Tuesday, April 1, 2014

Soalan Mudah Untuk Bakal PM: Apa Bezanya Berakhir Di Lautan Hindi Dengan Terhempas Di Lautan Hindi?


Tak Terhempas? Habis Dulu Kenapa Menangis Ya Hishamuddin?


Berikutan desakan waris penumpang MH370 daripada negeri China agar kerajaan memohon maaf kerana sehingga ini masih tiada bukti kukuh yang menunjukkan pesawat itu terhempas di Lautan Hindi dan semua penumpangnya terkorban, Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein yang dikatakan terlonjak namanya sebagai bakal PM berikutan insiden ini, terpaksa membuat kenyataan berdolak-dalik untuk menyelamatkan sepupunya, Najib Razak.

Hishammudin berkata, tiada keperluan untuk kerajaan memohon maaf kerana dakwanya, kenyataan Najib Razak pada 24 Mac lalu tidak menyebut pesawat itu terhempas atau semua penumpangnya terkorban, sebaliknya hanya mengatakan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.

Memanglah dalam kenyataan Najib itu beliau tidak menyebut perkataan terhempas, sebaliknya menggunakan ayat berakhir di Lautan Hindi. Najib juga menyebut kawasan pesawat MH370 itu dikesan kali terakhir adalah di sebuah kawasan terpencil yang jauh daripada mana-mana landasan.

Bukankah ianya bermaksud terhempas? Rasanya budak sekolah rendah pun faham mengenainya.

Lagi pula selepas pengumuman itu, Najib juga memaklumkan pencarian akan dilakukan di Lautan Hindi di kawasan yang dikenalpasti itu. Kalau bukan terhempas, apa jadahnya pula pencarian dilakukan? Begitu juga tujuan Najib ke Perth Rabu ini, adakah bertujuan meninjau pencarian pesawat yang terhempas atau membeli-belah?

Sambil merakamkan rasa sedih, Najib juga menyebut kesimpulan yang dibuatnya bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi yang berdasarkan penemuan data satelit Immarsat, adalah berita sedih yang sukar diterima dan semua waris penumpang juga sudah dimaklumkan lebih awal mengenainya.

Kenyataan ini pula bukankah bermaksud semua penumpangnya sudah terkorban?

Lebih daripada itu, kesokan harinya pula semua akhbar arus perdana yang semuanya dalam kawalan pejabat Perdana Menteri telah melaporkan bahawa pesawat itu telah terhempas di Lautan Hindi. Tidakkah ini mengesahkan lagi bahawa kenyataan Najib itu memang bermaksud MH370 telah terhempas?

Pada 25 Mac itu juga, Najib telah membawa usul takziah di Parlimen untuk merakamkan rasa dukacita kerajaan atas tragedi yang berlaku dan meminta semua pihak bersatu hati mengenainya.

Najib juga mengumumkan bahawa Majlis Fatwa akan bermesyuarat pada petang 25 Mac itu untuk menentukan bilakah sembahyang jenazah ghaib boleh diadakan. Bagaimanapun Majlis Fatwa yang bermesyuarat tidak menetapkan keperluan tarikh tertentu sembahyang jenazah perlu diadakan sehingga bukti mayat atau cebisannya ditemui terlebih dahulu.

Tidakkah semua fakta dan keterangan ini menunjukkan bahawa memang Najib bermaksudkan pesawat itu telah terhempas dan tiada nyawa yang terselamat, tetapi hanya berselindung di sebalik ayat berakhir di Lautan Hindi, rasa sedih, ucapan takziah dan keperluan mengadakan sembahyang jenazah ghaib?

Jika tidak bermaksus tiada yang terkorban sebagaimana kenyataan Hishammuddin hari ini, buat apa pula Najib membawa usul takziah di Parlimen, menyatakan rasa sedih dan menyatakan Majlis Fatwa akan menetapkan tarikh untuk sembahyang jenazah secara ghaib?

Dalam SMS MAS kepada waris penumpang pula sebagaimana yang dipetik oleh BBC ianya bertulis, "Dengan penuh rasa kesal Malaysia Airlines percaya bahawa tiada syak lagi MH370 telah hilang dan tiada yang terselamat."

Bagaimanapun sejak pengumuman menyedihkan itu, bukan saja tiada mayat atau serpihan pesawat yang ditemui di Lautan Hindi, bahkan objek-objek yang dikesan satelit yang sebelumnya dipercayai kemungkinan daripada MH370 hanyalah sampah-sampah yang dibuang di lautan saja.

