Sunday, July 28, 2013

Salleh tanding Naib Presiden Umno?


Salleh akan menjadi proksi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. Musa dan Shafie memang dikatakan tidak sehaluan.

KOTA  KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dikatakan akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan Umno 5 Oktober ini.

Menurut sumber, beliau yang pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno selama dua penggal akan bertanding jawatan tersebut untuk menggagalkan hasrat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Afdal mengekalkan jawatan.

Pada tahun 2009, Shafie menang jawatan tersebut selain dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamudin Hussein.

Sumber itu menambah Salleh akan menjadi proksi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. Musa dan Shafie memang dikatakan tidak sehaluan. 

Musa menyuruh Salleh bertanding kerana jika Musa bertanding tetapi kalah, Musa akan kehilangan jawatan Ketua Menteri tetapi jika Salleh kalah, ADUN Usukan itu tidak akan kehilangan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Salleh telah digugurkan sebagai calon BN bagi parlimen Kota Belud pada pilihanraya umum 2008. Beliau digantikan oleh Datuk Rahman Dahlan yang kini menjadi ahli parlimen Kota Belud buat penggal kedua.

Pada pilihanraya umum dua bulan lepas, Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud dipilih semula sebagai calon BN bagi DUN Usukan.

Salleh yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah (1997-1998) pernah menjadi Presiden Persatuan Bajau Bersatu Sabah (PBBS) pada tahun 1990 manakala Shafie pernah menjadi Timbalan Presidennya.

Shafie merupakan pemimpin Sabah yang pertama memenangi jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 2009. Sebelum itu Umno Sabah pernah mencalonkan Ketua Menterinya, Datuk Osu Sukam bertanding jawatan tersebut pada tahun 2000 tetapi gagal.

Osu mendapat tempat keempat kalah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

FMT cuba menghubungi Salleh untuk pengesahan tetapi beliau tidak dapat dihubungi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.