Che Salmi, Pengurus SABASUN Yang Saya Kenali
Saya mengenali secara dekat Che Salmi, pengasas Pasaraya Sabasun yang mesra dikenali sebagai Abang Long sekitar akhir tahun 2011 semasa mula memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Terengganu. Antara program awal anjuran Lujnah yang telah diadakan adalah Forum Kepenggunaan.
Selain daripada YB Dato’ Mahfuz Omar, Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Pusat, Che Salmi juga adalah salah seorang ahli panel forum tersebut yang telah dipengerusikan oleh Saudara Zulkifli Sulong, Editor Harakahdaily.
Mengenalinya sebagai seorang yang simple, senang diajak berbicara, merendah diri tetapi tegas dan serius dalam memberikan pendapat.
Sebelum bersua dengannya buat pertama kali, saya telah mendengar tentang peribadinya sebagai seorang dermawan yang banyak menyumbang untuk pelbagai bentuk aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.
Sepatah beliau menceritakan diawal perbualan kami bahawa aktiviti perniagaan telah menjadi minatnya semenjak ketika menuntut di Amerika Syarikat lagi.
Ada saya bertanya, “dari mana timbulnya nama SABASUN?”
Jawabnya, “SABASUN berasal dari perkataan SABAR SUNGGUH.”
Mengambarkan bagaimana retetan perjalanan beliau sebagai antara anak Melayu Islam di Terengganu secara khususnya dan di Malaysia amnya yang mula menceburi industri perniagaan runcit bermula dari kecil-kecilan dengan segala kepayahan dan penuh kesabaran sehingga akhirnya berkembang dan menjadi antara pasaraya tumpuan pelanggan sekitar Kuala Terengganu.
Kewujudan Pasaraya SABASUN ini memberikan peluang kepada ramai pengusaha IKS dari kalangan melayu Islam untuk memasarkan barangan keluaran mereka yang tidak mendapat tempat di pasaraya besar milik bukan bumiputera.
Ketika berforum bersamanya yang bertemakan ‘Barang Naik Harga, Rakyat Tanggung Bahana’, saya menyimpan beberapa bait ungkapan yang dilontarkannya dan kekal diingati sehingga sekarang. Antaranya…
“Apabila harga barang naik, air mata rakyat akan jatuh…”
“Pihak berkuasa di KPDNKK melarang para pengusaha pasaraya mengeluarkan apa-apa kenyataan kepada umum setiap kali berlakunya kenaikan harga barangan…”
“Kuota bekalan minyak masak yang diagihkan kepada peniaga hakikatnya telah tidak diperbaharui semenjak beberapa tahun yang lalu…”
“Setiap kali pihak PDRM membuat tawaran diskaun pembayaran saman trafik atau operasi besar-besaran bagi memburu pemandu yang mempunyai saman tertunggak, pasaraya akan menjadi lengang disebabkan orang ramai memperuntukkan wang yang ada bagi menjelaskan saman…”
“Ketika dunia menghadapi krisis makanan, ketika itu sesiapa yang mempunyai bekalan makanan, maka dialah yang paling kaya. Lebih kaya dari orang yang memiliki seketul emas…”
Ketika ditubuhkan NGO R bagi memperjuangkan supaya dikembalikan semula royalti minyak milik rakyat Terengganu, Che Salmi adalah salah seorang penggiatnya yang aktif.
Lagu ‘Pulangkan’ yang menjadi lagu tema NGO R Terengganu pernah saya nyanyikan bersamanya ketika menyampaikan ceramah anjuran NGO R di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu.
Rupanya beliau juga seorang ahli muzik yang berbakat besar.
Ini hanyalah secebis coretan tentang seorang hamba Allah yang telah dinafikan haknya sebagai orang Melayu, Islam dan rakyat dalam sebuah negeri berdaulat Terengganu.
SABASUN yang diasaskannya dengan penuh SABAR dan KESUNGGUHAN akhirnya akan menjadi korban kerakusan mereka yang berkuasa.
Kenapa semua ini harus berlaku? Sebidang tanah yang sedang berdiri di atasnya satu premis perniagaan milik seorang Melayu Islam nak diambil untuk diberikan kepada orang asing, khabarnya Syarikat Jaya Jusco?
Sudah tak ada lagikah tanah lain untuk diambil bagi didirikan pasaraya baru yang pemiliknya adalah orang asing tersebut? Atau ada dengki dan dendam kesumat yang perlu dilunaskan bagi memuaskan hati orang-orang tertentu?
Apakah kerana Che Salmi adalah seorang melayu Islam yang tidak menjadi ahli Umno?
Lantas tak ada apa-apa komisyen yang Umno boleh dapat daripada perniagaan beliau
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.