Tuesday, October 15, 2013

Khairy menang kerana Mahathir, bagaimana nasib Zahid? – Timmy Say

Photo

Khairy Jamaluddin berjaya mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Umno dengan cemerlang. Beliau membolot kesemua undi bahagian untuk jawatan ini.

Khairy sering dilihat sebagai manusia paling bijak di dalam Umno kerana hujah dan kehebatan debatnya. Bukan itu sahaja, kehebatannya diserlahkan lagi oleh sijil pengajian Oxfordnya.

Ketika pemilihan Umno dulu, dengan kuasa Tun Abdullah Badawi yang seperti matahari terbenam, Khairy masih berjaya mengalahkan Mukhriz yang disokong Dr Mahathir walaupun diberi amaran atas dakwaan politik wang oleh Jawatankuasa Disiplin Umno.

Khairy bernasib baik ketika itu berbanding nasib yang dialami bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang hilang kelayakan bertanding.

Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, jawatankuasa disiplin gagal mengaitkan ejen-ejen yang didapati bersalah bermain politik wang dengan Khairy, tidak seperti ejen Mohd Ali.

“Ejen Mohd. Ali iaitu Saadun Basirun adalah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri. Jadi apa yang dilakukan oleh Saadun ialah memberi duit, maka Mohd. Ali perlu beri penjelasan. Dan penjelasan yang diberikan oleh beliau tidak memuaskan hati dan tidak munasabah.

"Mengenai Khairy pula tidak ada kaitan jelas kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang dikatakan ejen beliau. Sukar untuk mengaitkan ejen terbabit dengan Khairy,” kata Ahmad Rithaudeen ketika itu.

Namun ketika itu, ada yang kata Khairy terlepas kerana beliau ialah menantu Pak Lah.

Ekoran kejayaannya menjadi Ketua Pemuda Umno, bayang Khairy sebagai menantu Pak Lah mulai hilang dan kini Khairy dilihat berjaya berdiri dengan kaki sendiri selepas empat tahun tidak membiarkan dirinya lemas daripada segala tekanan dalaman terutamanya dari Dr Mahathir.

Khairy adalah Ketua Pemuda Umno yang pertama yang dihalang dengan pelbagai cara (ada yang mendakwa tangan Tun Dr Dr Mahathir Mohamad) daripada menjawat sebarang jawatan di kabinet sehinggalah Umno berjaya mengekalkan kemenangan BN di PRU13.

Tapi Khairy berjaya menyelamatkan diri. Beliau meneruskan kerja seperti biasa. Umno tidak tewas malah berjaya menawan lebih banyak kerusi parlimen.

Itulah hikmahnya, dan keadaan beliau sekarang jauh lebih baik daripada Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir yang masih lagi hidup dalam bayang-bayang bapanya.

Di PRU13, Khairy antara penyokong kuat konsep 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun yang menyelamatkan nasib Umno, beserta Najib dan secara tidak langsung Khairy ialah Dr Mahathir yang memainkan isu ala-kanan sehingga Umno berjaya menguasai lebih 60 peratus undi Melayu secara keseluruhannya tapi kerana sokongan kuatnya kepada Najib, Khairy akhirnya dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Prestasi dan kelantangan beliau mengkritik apa yang perlu cukup menyerlahkan bakat beliau sebagai seorang menteri dan ini membantu beliau mengekalkan kerusi Ketua Pemuda Umno yang disandangnya.

Sebelum pemilihan Umno berlaku, Dr Mahathir dilihat cuba, barangkali buat kali terakhirnya, untuk “menyelamatkan Umno” dengan tulisan-tulisan tajamnya untuk menpengaruhi pola pengundian ahli Umno mengikut seleranya.

Khairy bukan muka baru di dalam Umno, tapi beliau menang mengalahkan muka baru seperti Akhramsyah Sanusi dan Muammar Ubaidah walaupun Dr Mahathir secara terbuka meminta ahli Umno memberi peluang pada muka baru.

Namun, Pemuda Umno mengekalkan Ketua mereka yang berkelulusan dari Oxford. Jika kebijaksanaan Khairy dijadikan kayu pengukur, maka betullah kata Dr Mahathir bahawa orang yang kurang pandai sahaja yang akan masuk Umno selepas ini kerana berapa orang sahaja yang berada di luar sana lebih bijak daripada Khairy.

Saranan Dr Mahathir untuk tidak memilih perasuah juga dilihat tidak diendahkan. Ramai yang lupa Khairy pernah diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin Umno.

