Friday, October 4, 2013

SIAPA YANG MENIPU?

Shabery: Jabatan Audit culas dalam laporan K-Pop

Jabatan Audit Negara culas dalam menjelaskan perkara sebenar dalam isu perbelanjaan RM1.6 juta untuk persembahan K-Pop Hari Belia Negara, kata bekas menteri belia dan sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Shabery, kini menteri komunikasi dan multimedia, berkata, jabatan itu hanya menyatakan jumlah keluar daripada akaun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tanpa mengambil kira jumlah "sumbangan" yang dimasukkan.

"Pihak AG Audit culas dalam menjelaskan perkara sebenar kerana wang sumbangan yang dimasukkan ke dalam Akaun Majlis Sukan Negara tidak dinyatakan oleh pihak Audit Negara sebaliknya hanya mengambil kira wang yang keluar dari akaun KBS," katanya.

Selain mendedahkan jumlah kosnya, laporan audit juga menegur KBS atas "perbelanjaan tinggi" dan "tidak "selaras dengan peraturan perbelanjaan berhemat" bagi belanja lain untuk sambutan tersebut - berjumlah hampir RM3 juta. Kumpulan K-Pop dari Korea Selatan U-Kiss, Teen-Top dan Dal Shabet terlibat dalam persembahan itu.

Menulis di Facebook, Shabery berkata, justeru itu, terbukti bahawa tiada wang rakyat dibazirkan sepertimana dakwaan pembangkang yang hanya bersandarkan rumusan pendek Laporan Ketua Audit Negara 2012. 
 
"Moga Rakyat celik mata dengan perkara ini, kita juga tidak mahukan pembaziran sepertimana laporan audit negara tentang pembelian mesinscanner berharga RM14,000 seunit.

"Tetapi dalam isu KBS, ia tidak pembaziran wang rakyat sebaiknya adalah wang tajaan dari syarikat korporat dalam dan luar negara yang mengambil bahagian pada Hari Belia Negara," katanya. 
 
Bagaimanapun, berbeza dengan Shabery menteri belia dan sukan yang baru Khairy Jamaluddin berkata, KBS membuat bayaran besar itu selepas syarikat yang menawarkan penajaan tidak meneruskan pembiayaan itu.

Khairy: Ya, Kementerian Bayar K-Pop RM1.6 juta

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui kementerian itu membayar RM1.6 juta untuk acara konsert K-Pop pada tahun 2012 seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat bayaran itu selepas syarikat yang menawarkan penajaan tidak meneruskan pembiayaan itu."Mengenai konsert K-pop di sambutan Hari Belia 2012 yang mendapat perhatian orang ramai - memang betul konsert ini dibiayai KBS.

"Kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana pada ketika itu ada tawaran dari pihak swasta untuk menaja aktiviti tersebut.
 
"Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran untuk konsert K-pop di Hari Belia 2012," katanya menerusi kenyataan pada laman Facebook beliau. Jelasnya lagi, pihaknya tidak akan meneruskan lagi acara sebegitu pada sambutan Hari Belia 2013 dan tahun-tahun akan datang.


'Saya mesti jawab & bertindak'


Ketua setiausaha kementerian Mohd Mohamad dalam laporan Bernama tahun lalu menyatakan bahawa kos membawa masuk persembahan tersebut ditanggung penaja.

Tiga kumpulan K-Pop - U-Kiss, Teen-Top dan Dal shabet - dilapor ditampilkan untuk persembahan pada acara tersebut oleh syarikat Stadium First Sdn Bhd. Menurut Khairy, beliau bertanggungjawab menjelaskan perkara itu walaupun beliau bukanlah menteri KBS pada masa itu.

"Saya tidak boleh menggunakan alasan bahawa laporan ini adalah tentang perbelanjaan di KBS sebelum saya dilantik sebagai menteri. 
 
"Prinsip kebertanggungjawapan bersama atau collective responsibility bermakna saya mesti menjawab dan bertindak ke atas apa yang berlaku dalam kementerian saya," katanya. 
 
Menteri belia dan sukan sewaktu sambutan itu berlangsung adalah Datuk Seri Shabery Cheek yang kini merupakan menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan. [MK]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.