Populariti Datuk Seri Idris Jusoh dan rekod cemerlang bekas
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar bakal
menjadi cabaran besar buat calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan
Rakyat (PR) bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Calon PAS Endut @Azlan Jusoh dan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dilihat perlu menyaingi rekod A Rahman yang sangat disenangi penduduk setempat terutama masyarakat di Pulau Perhentian.
Mengakui
perkara itu, Ketua Kampung Pulau Perhentian, Zainuddin Mohd, 44,
berkata A Rahman mengambil berat keadaan masyarakat, malah sanggup
berada bersama mereka sehingga jam 2 pagi mendengar masalah penduduk.
Zainuddin yang menjadi ketua kampung sejak dua tahun lalu juga mengakui sikap A Rahman harus dicontohi calon BN.
"Dia (A Rahman) tiada protokol. Tengku Zaihan perlu contohi dia," katanya yang mesra dengan panggilan Abang Din.
Beliau berkata, pengaruh Idris yang juga Ahli Parlimen Besut turut menjadi cabaran calon bertanding.
Hal itu juga diakui penduduk Pulau Perhentian, Dazrul Che Daud, yang berkata Menteri Pendidikan II itu sangat disenangi penduduk kerana usahanya membangunkan kawasan itu.
Kerusi DUN Kuala Besut menjadi tumpuan ekoran kematian A Rahman dan menjadi kerusi pertama berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh kurang dua bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh PRK DUN Kuala Besut.
Pulau dengan populasi 2163 penduduk itu mempunyai 733 pengundi, berbanding keseluruhan 17,683 pengundi berdaftar di kerusi negeri berkenaan.
Penyokong
PAS bagaimanapun mengakui agak sukar untuk memenangi kerusi berkenaan
tetapi yakin parti itu mampu mengecilkan jumlah majoriti BN.
Bapa tujuh anak yang bekerja dalam industri pelancongan itu mengakui Azlan, yang lebih mesra dengan panggilan Che Long tidak begitu menonjol bagi masyarakat tempatan, sebaliknya Tengku Zaihan lebih dikenali.
"Kalau tiada pembangkang pun susah, kerajaan tidak buat kerja," katanya yang ditemui The Malaysian Insider ketika bersiar-siar di sekeliling pulau sambil membawa anak bongsunya berusia dua tahun.
Antara isu yang dibangkitkan penduduk setempat ialah pembinaan masjid pulau berkenaan yang tertangguh sejak tiga tahun lalu.
"Projek bermula Februari 2010 dan dijangka siap tahun ini tapi sampai sekarang belum siap," kata penduduk yang enggan mendedahkan identitinya.
The Malaysian Insider difahamkan, jentera PAS mula bergerak di pulau itu secara berkumpulan bagi mengenal pasti sasaran pengundi menjelang PRK berkenaan.
"Mereka bergerak dalam lima hingga enam orang dan mengenal pasti siapa yang akan mengundi mereka," kata penduduk yang merahsiakan identitinya. - 14 Julai, 2013.
Malaysia Insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.