PAKATAN SETAKAT DEMO JER...UMNO BERONTAK ...
PM jumpa penyokong malam ini, bendung pemberontakan parti
Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam ini memulakan langkah untuk
mempertahankan diri daripada serangan pengkritik yang tidak henti-henti
menyerangnya sejak bulan lalu selepas pemilihan Umno pada Oktober.
The
Malaysian Insider difahamkan bahawa presiden Umno itu akan mengadakan
pertemuan dengan ketua bahagian, pemberi pendapat dalam parti dan
penyokongnya untuk menangani kritikan yang dilemparkan terhadap
kepimpinannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan
beberapa veteran parti yang lain.
Najib dijangka menggariskan apa
yang beliau percaya sebagai motif di sebalik semua serangan di ruang
siber, hampir serupa dengan kempen yang akhirnya menyebabkan Tun
Abdullah Badawi melepaskan jawatannya pada 2009.
Susulan
daripada taklimat tertutup itu, pengikut setia Najib dijangka turun ke
akar umbi dan menyebarkan pesanan PM untuk terus berjuang dan jangan
menghiraukan sebarang kritikan.
Taklimat itu adalah tanda yang
menunjukkan Najib dan barisan penasihat akhirnya menerima hakikat bahawa
serangan bertubi-tubi dan berterusan terhadapnya adalah perkara yang
serius serta memberi kesan terhadap pegangan kuasanya.
Najib dilantik
sebagai presiden Umno bagi penggal kedua selepas menang tanpa
bertanding dalam pemilihan parti dan hampir semua orangnya berada dalam
Majlis Tertinggi Umno, tetapi itu tidak menghentikan kritikan yang
menggunung mengenai kepimpinannya.
Tetapi, tidak ada bahaya yang
mendesak menunjukkan Najib akan kehilangan kuasanya dalam parti atau
Parlimen, walaupun wujudnya spekulasi menyatakan pengkritiknya mahu
beliau meletakkan jawatan sebelum akhir tahun ini.
Mandat Najib
sebagai presiden parti adalah sehingga 2016 manakala kerajaan pemerintah
Barisan Nasional ada sehingga 2018 sebelum penggal tamat.
Langkah
berdiam diri yang diambilnya terhadap serangan dalam parti dan di alam
siber dilihat sebagai tanda kelemahan, hampir serupa dengan sikap
"senyap bergaya" Abdullah ketika bekas perdana menteri itu dikutuk dan
dilabelkan sebagai "Slumberjack".
Orang kuat Najib yang juga
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengarahkan
pengkritik menggunakan saluran dalam parti untuk menyuarakan kegusaran
dan tidak puas hati masing-masing.
Secara
jelas pesanan itu ditujukan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz
Mahathir yang sebelum itu mengeluarkan kenyataan potongan subsidi Najib
akan memberi kesan kepada sokongan terhadap BN pada pilihan raya akan
datang.
Bapa Mukhriz, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
juga mengkritik BN di bawah pentadbiran Najib dengan berkata gabungan
itu lemah dan kerajaan sepatutnya memotong perbelanjaan, bukan subsidi.
Daim,
bekas penasihat ekonomi kerajaan dan menteri kewangan, dalam satu
mesyuarat tertutup di Umno Merbok, 10 hari lalu, turut berkata BN boleh
kehilangan kerajaan jika pilihan raya diadakan pada waktu sekarang
dengan polisi semasa BN terkini.
Perdana menteri juga menjadi bahan
lawak di alam siber berhubung kenyataannya yang meminta rakyat bersyukur
dan berterima kasih kepada kerajaan apabila berlaku kejatuhan harga,
bukan hanya tahu menyalahkan kerajaan ketika harga naik.
Sumber dalam
Pejabat Perdana Menteri berkata pembantu khas Najib menuduh adiknya,
ketua CIMB, Datuk Seri Nazir Razak berniat "jahat, serangan tertutup"
terhadap abangnya menerusi artikel yang disiarkan sempena mengingati
pemergian ayah mereka, Tun Abdul Razak Hussein ke rahmatullah pada 1976.
Dalam
artikel yang disiarkan oleh The Malaysian Insider dan dua media lain,
Nazir memuji allahyarham bapanya yang memegang sifat integriti dan
langkah berjimat dan berkata, pemimpin negara patut kembali ke pangkal
jalan untuk membangunkan negara.
Najib yang mula memegang tampuk
kuasa pada April 2009 berjanji untuk berubah dan melaksanakan
liberalisasi menerusi landasan 1Malaysia dan berkata, zaman "kerajaan
tahu yang terbaik" sudah berlalu.
Tetapi,
perubahan yang dilaungkannya menyebabkan BN kalah lebih banyak kerusi
dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dan ekonomi Malaysia merudum dengan
ramalan global agak suram sehingga memaksa Najib memotong subsidi dan
memperkenalkan cukai penggunaan untuk memastikan kadar kewangan yang
positif.
Potongan subsidi dan gaji minimum mandatori serta
peningkatan kos sara hidup datang serentak bersama serangan terhadap
perdana menteri yang sering melakukan lawatan ke luar negara dan
kegagalannya mengawal perbelanjaan awam.
Selepas teruk dikritik,
Najib mengumumkan 11 langkah untuk berjimat tetapi pengkritik berkata,
ia terlalu sedikit dan sudah terlambat hingga memerlukan Dr Mahathir
kembali ke Putrajaya untuk memulihkan nasib Malaysia.
Posted by
cerita kedai kopi
THE MALAYSIAN INSIDER
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.