Thursday, August 29, 2013

Ketua Wira Perkasa terus serang PM ? - Abdul Aziz Mustafa



KUALA LUMPUR: Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris meneruskan serangannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan membangkitkan isu murtad dan isu kalimah Allah pula.

Beliau mengaitkan kedua-dua isu itu dengan "betapa pentingnya kuasa yang menjadi penentu survival Islam Melayu di Malaysia ini".

"Kita dapat melihat betapa lemahnya pimpinan Hj Najib yang mana keputusan-keputusan Hj Najib banyak mmerugikan umat Islam Melayu di Negara ini.

"Ini adalah bibik-bibik sama seperti Kamal Antartuk yang menyebabkan kerajaan Uthmaniah (kerajaan Islam) tumbang.

"Apakah ini umat Islam mahukan?" tulis beliau dalam posting bertajuk "Akibat daripada pimpinan yang lemah" dalam blognya http://irwanfahmi.blogspot.com

Ahad lalu, Irwan menuntut Najib meletak jawatan kerana disifatkannya gagal mengurus negara dengan baik.

Tuntutan itu dibuatnya dalam posting blognya bertajuk "Sudah Cukup Segalanya Digadai, Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan".

Dalam posting tersebut, Irwan membangkitkan kegagalan slogan "1Malaysia" Najib dan juga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menurutnya adalah "rasuah yang dihalalkan oleh kerajaan".

"1Malaysia, BR1M, memberi peruntukan berlebihan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan terbukti gagal.

"Ini kerana kepimpinan yang mahu mendapatkan undi kaum Cina sebanyak 26 peratus dan undi kaum India. Bagi kaum Cina ia terbukti gagal, peratusan kaum Cina itu keluar mengundi meningkat, tetapi peratusan yang dapat kepada kerajaan hanya 8 peratus. Manakala kaum india yang ramai menyokong kerajaan. Tetapi kadar jenayah daripada kaum ini meningkat," tulis beliau.

Irwan juga dilaporkan berkata, Perdana Menteri sudah diberikan masa mencukupi, malah ketika pertemuan dengan Perkasa baru-baru ini, beliau menegaskan Perkasa menuntut Najib segera berubah dan mengutamakan kumpulan pengundi Melayu yang memilih untuk mengekalkan kerajaan.

"Najib masih lagi tidak berubah. Kita sudah beri masa, tapi sekarang keadaan semakin serius.

"Kes jenayah, isu kalimah Allah, semua ini berlaku apabila ketika pilihan raya itu banyak sangat perkara dilakukan, seperti pemansuhan ISA dan banyak lagi," katanya merujuk tindakan kerajaan Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan juga Akta Ordinan Darurat (EO) sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

"Perkara terbaik dia buat adalah letak jawatan kerana keadaan semakin teruk, tidak bertambah baik," Malaysian Insider memetik beliau berkata.

Irwan berkata, masyarakat Melayu memilih Barisan Nasional (BN) bersama dengan bantuan masyarakat India, namun Najib tetap gagal membela dua kumpulan ini sedangkan pengundi Cina yang menyokong BN adalah bilangan yang cukup kecil.

"Kita juga melihat Najib gagal menjaga orang yang undi dia. Melayu yang beri kuasa untuk dia memerintah dengan bantuan orang India, orang Cina hanya lapan peratus sahaja," katanya.

"Kita sudah beri masa, bukan kita terus mendesak (Najib letak jawatan)," kata Irwan lagi, menegaskan itu adalah pendirian Wira Perkasa dan langkah terakhir yang dilakukan mereka.

"Ini pendirian Wira Perkasa. Saya tidak tahu pendirian kepimpinan Pusat Perkasa. Ini yang maksimum kita boleh buat. Kita pun ada sedikit sumbangan untuk BN dalam pilihan raya umum (PRU) lepas," katanya.

Pendirian Irwan tidak memeranjatkan kerana umum melihat pendirian tidak banyak berbeza dengan pendirian Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Beliau menyatakan kekesalannya terhadap kerajaan yang disifatkannya tidak menghargai peranan mereka sebaik PRU berakhir.

"Jangan salahkan kami dengan apa yang akan kami lakukan selepas ini... kami sudah cukup bersabar dan kesabaran itu sudah sampai ke kemuncaknya," kata Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan tidak mengambil berat isu yang dibangkitkan oleh kumpulan pendesak Melayu, sebaliknya sanggup mendengar permintaan kumpulan lain yang disifatkannya biadap dan menggugut kerajaan.

"Nasihat oleh Perkasa langsung tidak dihargai, kerajaan tak endah apa yang ditekankan oleh Perkasa.

"Kerjasama baik yang kami berikan tidak disambut baik, sebaliknya kumpulan lain yang lebih agresif, biadap dan guna kaedah menggugut mendapat layanan lebih istimewa," kata Ibrahim lagi.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.