Wednesday, July 17, 2013

NAK MAJU KE MUNDUR? KPN mahu undang-undang baharu menyamai Ordinan Darurat


Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin undang-undang baharu yang akan dibentangkan Kementerian Dalam Negeri nanti menyamai Ordinan Darurat (EO) bagi membendung jenayah tembak-menembak yang kerap berlaku kebelakangan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ini termasuk perkara yang menyentuh keperluan saksi hadir dan memberi keterangan di mahkamah ketika pendakwaan dilakukan.
"Masalah utama kes tembak tidak dapat diselesaikan adalah kerana saksi takut untuk tampil bekerjasama sehingga gagal membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Saksi takut kerana bimbang akan menerima ancaman atau balas dendam oleh ahli kumpulan yang terlibat. Apabila saksi tidak mahu tampil ke depan, bagaimana mahu bawa kes ke mahkamah.
"Undang-undang yang ada sekarang memerlukan saksi memberi keterangan di mahkamah dan itu tentu sekali membuka peluang kepada penjenayah mengenal mereka.

"Oleh sebab itu kita memerlukan undang-undang yang menyamai EO yang boleh memberi kuasa untuk merakam keterangan saksi dan mereka tidak perlu hadir ke mahkamah," katanya ketika menerima kunjungan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) ke Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian tembak yang kerap dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak awal tahun ini dengan yang terbaharu, dua beranak cedera ditembak penjenayah yang cuba menyamun mereka di Kampar, Perak, semalam.

Khalid seterusnya memberitahu, disebabkan ketiadaan EO dan tiada saksi yang tampil membantu siasatan, penjenayah-penjenayah semakin berani untuk melakukan jenayah yang radikal serta agresif seperti tembak-menembak.

Khalid memberitahu, PDRM telah mengemukakan cadangan itu dan kementerian tersebut sedang merangka undang-undang baharu terbabit untuk dikemukakan kepada Peguam Negara.

"Apa yang kita mahu adalah undang-undang yang mampu bertindak sendiri mencegah dan meminimumkan jenayah agresif sebegini, bukannya usaha polis yang melakukan penahanan suspek untuk membendung jenayah sebegini," katanya.

Ditanya situasi jenayah yang berlaku dalam negara, Khalid mengakui wujud jenayah kekerasan tetapi berita mengenainya dihebahkan secara cepat sehingga mengakibatkan masyarakat berasa takut dan bimbang.

"Perkara itulah yang menyebabkan kadar kegerunan pada jenayah dalam masyarakat sentiasa naik meskipun statistik jenayah indeks dilihat menurun berbanding tahun lalu," katanya.

- Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.