Penyertaan Menteri Besar
Kedah, Mukhriz Mahathir dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno
tidak sudah-sudah mengundang kontroversi. Daripada disyaratkan meminta
nasihat Presiden Umno terlebih dahulu, kemudian penyertaannya dikatakan
tidak mendapat restu berikutan Najib mahu penyandang sedia ada
dikekalkan dan terbaru ini, beliau dikatakan merupakan ancaman kepada
kedudukan Najib pula.
Namun di sebalik semua
itu, mood dan trend perwakilan Umno menjelang pemilihan 19 Oktober depan
terlihat semakin mengukuh terhadapnya. Kedudukan sebagai anak Mahathir,
kejayaan Barisan Nasional menawan semula Kedah dan imejnya sebagai
antara pemimpin muda yang baik dan berwibawa adalah antara faktor
penyumbang ke arah itu.
Ini menjadikan, meskipun
tarikh pemilihan ada kira-kira tiga minggu lagi tetapi ramai
menjangkakan beliau tidak menghadapi banyak masalah untuk menduduki
salah satu daripada tiga kerusi naib presiden itu.
Secara langsung juga
keadaan ini menjadikan sekurang-kurangnya salah seorang daripada tiga
penyandang kerusi Naib Presiden iaitu Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin
Hussein dan Shafie Apdal mulai rasa tergugat. Sekiranya, dua lagi calon
iaitu Isa Samad dan Ali Rustam turut berupaya melonjakkan diri
masing-masing, tambahan pula kedua mereka juga pernah menyandang kerusi
itu sebelum ini, bermakna ketiga-tiga penyandang jawatan naib presiden
ini tidak lagi selamat kedudukannya.
Serentak dengan
tersebarnya cakap-cakap bahawa penyertaan Mukhriz tidak mendapat restu
Najib, spekulasi itu bertambah hangat apabila Zahid, Hishammuddin dan
Shafie dilihat bersama-sama dan saling bergandingan tangan ketika hadir
di hari penamaan calon pada 21 September lalu.
Walaupun dinafikan ada
pakatan atau sebarang usaha untuk mewujudkan blok undi, kempen-kempen
yang mahukan ketiga-tiga penyandang itu dikekalkan ternyata semakin
tersebar di mana-mana.
Di Wilayah Persekutuan
pula, ketika majlis memperkenalkan salah seorang calon Naib Presiden,
Zahid Hamidi kepada para perwakilan yang diadakan di sebuah hotel minggu
lalu, Tengku Adnan Tengku Mansor secara terbuka menyatakan bahawa Najib
mahukan ketiga-tiga penyandang sedia ada dikekalkan.
Apabila perkara itu
menjadi heboh dan disiarkan dalam beberapa blog pro Umno, diberitahu
kemudiannya bahawa ucapan Tengku Adnan pada malam itu adalah atas
kapasitinya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno WP dan bukannya
sebagai Setiausaha Agung Umno.
Namun yang jelasnya, Ku
Nan dengan kedudukan dan gambarannya sebagai "tangan kanan" Najib
dilihat mahukan perwakilan Umno WP mengekalkan Naib Presiden sedia dan
menolak Mukhriz.
Di kalangan ketua-ketua
cawangan dan para perwakilan WP, ucapan Ku Nan itu telah menimbulkan
keresahan dan serba salah kerana ramai yang beranggapan bahawa kehadiran
Mukhriz sebagai salah seorang naib presiden seharusnya diterima dengan
baik, sesuai dengan saranan meremajakan parti dan menerima pemimpin muda
yang berkelayakan yang sering dilaung-laungkan sebelum ini. Tambahan
pula, di kalangan tiga penyandang naib presiden itu ada yang begitu
dipertikaikan kewibawaan dan daya kepimpinannya.
Di negeri-negeri lain
juga didapati bahawa kempen yang mahukan ketiga-tiga penyandang
dikekalkan turut kedengaran. Dalam banyak keadaan pula, nama Najib turut
digunakan untuk menguatkan keyakinan agar para perwakilan bersetuju
tanpa banyak soal dengannya.
Hujah yang digunakan
ialah Najib dikatakan cukup selesa bekerja dengan ketiga-tiga naib
presiden sedia ada yang sudah dikenalinya cukup lama dan sekiranya
berlaku perubahan ia mungkin merencatkan sebarang usaha ke arah
transformssi dalam parti dan juga kerajaan yang mahu dilakukan Najib
selepas ini.
Dan terbaru ini,
kemenangan Mukhriz sebagai naib presiden dikatakan sebagai ancaman
kepada Najib pula. Apa yang ditulis oleh The Economist mengenai hal itu
sebenarnya adalah perkara yang sudah menular jauh diperbualkan di
kalangan para perwakilan. Tujuannya tidak lain ialah untuk menghalang
kemenangan Mukhriz dan menjadikan status quo naib presiden tidak
berubah.
Isu kehadiran Mukhriz
sebagai ancaman kepada kedudukan Najib kini bukan saja terpaksa
dinafikan oleh tuan punya badan sendiri tetapi turut dilakukan oleh
Mahathir juga. Mukhriz, kata Mahathir lagi, tidak mempunyai apa-apa niat
buruk terhadap Najib.
Sementara Mukhriz mulai
menyedari bahawa kempen-kempen untuk menolaknya daripada memenangi
jawatan Naib Presiden Umno mulai mengancam peluangnya, Mahathir pula
tentunya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu anak bongsunya itu
kecundang dalam pemilihan kali ini.
Setelah kalah dalam
pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Kubang Pasu kepada Haji
Zulkifli dalam pemilihan 2004 dan kemudian kalah juga kepada Khairy
Jamaluddin dalam pertandingan Ketua Pemuda Umno Malaysia pada 2009,
Mahathir tentunya tidak rela melihat Mukhriz kalah lagi dalam
pendakiannya menuju puncak hireaki dalam Umno dan juga kerajaan.
Walaupun Najib sudah
menafikan beliau merestui calon-calon tertentu dan menyerahkan kepada
para perwakilan membuat pilihan, namun ia didapati semakin kerap
diperkatakan di mana-mana. Semakin dekat hari pemilihan, dipercayai lagu
yang mengatakan Najib mahu Zahid, Hishammuddin dan Shafie dikekalkan,
pastinya lebih kerap didendangkan dengan pelbagai irama dan tempo oleh
tukang-tukang kempen sama ada yang rasmi mahupun tidak rasmi.
Semakin kuat Mukhriz cuba menyelit dan memastikan kemenangannya, begitu jugalah semakin kuat gerakan yang mahu menolaknya.
Cumanya, bolehkah Mukhriz disingkirkan sedangkan mood dan kehendak perwakilan secara majoritinya lebih memihak kepadanya?
Kemenangan Mukhriz
mungkin menjadikan Umno tambah menarik dengan wajah kepimpinan yang
dilihat lebih segar dan meyakinkan di mata rakyat tetapi sekiranya
Mukhriz kalah, drama-drama dalam Umno selepas itu juga pastinya lebih
menarik lagi.
– shahbudindotcom
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.