tian Chua (gambar) berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen (PSC) perlu ditubuhkan segera walaupun kotak hitam pesawat MH370 masih belum ditemui.

Jelasnya lagi, penubuhan Jawatankuasa tersebut tidak boleh bergantung kepada penemuan kotak hitam kerana ia melibatkan isu keselamatan rakyat dan perlu disiasat segera.
“Kita tak boleh bergantung kepada penemuan kotak hitam, baru nak tubuhkan RCI, sebab RCI itu adalah Jawatankuasa Khas yang penting untuk membuat siasatan terhadap MH370.



“Isu ini melibatkan keselamatan rakyat, pemantauan dan sistem radar juga perlu disiasat, sebab itu kita kata RCI ini penting dan perlu ditubuhkan segera,
“Jangan tunggu jumpa kotak hitam baru nak tubuhkan RCI, itu tindakan yang sangat tidak betul,” katanya ketika dihubungi.

Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Putrajaya akan mempertimbangkan penuubuhan RCI dan PSC untuk menyiasat kehilangan MH370, hanya selepas kotak hitam dijumpai.

Menurutnya lagi, fokus kerajaan kini adalah mencari kotak hitam pesawat yang merekodkan segala insiden berlaku dalam kokpit kapal terbang itu untuk membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
“Saya tak faham kenapa kerajaan mengambil tindakan untuk berdiam diri bila kita desak untuk segera tubuhkan RCI dan PSC.

“Dalam isu sebegini, kita perlu tolak fahaman politik masing-masing dan sama-sama selesaikan isu yang berkaitan dengan keselamatan rakyat, kerana baik Umno BN mahupun Pakatan Rakyat, kita semua adalah pemimpin kepada mereka,
“Jangan pentingkan diri dalam isu ini, sama-sama cari jalan untuk selesaikan masalah, itu lebih baik.” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid (gambar) percaya pesawat MH370 tidak berakhir di Lautan Hindi, sebaliknya menggesa pencarian dilakukan di Laut China Selatan.

Menurut Imran, maklumat awal pada malam 8 Mac lalu menyatakan pesawat itu terbang ke Beijing sebelum hilang daripada radar awam di Laut China Selatan.

Tambah beliau, andaian bahawa pesawat itu berpatah balik hanya dibuat berdasarkan radar milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Jadi ini bermakna pesawat itu hilang di kawasan tersebut (Laut China Selatan). Kalau pesawat itu berpusing balik atau apa sekalipun seperti yang dikatakan, ia mesti ditunjukkan dalam radar yang pesawat itu berpusing kembali atau sebagainya, tapi ia lenyap di situ,” ujarnya.

“Bagaimana kerajaan boleh dengar apa yang dikatakan oleh Air Force (TUDM) selepas 3 hari perkara tersebut berlaku daripada maklumat pada malam kejadian tersebut?,”
soalnya yang juga Bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada TLDM.

Pada 9 Mac, media melaporkan radar utama milik TUDM mengesan sebuah pesawat membuat pusingan balik di lokasi sama di mana pesawat MH370 hilang dari radar awam.

Beberapa hari selepas itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan misi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 di Laut China Selatan dihentikan dan ditumpu ke kawasan barat.

Pada 24 Mac, Najib mengumumkan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan data satelit Inmarsat yang berpengkalan di Britain.

Bagaimanapun, syarikat satelit itu pada 29 Mac berkata pihaknya tidak terbabit dalam membuat kesimpulan bahawa pesawat itu “berakhir di Lautan Hindi”.

Terbaru, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) mengiystiharkan bahawa pencarian di selatan Lautan Hindi adalah sia-sia.

Namun, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin berkata pencarian pesawat itu akan diperluas, tetapi kekal di Koridor Selatan, dengan menggunakan apa jua kepakaran yang ada.

Dalam pada itu, Imran turut mengulas keputusan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) membuka tender bagi memperoleh perkhidmatan sebuah syarikat pakar untuk mencari pesawat MH370.

ATSB menyebut pencarian dalam air bagi pesawat jenis Boeing 777-200ER akan dipergiat mulai Ogos dan dijangka mengambil masa sehingga 12 bulan.

Menurut Imran, keputusan meneruskan carian di Lautan Hindi hanya akan membazirkan wang rakyat bagi menampung kos pencarian sekiranya ia berakhir dengan sia-sia.

“Tolonglah jangan bazirkan duit rakyat, kenapa sibuk nak mencari di kawasan yang semenangnya tidak ada MH370? Kenapa tak percaya dengan teknologi yang kita sendiri ada?” soalnya.

- KeadilanDaily

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.