Friday, May 30, 2014

Fenomena "RUNTUH" Telah Berpindah Dari Trengganu Ke Perlis ?

FOTO - Bumbung Kanvas Kompleks Renang Sukma Perlis Runtuh




Acara renang Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 diteruskan walaupun sebahagian besar bumbung kanvas Kompleks Renang (KSN) Kangar terkoyak selepas lebih kurang 10 minit hujan turun.

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong berkata acara renang yang menawarkan 10 pingat emas itu bakal diadakan selepas bumbung kanvas dibuka.

"Kita akan teruskan acara renang, tidak ada masalah beraksi di kolam renang terbuka ataupun tertutup. Sukan SEA di Cheras dulu pun dijalankan di kolam renang terbuka.

"Kolam renang di sini boleh digunakan dan pertandingan boleh diteruskan selepas bumbung kanvas dibuka. Kita akan adakan pertandingan secara terbuka," katanya kepada pemberita sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

Bumbung kanvas kompleks renang tersebut mula koyak semasa acara terjun berjalan di kolam terjun, berhadapan dengan kolam renang itu, selepas hujan selama 10 minit dan pemberitahuan kolam renang ditutup dipaparkan pada skrin kira-kira pukul 2.20 petang.

Acara terjun terpaksa dihentikan sejurus sahaja kejadian berlaku namun ia bermula semula setengah jam selepas itu, sebaik sahaja hujan dan angin kuat berhenti.

Bumbung kanvas tersebut mengalami kerosakan selepas lebih kurang empat jam acara terjun berlangsung.

Edwin berkata acara terjun tidak terganggu dengan masalah bumbung kanvas terkoyak dan ia akan diteruskan sehingga acara terakhir.

"Saya tidak boleh beri komen mengenai acara renang, saya bertanggungjawab untuk bahagian acara sahaja. Bagi fasiliti seperti kolam, ia tanggungjawab penganjur namun bagi saya kemudahan lain tiada masalah," katanya.

Sebelum ini, acara akuatik yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ditunda ke hari ini selepas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan meminta aspek keselamtan kompleks tersebut diperiksa dengan betul.

Sementara itu, Pengarah Operasi Lima Corporation Sdn Bhd, Hishamuddin Abdul Hamid, wakil kontraktor utama projek pembinaan pusat akuatik itu, berkata kanvas yang digunakan untuk bumbung kolam renang adalah berbeza dengan kanvas yang dipasang pada bumbung utama iaitu bumbung bagi kolam terjun.

Katanya, kanvas yang digunakan ialah jenis 'porous' bersifat tidak kalis air dan pihaknya bersetuju menggunakan kanvas jenis itu selepas diberikan taklimat mengenai fungsinya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata pihaknya akan berjumpa dengan kontraktor, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis dan jawatankuasa teknikal Sukma ke-17 sebelum menghantar laporan kepada Kementerian Belia dan Sukan berhubung insiden itu.

"Sebelum ini kita mendapat jaminan bahawa pusat akuatik ini selamat digunakan dan JKR telah mengeluarkan sijil perakuan bahawa kompleks ini selamat digunakan," katanya.

- Bernama


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.