Friday, August 30, 2013

Masih adakah sebuah kerajaan yang mentadbir kita?

 
Abu Yazid Bistami's photo.Walaupun negara telah selesai mengadakan pilihanraya, keadaan dan perasaan tidak menentu masih di rasakan dikalangan orang ramai. Rakyat merasakan keadaan lebih buruk, seolah-olah mereka tidak lagi ditadbir oleh sebuah kerajaan. . 
 
 Harga barangan masih tinggi. Keselamatan rakyat bertambah membimbangkan kerana setiap hari ada sahaja nyawa yang hilang dan harta benda dirompak melalui pecah rumah dan ragut. Dimana-mana kedengaran jenayah dilakukan dan melibatkan nyawa rakyat dari berbagai-bagai peringkat umur.

Dua hari lepas seorang eksekutif syarikat penerbangan berumur 30 tahun telah mati ditetak di hadapan rumahnya. Nyawa begitu murah dan jumlah kematian melalui kejadian jenayah ini nampaknya hampir sama dengan kematian bagi sebuah negara yang sedang menghadapi peperangan.

Rakyat merasakan kerajaan sudah bertambah miskin dan dalam pada itu mereka (Rakyat) akan berhadapan dengan GST dan lain-lain. Berbagai-bagai isu timbul dan yang terakhir timbul isu penayangan Tanda Putera, filem yang di kontroversikan oleh parti pembangkang. Di Pulau Pinang tayangan filem itu diharamkan dipanggung-panggung kerana kerajaan DAP negeri itu mempunyai kuasa untuk melarangnya dari ditayangkan. Segala yang berlaku mendapat reaksi yang negatif dari pihak yang bertentangan.

Jika benar Tanda Putera itu merupakan filem yang busuk dan tidak baik kerana dikatakan filem itu berunsur rasis, rakyat Pulau Pinang tidak dapat buktinya kerana filem itu di haramkan dari di tayangkan dipanggung-panggung di Pulau Pinang. Rakyat Pulau Pinang hanya mendengar sahaja tuduhan DAP itu, tetapi tidak mendapat peluang mendapatkan kebenaran dari tuduhan DAP itu kerana tidak berpeluang menontonnya.

Kempen untuk menaikkan semangat menyambut Hari Kebangsaan juga gagal kerana rakyat tidak berminat untuk turut serta menyemarakkan Hari Kemerdekaan itu. Rakyat sedang menunjukan sikap tidak berpuas hati terhadap kerajaan secara pasif dan tidak memberikan kerjasama terhadap apa sahaja yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Rakyat sudah berpecah-belah kerana mereka memihak kepada parti dan pemimpin masing-masing. BN bermusuh dengan PR dengan hebatnya dalam pilihanraya dahulu maka rakyat sudah berbelah seolah-olah tidak akan ada amannya lagi. Dalam pada itu pemimpin besar yang membawa penyokong masing-masing untuk berkelahi dan mencerca diantara satu dengan lain dalam senyap-senyap telah mengadakan rundingan dan sedang berkira-kira membahagi-bahagikan jawatan Perdana Menteri.

Rata-rata orang bercakap yang UMNO diSelangor tidak perlu bimbang kerana dalam rundingan diantara Ketua Kerajaan dengan Ketua Pembangkang melibatkan pemindahan hal milik kerajaan kepada UMNO. Benar atau tidak berita ini tidak dapat diketahui. Tetapi cerita itu tersebar dikalangan penggiat politik di Selangor.

Pengikut yang bengkak-bingkik akan ditinggalkan dan mereka akan tetap berpecah diperingkat bawahan. Mereka ini semata-mata digunakan semasa pemimpin yang bernafsu besar ini ingin menggunakan mereka untuk menunjukan kekuatan mereka.

