Wednesday, May 28, 2014

Akhirnya.. Data Satelit Inmarsat Mengenai Kehilangan MH370 Didedahkan

 

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengeluarkan data satelit belum diproses Inmarsat setebal 45 muka surat yang diguna untuk mengesan pola penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Dalam kenyataannya, DCA berkata log data komunikasi daripada Inmarsat, syarikat komunikasi satelit Britain itu, dan keterangan mengenainya, dikeluarkan untuk membolehkan pembaca memahami data berkenaan.

Menurut kenyataan itu, log data yang disertakan bersama nota tambahan Log Unit Isyarat (9M-MRO) bagi MH370 disediakan Inmarsat.

Berdasarkan nota yang amat bersifat teknikal ini, semua masa adalah dalam Masa Universal (UTC) dan jadual yang disertakan adalah dalam bentuk fail log boleh dibaca yang dirakam di stesen bumi untuk berkomunikasi dengan terminal bagi MH370 dari 16:00 hinggalah ke cubaan Handshake Request (Log On Interrogation) terakhir pada 01:16 UTC.

Nota itu juga menyebut bahawa beberapa lajur yang tidak mengandungi maklumat material, dibuang daripada jadual bagi tujuan pembacaan.

Menurut laporan, 19 Mei lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta DCA berbincang dengan Inmarsat tentang pengeluaran data mentah Inmarsat untuk tatapan umum.

Sejak itu, Inmarsat dan DCA mengambil langkah untuk membolehkan log data komunikasi dan pemerihalan teknikal tentang analisis berkenaan, dikeluarkan.

Semalam, Hishammuddin berkata keputusan untuk mengeluarkan data Inmarsat yang belum diproses itu dibuat untuk memenuhi permintaan anggota keluarga penumpang serta anak kapal MH370 dan data itu juga boleh digunakan pakar dari seluruh dunia bagi tujuan analisis.

Awal bulan ini, mereka meminta pihak berkuasa mengeluarkan data berkenaan bagi membolehkannya dikaji dari segi ketepatan oleh pakar.

Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini pada 12.41 tengah malam.

Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu di Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 25 Mac bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”. ~tmi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.