Jika beliau menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) Kajang, peranan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam
kerajaan negeri Selangor ialah untuk membantu dan bukan menggantikan
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata Rafizi Ramli.
Pengarah Strategi PKR yang merangkap arkitek utama ‘langkah Kajang’
penuh kontroversi itu berkata, Anwar akan memberikan Abdul Khalid
perisai politik untuk mempertahankan kerajaan negeri daripada apa yang
PKR percaya peningkatan serangan politik daripada ekstremis Umno.
“Anwar boleh jadi MB (menteri besar), Khalid boleh jadi penasihat, Anwar boleh jadi MB, Khalid jadi exco, Khalid boleh jadi MB, Anwar jadi exco. Pilih atur itu ada banyak.
“Tetapi gabungan pakar politik dan pengurusan dalam kerajaan Pakatan
pada masa ini amat diperlukan untuk berdepan dengan perkembangan politik
akan datang,” katanya dalam temubual bersama The Malaysian Insider.
PKR percaya pesaingnya, parti Melayu, Umno kini bertambah agresif dalam
memarakkan ketegangan kaum, dan contohnya ialah roadshow isu kalimah
Allah yang dilihat sebagai usaha untuk meletakkan kerajaan Pakatan
Rakyat Selangor berada dalam keadaan tidak stabil.
Pada masa sama, Rafizi mengakui bahawa kehadiran Anwar dalam kerajaan
Selangor bertujuan menyelesaikan permusuhan yang jadi bertambah buruk
antara Azmin, yang mengetuai PKR Selangor dan Abdul Khalid.
Bagaimanapun, Rafizi menekankan menyelesaikan apa juga masalah di antara
kedua-dua pemimpin itu, yang dilihat secara jelas tidak sehaluan dalam
pelbagai isu, adalah perkara “kedua” penting.
“Jika ia persoalan (menyelesaikan) permusuhan Abdul Khalid dan Azmin
seperti yang diperkatakan, jadi mengapa kami tidak melakukannya dua atau
tiga tahun lalu?“Persengketaan itu memang sudah ada. Ia bukan hanya
sebab permusuhan. Itu adalah perkara kedua.
“Kami mahu memperkukuhkan Selangor untuk menjadikan ia negeri contoh dan
kami mahu mempunyai pilihan sebaik mungkin untuk tindak balas terhadap
BN,” kata ahli Parlimen Pandan itu.
Anwar akan bertanding untuk mendapatkan kerusi DUN Kajang selepas ia
dikosongkan secara sukarela oleh penyandangnya, Lee Chin Cheh, dan
tindakan itu menerima kritikan daripada pelbagai kumpulan persatuan
sivil.
PKR mendedahkan peletakan jawatan Lee adalah bagi memberi laluan kepada
Anwar untuk bertanding di kerusi itu bagi membolehkan Anwar menjadi Adun
atau ahli badan perundangan Selangor.
Parti itu mempertahankan plot berkenaan walaupun tindakan itu
menimbulkan kemarahan ramai yang menyatakan pilihan raya kecil adalah
pembaziran wang rakyat.
PKR mendakwa “langkah taktikal” itu perlu bagi memperkukuh Selangor dan
menjadikan ia sebagai batu loncatan untuk Pakatan Rakyat mengambil alih
Putrajaya.
PKR juga dituduh mengunakan pilihan raya untuk membenarkan Anwar
menangani persaingan antara Abdul Khalid dan Azmin.
Dalam temubual
semalam, Rafizi turut mempertahankan rancangan itu sebagai satu
keperluan untuk menambah sokongan Pakatan di Selangor terutama ketika
rakyat kini menjadi semakin mendesak terhadap kerajaan negeri.
“Ketika penggal pertama, kami adalah kerajaan baru dan rakyat beri kami
kepercayaan walaupun ada sedikit sangsi. Tetapi, dalam penggal kedua
ini, mereka mahu kami selesaikan masalah mereka.
“Kita tidak boleh
terus-terusan jadi defensif dan beroperasi dalam keadaan terkepung dan
bermain kad simpati,” katanya. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.