Mereka berunding seolah-olah negara ini mereka berdua sahaja yang punya dan mengharapkan segala yang mereka berdua persetujui itu wajib disokong oleh semua pihak yang bertelagah tadi. Rundingan itu merupakan rundingan diantara dua ‘desperados’ semata-mata dan hasilnya tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada negara.

Bagi pemimpin-pemimpin seperti ini kuasa itu adalah modal ‘business’ yang besar bagi mereka. Kalau tidak masakan mereka sanggup menggunakan pemimpin negara jiran untuk menjadi orang tengah untuk merapatkan kembali hubungan mereka semata-mata kerana kuasa. Mereka menamakan ini sebagai tindakan pembentukan kerajaan perpaduan.

Sebelum pilihanraya dahulu dijanjikan yang bantuan 1Malaysia, BRIM akan diteruskan selepas  pilihanraya dan kali ini kita tengoklah samada janji-janji itu akan terlaksana dalam masa terdekat ini. Mereka cuba menyelesaikan masalah dengan menyuap dan membeli masalah itu seolah-olah masalah-masalah itu boleh selesai dengan wang ringgit.

Bagi komuniti ‘professional’ yang mahir dengan kewangan pula isu perbincangan mereka tidak boleh lari dari isu hutang negara. Jika dikira sekali hutang-hutang melalui ‘off-budget agencies’ yang berjumlah lebih dari RM126 billion itu ia sudah melangkaui 68 peratus berbanding dengan GDP negara. Rakyat mempunyai persepsi jika tiada Petronas negara ini sudah menjadi sebuah negara muflis.

Laungan kejayaan negara dan cita-cita hendak menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju menjadi ejekan rakyat dimana-mana. Bagi pemimpin yang berkuasa mereka hanya mampu dianggap sebagai berkorban untuk negara dengan terus memegang kuasa dengan alasan ‘continuity’ kepimpinan agar apa yang di rancang untuk rakyat itu tidak terganggu perlaksanaannya.

Mereka tidak mahu menerima hakikat yang berundur dari memegang kuasa itu adalah pengorbanan yang paling suci untuk rakyat dan negara. Malahan ada pemimpin yang sudah bersara setelah memegang kuasa berdekad-dekad masih lagi sibuk berpolitik dan masih tidak berhenti memecah-belahkan kepimpinan negara dan mahu legasinya terus diperkokohkan.

Krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara berlarutan dan sekarang seolah-olah negara kita tidak berkerajaan kerana negara ditadbir tidak selari dengan kehendak kepimpinan sebuah negara yang merdeka.

Masih tiada lagi keyakinan terhadap sistem pentadbiran sebuah negara merdeka. Semua institusi demokrasi sudah tidak lagi mendapat keyakinan rakyat untuk berfungsi secara betul.  Polis di persoalkan, mahkamah tidak di yakini lagi, badan pencegah rasuah tidak di hormati lagi, malahan tiada satu pun lagi institusi kerajaan mendapat keyakinan rakyat kini.

Rakyat terus dalam pencarian. Mereka yang terpapar dalam media massa setiap hari itu semuanya rakyat sedang persoalkan, baik yang sudah tua atau pun yang muda. Budaya dan pemikiran mereka sama sahaja.

Inilah akibatnya apabila pemimpin yang tidak bertanggungjawab dahulu, melakukan ‘pembunuhan politik’ terhadap mereka yang berkepimpinan. Hasilnya mereka yang telah dibenamkan politik mereka dan diambil alih oleh pemimpin seperti Najib dan Anwar Ibrahim serta pemimpin baik seperti Abdullah tetapi tidak punya kepimpinan. Semua mereka ini terbit dari acuan Dr Mahathir dahulu.

Yang ada kepada kita hanya satu sahaja pilihan, iaitu berdoa dan terus berdoa agar Tuhan datangkan seorang yang boleh dan berkemampuan untuk mengembalikan keunggulan kerajaan yang pernah kita alami semasa tiga Perdana Menteri yang pertama dahulu.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.