Wednesday, February 5, 2014

Mana kerjanya Ahmad Maslan? - Oleh Shirzad Lifeboat


TIMBALAN Menteri Kewangan yang sering mengeluarkan kenyataan tidak menyenangkan rakyat mengenai sesuatu isu, Ahmad Maslan kini menuduh pula kenaikan angka pengangguran di negara ini adalah disebabkan mereka yang menurut hemat beliau sebagai ‘rakyat Malaysia pemalas’.

Menurutnya , “Tiga peratus adalah mereka yang pemalas…  Mereka lebih buruk dari sekadar malas.  

Terdapat 300,000  yang hanya duduk dan tidak melakukan apa-apa,” bagi merujuk kepada mereka yang dianggap oleh Ahmad Maslan sebagai pemalas.

Sejak Merdeka, ramai dari kalangan pemimpin Umno dan juga dari kalangan pemimpin parti komponen BN yang lain pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kewangan.

Walaupun dalam memilih anggota kabinet, terutama sekali Timbalan Menteri, Umno biasanya mengamalkan sikap ‘jobs for the boys’ maknanya melantik seseorang ke jawatan itu untuk memberikan pekerjaan kepada orang tertentu dalam parti (biasanya kerana akrab dengan pucuk pimpinan dan tidak semestinya kerana kebolehan, prestasi dan trek rekod), tetapi biasanya untuk jawatan Timbalan Menteri Kewangan ia dilakukan dengan lebih hati-hati.

Hanya mereka yang tahap inteleknya tinggi sahaja dilantik memenuhi jawatan tersebut dan tidak semestinya mereka yang memiliki berjela-jela ijazah atau merupakan bekas pelajar cemerlang yang pernah menerima pelbagai anugerah.

Namun di zaman Najib, amalan ini nampaknya telah diubasuai  sedikit.  Walaupun Najib masih lagi mengekalkan amalan ‘jobs for the boys’, tetapi perlantikan Timbalan Menteri Kewangan juga dibuat mengikut acuan yang sama.  

Justeru tidak hairanlah sekiranya, terlalu banyak analisis mengenai ekonomi dibentangkan oleh Ahmad Maslan  tidak tepat, tersasar, berat sebelah dan meragukan dan akhirnya menjadi tidak lebih daripada cakap-cakap politik kosong bagi menegakkan benang basah kerajaan Umno-BN.

Kini Ahmad Maslan kembali tampil bertindak sebagai mahaguru ekonomi dalam memperkatakan persoalan pengangguran di Malaysia.  

Mungkin perangkaan yang disebut beliau itu betul tetapi untuk menyatakan 300,000 rakyat Malaysia yang tidak mendapat pekerjaan adalah pemalas, rasanya itu bukan sahaja satu kenyataan kasar, tidak berhemah dan   keterlaluan tetapi juga menunjukkan sikap tidak-matang dan kurang bertamadun seseorang yang menanggap dirinya seorang pemimpin hebat.

Kita tidak menafikan betapa orang malas ada di mana-mana sekalipun.  Tetapi tak logiknya kalau dalam Malaysia ini kita boleh hitung atau membuat anggaran bahawasanya terdapat 300,000 orang malas.  

Apakah Ahmad Maslan sudah turun ke padang dan menemui setidak-tidaknya 10 peratus dari  rakyat Malaysia yang dianggapnya malas ini?

Kalau Ahmad Maslan sendiri rasa malas nak berjumpa dengan 30,000 manusia yang dianggapnya pemalas, apakah dia telah menemui sekurang-kurannyga 3,000 orang?

Cakap memang senang.  Tapi janganlah cuma pandai cakap sahaja.  Cuba Ahmad Maslan pergi berjumpa mereka dan tanya kenapa mereka tidak mahu kerja.  

Dan janganlah asyik bercakap sahaja,  cuba belajar juga mendengar.  Sebagai seorang pemimpin berjawatan kabinet dan sebagai seorang rakyat, belajarlah prihatin sikit.  Turun padang.  Selidik dan siasat sebab musabab mengapa mereka tidak berkerja atau memohon pekerjaan yang kosong.

Kalau kebanyakan mereka dari jumlah 300,000 ini memiliki ijazah pertama, diploma, SPM atau sijil kemahiran lainnya tetapi jawatan kosong yang diiklankan adalah pencuci  jamban, buruh kasar, ‘stevedore’ pengawal keselamatan, tukang sabit rumput majlis tempatan. Apakah sekiranya mereka tidak memohon dan melakukan pekerjaan yang diiklankan itu, maka mereka dianggap malas?

Lainlah sekiranya terdapat beribu-ribu jawatan yang sesuai dengan apa yang mereka telah pelajari tetapi mereka enggan memohon dan bekerja sebab kalau boleh mereka nak jadi Timbalan Menteri macam Ahmad Maslan atau menjadi CEO macam sesetengah pemimpin Umno yang diberikan jawatan tersebut menerusi amalan ‘jobs for the boys’.  Kalau macam ini baru boleh dikatakan memilih pekerjaan dan dianggap malas.

Sekiranya jawatan dan pekerjaan yang dikatakan itu tidak wujud dan yang ada hanyalah jawatan pencuci jamban dikompleks membeli belah atau pekerjaan setaraf dengannya, tak perlulah mencemuh mereka sebagai golongan rakyat Malaysia yang pemalas.

Sebelum menuduh orang lain pemalas, Ahmad Maslan sepatutnya merujuk terdahulu kepada Kementerian Sumber Manusia.  Menurut  Timbalan Menteri Sumber Manusia, Ismail Abd. Muttalib dalam sesi soal jawab di Parlimen November lalu, jumlah siswazah yang menganggur adalah sebanyak 210,263 orang. Tak kan siswazah nak kerja jadi konduktor bas dan sebagainya.

Di harap lain kali sebelum menuduh rakyat Malaysia golongan tidak bernasib baik ini ‘pemalas’ janganlah Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan malas nak buat homework.  Kalau menteri atau timbalan menteri malas, maka inilah jadinya.

Rasanya baru lagi Menteri Kewangan diperlekehkan oleh dunia kerana ‘kangkungnya’.  Dan rasanya cukuplah negara kita mempunyai sekian banyak ‘bozo’ dalam kabinet kerajaan.

Ahmad Maslan boleh menyelamatkan dirinya dari terus dikecam atau dihina oleh masyarakat sekiranya meletakkan jawatannya selaku Timbalan Menteri Kewangan.

Malah ramai merasakan Kementerian Kewangan mungkin akan menjadi lebih baik dan lebih memberi manfaat kepada rakyat Malaysia sekiranya beliau berbuat demikian. - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.