Jika Khairy menang kerana “saranan-saranan Mahathir”, bagaimana pula dengan nasib Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas ini?

Dr Mahathir amat menyokong segala tindakan Zahid yang amat berkontroversi sehingga kini.

Ketika Zahid diserang teruk memperkenalkan semula kuasa penahanan tanpa bicara di dalam pindaan Rang Undang-undang Akta Pencegahan Jenayah (PCA), Dr Mahathirlah orang kuat menyokongnya.

Ketika Zahid diserang dalam kenyataannya "Tembak dahulu, jelas kemudian", Dr Mahathir juga menyokongnya kerana berpendapat beliau lebih suka membiarkan penjenayah menghadapi risiko ditembak daripada melihat polis dalam bahaya.

Anak Dr Mahathir, Mukhriz juga merebut salah satu jawatan Naib Presiden Umno berstatuskan Menteri Besar Kedah yang disandang kini oleh Zahid, Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Turut merebut jawatan itu ialah Mohd Ali dan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad. Jangan lupa Najib yang melantik Isa ke kerusi emas itu.

Photo
 
Dalam kemenangannya, Khairy berkata kemenangannya adalah isyarat ideologi liberal progresif diterima baik di dalam Umno.

Nak lihat benar tak telahan Khairy, lihatlah nasib Zahid, Mohd Ali dan Mukhriz, yang kebelakangan ini berkempen ala-kanan.

Kemenangan Mukhriz pula akan membawa petanda bahawa Dr Mahathir masih berpengaruh untuk menentukan keputusan di dalam pemilihan Umno.

Jika Mukhriz menang, di setiap mesyuarat Umno sudah tentu ada suara Dr Mahathir di peringkat Naib Presiden, apakah itu yang dikehendaki Najib? Mungkin bagi Najib, sudah cukup Mukhriz diberikan jawatan Menteri Besar Kedah.

Masalah Najib ialah tekanan ala-kanan yang diketuai Dr Mahathir. Najib sudah tentu lebih suka mengekalkan naib-naib presiden yang sudah dijinakkan – dan jika beliau terpaksa tukar salah seorang, dijangkakan orang tersebut itu ialah Zahid bertukar tempat dengan Isa.

Sukar untuk menerima bahawa Najib akan membiarkan Hishamuddin tewas dan juga mengganggu sokongan Umno di Sabah dengan ketiadaan Shafie. Pandangan keras Zahid kadangkala merugikan Najib daripada segi pelan panjang transformasi beliau untuk memastikan BN dan Umno mendapat sokongan kembali daripada semua kaum.

Bukan itu sahaja, sumbangan Isa pada Najib melalui Felda sukar dipersoal. Bukan sahaja kejayaan membawa FGVH ke Bursa tetapi juga kerusi-kerusi Felda hampir disapu bersih oleh Umno. Berapa ahli Umno yang juga warga Felda yang akan mengundi kali ini?

Logiknya mudah, Isa memberi kerusi-kerusi Felda, Shafie jamin sokongan Sabah dan Hishamuddin di Johor, orang sendiri yang tidak perlu dirisaukan Najib. Zahid bagi Najib, ada masanya emas, tapi ada masanya satu masalah yang amat merungsingkan. Di Perak, Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datoh tidak dilihat sebagai elemen penting untuk mengekalkan kekuasaan BN di sana.

Bagi pihak Pakatan Rakyat, Zahid perlu kekal sebagai Naib Presiden Umno kerana Zahid kini dilihat sebagai penghalang penting kepada kembalinya sokongan kaum lain kepada BN di PRU14. Dua kerusi yang lain tidak dikisahkan sangat.

Dan jangan lupa pada faktor Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ketiga-tiga Naib Presiden yang menang seharusnya sukar menggugat kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno di masa depan.

Kebelakangan ini, beliau juga disengat Dr Mahathir kerana menghabiskan RM20 juta untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang menghampakan ramai dan terus melanggar hasrat Dr Mahathir untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Apakah orang-orang Muhyiddin akan menyokong calon-calon yang disukai Dr Mahathir dan Zahid, yang dilihat sangat berpotensi menaiki takhta Umno kerana popularitinya kebelakangan ini?

Apakah sokongan Dr Mahathir kali ini membawa rebah atau membantu calon-calon Umno yang disukainya? Dan lebih penting kali ini, adakah pemilihan Umno kali ini betul-betul menandakan berakhirnya pengaruh Dr Mahathir di dalam Umno.

Sama-sama kita nantikan.

The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.