Sumber satelit Immarsat pula kemudiannya menafikan bahawa kesimpulan MH370 berakhir di Lautan Hindi datangnya daripada mereka, sebaliknya menyatakan Immarsat hanya membekalkan maklumat tetapi kesimpulan dibuat oleh kerajaan Malaysia.

Setelah seminggu sejak pengumuman Najib itu dan tempoh pencarian keseluruhan sudah menjangkau hari ke 25 tetapi tiada juga sebarang penemuan, ramai waris mangsa mula meluahkan kemarahan dan menuntut kerajaan mengemukakan bukti kukuh atau meminta maaf mengenainya.

Tindakan Hishammudin cuba mempertahankan Najib semata-mata kerana enggan memohon maaf adalah tindakan memalukan dan menjelaskan kepada dunia bagaimana standard kita menangani krisis yang menjadi perhatian dunia. Setelah kenyataan Najib bahawa MH370 berakhir di Lautan Hindi adalah berdasarkan kesimpulan penemuan data satelit Immarsat tetapi kemudian dinafikan oleh Immarsat bahawa mereka hanya membekalkan maklumat dan kesimpulan dibuat oleh kerajaan Malaysia, telah menjejaskan wibawa negara, penafian tanpa asas Hishammuddin terhadap kenyataan abang sepupunya itu, sekali lagi meletakkan imej negara menjadi perbualan dunia.

Sikap Hishammuddin ini bukan saja menjadikan kita sering berubah pendirian atau flip-flop dalam memberikan maklumat tetapi juga akan dikenali sebagai bangsa dan negara yang sukar meminta maaf. Apalah sukarnya meminta maaf jika benar Najib yang silap?

Dalam hal ini, siapakah sebenarnya yang menjadi keutamaan Hishammuddin dalam tragedi MH370 ini - Najib atau maruah negara? -shahbudindotcom

'PM tak sebut MH370 terhempas'

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein Onn menangkis tuntutan waris penumpang China supaya Malaysia memohon maaf kepada mereka berhubung berhubung nasib yang menimpa pesawat MH370.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pengumuman pada 24 Mac lalu langsung tidak menyebut bahawa penerbangan itu "terhempas" atau "tiada yang terselamat".

“Dakwaan itu sangat tidak betul,” katanya yang menjelaskan, perdana menteri hanya mengumumkan bahawa penerbangan tersebut berakhir di tengah Lautan Hindi, berdasarkan analisis ke atas data yang diperolehi.

Tambahnya, satu pertemuan peringkat tinggi dengan anggota keluarga tersebut akan diadakan tidak lama lagi, bertujuan untuk memberi taklimat dari pakar antarabangsa.

Jelasnya, kebanyakan daripada penyelidikan dalam kes tersebut dijalankan tenaga pakar antarabangsa dari banyak negara.

"Taklimat ini akan membolehkan mereka mendengar sendiri dari pakar ini," katanya.

Beliau juga menyatakan rasa simpati kepada anggota keluarga berkenaan.

"Saya faham bahawa mereka mahu lihat bukti fizikal sebelum menerima bahawa MH370 berakhir di Lautan Hindi.

Katanya, beliau telah bertemu dengan anggota keluarga terbabit dan berjanji bahawa Malaysia tidak akan putus harapan.

"Kita tidak akan mengaku kalah sebelum kita mengetahui apa yang berlaku kepada MH370," katanya dalam sidang media hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan waris penumpang MH370 dari China itu menuntut Kerajaan Malaysia dan Malaysia Airlines (MAS) meminta maaf kerana mengisytihar kematian kesemua 239 orang dalam penerbangan MH370, tanpa mengemukakan bukti konklusif.

Seorang wakil kepada 34 orang waris berkenaan, Jiang Hui berkata Najib tidak bertanggungjawab apabila mengumumkan perkara itu dan wakil Malaysia sebelum ini hanya memberi "maklumat tidak efektif untuk mereka".

Mereka juga kesal kerana wakil berkenaan perlu memeriksa maklumat dengan kerajaan Malaysia untuk setiap pertanyaan mereka.

Oleh itu, kumpulan tersebut mahu bertemu dengan wakil dari kerajaan Malaysia, pembuat pesawat Boeing, pembuat enjin, Rolls Royce, syarikat satelit Inmars
at serta wakil operasi mencari dan menyelamat bagi mendapatkan jawapan. -mk


CEO MAS: Hancur luluh hati saya

SEPANG - "Hancur luluh hati saya apabila mengenangkan kesedihan tidak tertanggung yang dialami keluarga terbabit dan tiada kata-kata yang dapat meredakan kesedihan ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya.

