DAP
menggesa agar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana didakwa berbohong berhubung
pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) berkata kenyataan kedua-dua
pemimpin berkenaan bercanggah dengan kenyataan Ketua Audit Negara Tan
Sri Ambrin Buang berhubung pembayaran artis-artis K-Pop dan juga isu
kehilangan aset polis bernilai RM1.3 juta.
"Kedua-dua menteri mesti segera meminta maaf, jika tidak Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak mestilah bertindak sekiranya beliau mahu
mengekalkan sebarang sisa keyakinan awam terhadap kejujuran, kemahiran
dan profesionalisme menteri-menterinya," kata Lim dalam satu kenyataan
hari ini.
Menurut Lim, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berbohong apabila
mengatakan pihak polis telah memberi penjelasan kepada Jabatan Audit
tentang kehilangan alatan termasuk senjata api bernilai RM1.3 juta.
Manakala Shabery pula katanya berbohong apabila berkata bayaran RM1.6
juta untuk membawa masuk artis-artis K-Pop telah dibiaya penuh oleh
penaja.
"Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan pembohongan mereka," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
Kegagalan dan salahlaku kewangan dalam urusan kerajaan tegas Lim adalah
amat kritikal terhadap ekonomi negara kerana perolehan dari segi
barangan, kerja dan perkhidmatan setiap tahun membentuk 25% daripada
kadar nominal KDNK berbanding ekonomi negara maju lain di mana perolehan
tahunannya hanyalah 12% daripada KDNK.
"Dengan kata lain, Malaysia rugi dua kali ganda berbanding negara maju
dalam hal rasuah atau pembaziran dana awam," tambahnya lagi.
Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah mendedahkan pasukan keselamatan
berkenaan merekodkan kehilangan aset termasuk senjata api, gari dan juga
kenderaan yang berkemungkinan berlaku semasa operasi.
"Setakat ini orang awam dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri
Dalam Negeri bahawa senjata api yang hilang itu berkemungkinan jatuh ke
dalam laut, walaupun tidak ada laporan polis yang dibuat lantaran
kehilangan tersebut.
"Adakah 29 buah kenderaan polis itu juga turut ke laut perginya?" soal Lim.
Ketirisan, pembaziran dan salah laku kewangan ini kata Lim memberi kesan buruk terhadap kadar pertumbuhan ekonomi.
"Pemimpin BN tidak patut menafikan hakikat ini tetapi mengambil
langkah-langkah untuk menangani kelemahan-kelemahan yang disebutkan
dalam Laporan Ketua Audit Negara," katanya. – 9 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.