Wednesday, February 5, 2014

SPRM perlu campur tangan kelewatan klia2 - Nurul Izzah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mula menyiasat pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ekoran kelewatan projek berkenaan termasuk isu tidak menepati piawaian keselamatan, kata pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke berkata, dengan peningkatan kos yang berlipat ganda dalam pembinaan lapangan terbang itu, SPRM seharusnya dilibatkan untuk membuat pemeriksaan sekiranya berlaku unsur rasuah dalam pembinaan tersebut.

"Ini skandal yang perlu disiasat segera secara terbuka," kata Loke.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebelum ini memberi jaminan bangunan klia2 akan dibuka pada 2 Mei tahun ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagaimanapun berkata, perkara itu terpaksa ditunda memandangkan dua pertiga daripada bangunan terminal utama lapangan terbang itu tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran selepas pemeriksaan dijalankan minggu lalu.

MAHB berkata, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Majlis Perbandaran Sepang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat membuat pemeriksaan terhadap bangunan itu pada minggu terakhir Januari dan mendapati 65% daripada terminal utama tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran.

Pemeriksaan mereka mendapati terdapat keretakan pada paip pembetungan di luar terminal, dan bahagian jalan serta perparitan yang tidak sesuai untuk digunakan.

Perakuan mereka penting bagi pengeluaran Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

"Kementerian Pengangkutan perlu menjalankan pemeriksaan," kata Loke lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar turut menegaskan SPRM menyiasat proses pembinaan dan pengeluaran tender projek tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata, Hishamuddin juga seharusnya dikenakan tindakan dipindahkan daripada kementerian berkenaan ekoran kegagalan klia2 untuk beroperasi seperti yang dijanjikannya.

"Apakah kelayakan kontraktor ini sehingga diberikan projek secara runding terus?" soal Mahfuz.
"Kita minta kerajaan nyatakan kos keseluruhan yang terpaksa ditanggung selepas beberapa kali pembukaan lapangan terbang itu ditunda," katanya.

"Berapa kos penalti yang telah dibayar kontraktor," katanya lagi.

Kontraktor utama pembinaan lapangan terbang tersebut, UEMC–Bina Puri Joint Venture (JV) sebelum ini sudah memberi jaminan ia akan menyerahkan bangunan terminal atau menyerahkan CCC kepada pengendali lapangan terbang itu pada 31 Januari.

MAHB dalam kenyataanya berkata, ia akan terus terlibat dengan UEMC–Bina Puri JV bagi tindakan seterusnya berhubung pengeluaran CCC dan Kesediaan Operasi dan Pindahan Lapangan Terbang (ORAT).

"Usaha sedang diambil untuk memberi bantuan kepada UEMC-Bina Puri JV untuk menyiapkan bangunan terminal itu bagi membolehkan klia2 dibuka pada 2 Mei 2014," kata MAHB.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan pagi ini menegaskan pihaknya akan mengusulkan agenda reformasi Parlimen dengan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan isu klia2.

"Ia akan bermula dengan penubuhan jawatankuasa Parlimen untuk menangani dasar fiskal, pertahanan dan keselamatan dalam negeri, perdagangan domestik dan antarabangsa, pendidikan dan pengangkutan awam," katanya.

Naib Presiden PKR itu juga menegaskan jawatankuasa berkenaan akan dipilih daripada wakil dariada PR dan Barisan Nasional (BN) serta bertanggungjawab untuk memastikan pembinaan klia2 ini mematuhi spesifikasi piawaian keselamatan antarabangsa dan memberikan lebih kawalan kepada penyeliaan kos pembinaan KLIA.

"Agenda reformasi Parlimen ini adalah penting demi mendalami isu-isu secara terperinci untuk menjaga kepentingan rakyat.

"Sudah tiba masanya prinsip timbang tara dan pemisahan kuasa dilaksanakan melalui pengupayaan peranan Parlimen oleh pelbagai jawatankuasa tetap dan terpilih," ‎katanya. - TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.