Sejurus selepas sidang akhbar mengenai MH370 awal hari ini, Ahmad Jauhari berkata beliau bukan berkata demikian kerana kedudukannya sebagai CEO MAS, tetapi sebagai seorang bapa dan anak.

"Setiap anggota keluarga MAS mendoakan kesejahteraan 239 roh mereka yang menaiki MH370 dan orang yang mereka sayang pada hari yang memilukan ini. Kami (MAS) mendoakan kesejahteraan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa," kata Ahmad Jauhari yang mengalirkan air mata apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman tentang nasib pesawat itu malam semalam.

Beliau berkata seluruh warga MAS turut berasa sedih dan pilu. "Sedih kerana kesemua mereka yang menaiki Penerbangan MH370 pada 8 Mac tidak akan dapat lagi berjumpa dengan keluarga masing-masing. Dan kini, keluarga terbabit terpaksa menjalani kehidupan tanpa orang yang mereka sayangi. Satu lagi perkara yang tidak patut dilupakan ialah 13 rakan kami dan rakyat Malaysia lain juga menaiki pesawat itu.

"Izinkan saya menyatakan dengan sejelas-jelasnya tentang peristiwa petang semalam bahawa satu-satunya motivasi bagi kami (MAS) ialah untuk memastikan bahawa dalam tempoh yang amat singkat, keluarga berkenaan dapat mendengar berita sedih itu sebelum dunia mendengarnya," kata beliau.

Beliau berkata dengan sedapat mungkin, MAS menyampaikan berita itu secara peribadi kepada keluarga terbabit atau melalui telefon dan menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) hanya sebagai langkah susulan untuk memastikan hampir 1,000 anggota keluarga terbabit mendapat berita itu dari syarikat penerbangan tersebut sendiri, bukan dari media.

Ahmad Jauhari berkata seperti orang lain, MAS juga menunggu berita itu daripada pihak berkuasa.

"Kita tahu bahawa walaupun terdapat banyak petunjuk ketara, namun tidak terdapat pengesahan tentang identiti sebarang serpihan yang diperkatakan itu. Sukar untuk meramalkan berapa lama masa yang perlu diambil. Tetapi, selepas 17 hari, pengumuman yang dibuat malam tadi dan dikongsi dengan keluarga terbabit, merupakan hakikat yang perlu kita terima sekarang," katanya.

Beliau berkata apabila MAS mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa penyiasatan, persiapan akan dibuat untuk membawa keluarga terbabit ke kawasan penemuan sekiranya mereka ingin berbuat demikian, tapi untuk waktu ini, mereka akan terus membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Sementara itu, Ahmad Jauhari mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari yang benar-benar bersifat global ini.

"Peristiwa yang belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan ini menjadikan 18 hari lepas sebagai tempoh yang paling mencabar dan terpaksa diharungi oleh seluruh pasukan kami di MAS. Saya amat terharu dengan ketekunan, dedikasi, rasa prihatin yang diutuskan serta sokongan yang diberi oleh pasukan kami yang hebat ini.

"Kami tidak tahu kenapa dan kami tidak tahu bagaimana tragedi dahsyat ini terjadi. Tapi, sebagai keluarga MAS, kami mendoakan kesejahteraan untuk penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370," katanya.

Setelah 17 hari gerakan mencari dan menyelamat dijalankan, semalam, Najib mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Beliau membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK dan Inmarsat, syarikat dari United Kingdom yang menyediakan data satelit berkenaan.

Penerbangan MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac. Pesawat itu dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. - Bernama


ULASAN GB


Bukankah semas apengumuman oleh Najib tempohari para media melaporkan Hishamuddin turut sebab dan menitiskan air mata? Apa ertinya itu? Bukan ia memberi gambara yang Hishamuddin sendiri memperakui kenyataan Najib membawa makna pesawat itu telah terhempas dan tiada yang sealamt?

Lagi lama, lagi banyak "wayang" yang kita nak kena layan bab MH370 ni. Berbalik-balik, berpusing-pusing.

Bila ditegur tahu nak marah, tuduh kita tak prihatin, tak sensitif terhadap emosi dan perasaan keluarga mangsa disamping tuduh kita sebar maklumat bercanggah sedangkan yang buat kenyataan dan sebar maklumat bercanggah dan yang mempermainkan emosi para waris adalah kamu.

Cubalah berkata yang benar. Inilah akibat dari suka berdusta dan berbohong akhirnya di dalam kes yang sebegini kritikal, lidah pun bersengketa dan sering keluarkan maklumat-maklumat yang sekejap kata begini sekajap kata begitu.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.