Wednesday, February 5, 2014

Guna ugutan, Mukhriz sama macam bapanya


KUALA LUMPUR - PAS Kedah menyifatkan tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menggunakan teknik ugutan dalam pentadbirannya menyerupai pemerintahan ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri.

Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Mukhriz tidak perlu mengungut kononnya akan mendedahkan penyelewengan semasa Pakatan Rakyat memerintah negeri itu jika Pakatan Rakyat terus menerus menyerang pentadbiran beliau.

Sebaliknya kata Mahfuz, PAS sendiri mengalu-alukan sebarang pendedahan penyelewengan jika benar Mukhriz mempunyai bukti.

Menurut beliau, PAS tidak gentar dengan ugutan yang dilakukan oleh Menteri Besar itu dan PAS akan terus membuat pendedahan atas penyelewengan yang ada sepanjang Barisan Nasional mentadbir negeri itu.

"Kita cabar Mukhriz membuat pendedahan tersebut, jangan hanya pandai membuat ugutan sahaja. Kalau betul ada penyelewengan dedahkan dan kita (PAS) tidak takut," jelasnya di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut memberitahu, sepanjang lima tahun pemerintahan Pakatan Rakyat khususnya PAS di Kedah tidak pernah ada sebarang siasatan dilakukan oleh mana-mana agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Sepanjang lima tahun pemerintahan tidak ada sebarang siasatan dilakukan. Saya tidak takut dan akan terus mendedahkan sebarang penyelewengan mahupun kelemahan pentadbiran BN," sambung beliau.

Mahfuz memberitahu ugutan Muhkriz itu berikutan pendedahan yang dilakukan PAS atas pemilikan kereta KBB8 yang sehingga sekarang belum ada penjelasan khusus dilakukan oleh Menteri Besar itu.

Beliau yang juga menggesa agar SPRM melakukan siasatan terhadap Mukhriz kerana khuatir budaya ugutan itu akan menjadikan amalan kepadanya bagi menyembunyikan penyelewengan jika ada pimpinan dalam kerajaan BN mahupun Pakatan Rakyat yang mahu membuat pendedahan. - Harakahdaily

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.