Dua Wakil Rakyat Pembangkang Didakwa DiMakhamah Pagi Ini.........
Tindakan Putrajaya untuk membawa dua lagi wakil rakyat daripada Pakatan
Rakyat (PR) ke mahkamah hari ini atas tuduhan hasutan dan perhimpunan
haram akan mengukuhkan lagi pakatan
pembangkang tetapi menghakis sokongan kepada parti pemerintah, Umno dan
Barisan Nasional (BN), kata penganalisis.
Pemimpin PR bengang
dengan dakwaan hasutan yang terbaru terhadap Ahli Parlimen Seputeh,
Teresa Kok dan dakwaan semula atas kesalahan gagal memberikan notis awal
bagi mengadakan perhimpunan terhadap Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik
Nazmi Nik Ahmad.
Tindakan mengugut ahli politik pembangkang
menerusi saluran undang-undang mungkin menyebabkan pemimpin utama dalam
Umno berpendapat parti itu “berlagak kuat”, tetapi ia hanya dugaan kecil
bagi Pakatan Rakyat, kerana ada ramai lagi yang akan bangkit menentang
perkara itu, kata penganalisis politik, Khoo Kay Peng kepada The
Malaysian Insider.
“Tindakan menakut-nakutkan seperti ini tidak
akan berjaya, anda kejar Nik Nazmi, akan ada 10 lagi Nik Nazmi menunggu
untuk mengambil tempatnya dan bertanding.
“Orang ramai akan beratur untuk menyertai pembangkang,” kata Khoo.
Pemimpin pembangkang lain yang berdepan hukuman penjara ialah Ketua
Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas didapati bersalah dalam kes
liwat keduanya dan Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang yang kini disiasat
atas kesalahan menghasut.
Mendiang Karpal Singh yang juga
bekas pengerusi DAP juga disabitkan kesalahan menghasut Februari lalu
tetapi ahli Parlimen Bukit Gelugor itu maut dalam nahas jalan raya bulan
lalu ketika rayuannya masih berlangsung di mahkamah.
Tetapi
dakwaan baru terhadap Nik Nazmi mencetuskan rasa jengkel Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu dan penyokongnya kerana beliau
dibebas dan dilepaskan daripada kesalahan berkenaan pada 25 April oleh
panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang sebulat suara mendapati Seksyen 9
(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 – yang membabitkan kesalahan
jenayah kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum perhimpunan –
tidak mengikut perlembagaan.
Nik Nazmi didakwa kerana tidak
memberikan notis untuk perhimpunan bantahan besar-besaran Black505 di
Stadium Kelana Jaya tahun lalu terhadap keputusan pilihan raya umum pada
5 Mei.

“Black505 berlaku lagi tetapi jika mereka rasa ia akan
menjejaskan semangat rakyat, tidak langsung. Perjuangan adalah
perjuangan,” kata Adun dua penggal itu dalam akaun Twitternya malam
tadi.
Anwar hanya berkata:”Penindasan!” sebagai reaksi awalnya terhadap berita pendakwaan terhadap Nik Nazmi.
Kok akan didakwa atas tuduhan menghasut berhubung klip video Onederful
Malaysia, yang dianggapnya sebagai parodi dan dimuat naik di laman
YouTube sempena sambutan Tahun Baru Cina lalu.
“Ahli Parlimen
Seputeh, Teresa Kok akan didakwa menghasut kerana video Onederful
Malaysia, esok. Ini adalah pemahaman Najib terhadap Malaysia sebagai
demokrasi terbaik dunia,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang, malam tadi.
Penganalisis Politik, Profesor James Chin, berkata walaupun tindakan
undang-undang digunakan untuk mengganggu pembangkang dan mungkin
menjejaskan mereka, ia juga mencetuskan tindak balas terhadap Umno.
Bagaimanapun, katanya, ia adalah akibat yang perlu ditanggung kerajaan pemerintah.
“Ini hanyalah cerita sampingan, perkara utama di Malaysia sekarang ialah hudud,” kata Chin.
Ditanya jika gangguan kepada pembangkang akan memburukkan nama Malaysia
di peringkat antarabangsa, Chin berkata, Malaysia tidak pernah peduli
mengenai pendapat dunia jika ia membabitkan perkara politik atau sosial.
“Itu sebabnya apabila Obama datang dan membuat kenyataan mengenai
kepelbagaian dan peluang kepada minoriti, media arus perdana tidak
menyiarkannya, hanya media alternatif saja,” katanya merujuk kepada
lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia, baru-baru
ini.
“Mereka akan hanya risau jika ia ada kaitan dengan
ekonomi, perdagangan atau pelaburan asing, tetapi bukan isu awam dan
politik,” kata Chin, dan menambah ia adalah punca Malaysia belum
memeterai sebarang konvensyen antarabangsa mengenai isu sosial, hak
asasi manusia dan kebebasan.
Pengarah Merdeka Center, Ibrahim
Suffian, berkata cubaan untuk menyekat pembangkang dalam jangka panjang
boleh mengurangkan keyakinan terhadap sistem yang mengendalikan negara.
Katanya, ia juga akan menyebabkan kekurangan sokongan kepada parti
pemerintah, terutama sekali dengan wujudnya bantahan terhadap
peningkatan kos sara hidup dan pelaksanaan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan.
“Secara
tradisinya, mereka yang menyokong pembangkang diketahui mampu berfikir
untuk diri sendiri dan menggunakan sosial media dan internet untuk
berkongsi pandangan mereka. Jadi sebarang langkah untuk memecahkan
pembangkang akan dicabar,” katanya.
Khoo turut bersetuju dan
berkata, tindakan menakut-nakutkan dnegan mendakwa pemimpin pembangkang
dengan pelbagai kesalahan tidak akan menghalau penyokong atau mematahkan
Pakatan.
Katanya, apa yang lebih bahaya ialah apabila pakatan pembangkang bersetuju sesama mereka mengenai isu utama.
“Ia lebih bahaya, contohnya isu hudud yang menyebabkan mereka berpecah buat masa sekarang,” katanya. – tmi
Posted by Jeebond BLM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.