Monday, July 29, 2013

Mohon maaf pada Tan Sri Ani Arope - Oleh Subky Latif


Seorang pembaca telah menegur saya tentang sentuhan terhadap penamatan khidmat Tan Sri Ani Arope daripada menerajui TNB dalam satu tulisan saya di ruang ini sedikit hari lalu.

Dinasihatkan saya minta maaf kepada Tan Sri Ani Arope yang sekarang sedang dirawat kerana satu sakit yang serius. Dicadangkannya supaya saya menziarahinya.

Yang pertama saya menerima nasihatnya dengan ini minta maaf atas kekeliruan atas tulisan saya itu. Moga-moga Tan Sri dan keluarganya menerima permintaan maaf saya.

Saya sebenarnya menumpukan fokus terhadap khidmat cemerlang beliau sebagai pegawai kanan kerajaan. Kerana kecekapan pentadbirannya, maka setelah bersara daripada perkhidmatan dalam kerajaan, maka beliau diamanahkan antara lain mengepalai TNB.

Saya suka nyatakan bahawa saya tidak dekat sangat dengannya tetapi saya tahu tentang kecemerlangan perkhidmatannya.

Entah mengapa dalam tulisan saya itu saya tersentuh tentangnya yang tamat perkhidmatannya di TNB setelah berlaku blackout atau power failure agak panjang hampir seluruh Semenanjung.
Apabila putus tenaga selama itu memang boleh mengganggu keselamatan negara. Alhamdulilah tiada apa berlaku.

Tetapi saya telah menggunakan kalimah dia dipecat daripada jawatannya di situ. Kalimah itu dikira keras dan telah menimbulkan kekeliruan yang boleh diertikan menyalahkannya. Mungkin boleh dilembutkan kiranya digunakan kalimah lain seperti khidmatnya berakhir.

Memang khirmatnya di situ berakhir lepas kejadian itu. Apakah dia sendiri tidak mahu meneruskan khidmatnya, atau kontraknya tamat, atau khidmatnya tidak sambung lagi, tidak berbangkit sangat. 

Tetapi dari jauh orang tidak nampak dia bermasalah. Jika dia boleh berkhidmat dengan baik sejak zaman Tunku Abdul Rahman, maka boleh diberkhidmat lagi kecualilah kalau uzur.

Tiba-tiba lepas kejadian itu dia berhenti. Memang persepsi orang penamatan khidmatnya gara-gara kejadian putus bekalan yang lama dan merata itu. Penamatan itu boleh dilihat sebagai pemecatan atau hukuman dan tidak pula mustahil satu pengainayaan.

Kita dari luar tidak melihat apa yang berlaku itu sebagai satu kelemahan dan kegagalannya. Tentulah ada punca dan ada sebab kejadian itu berlaku. Ia boleh disebabkan kecuaian manusia. Tetapi tidaklah boleh kejadian itu diletakkan ke bahunya saja.

Semua kaki tangan di situ bertanggungjawab atas segala kelemahan dan kebaikan perkhidmatan itu. Sebagai ketua di situ tentulah Tan Sri Ani memikul tanggungjawab yang besar. Jika berlaku di Jepun atau Korea Selatan akan ada orang yang menawar berundur. Tetapi berundur itu bukanlah dia salah atau dialah punca kejadian itu.

Orang masa itu berandaian Perdana Menteri Mahathir menjadikannya kambing hitam. Ada persepsi seperti itu. Orang terasa dia dipecat.

Memang dalam pentadbiran Dr Mahathir ada kejadian yang dikira dilakukan secara keras dan tindakan Perdana Menteri. Orang melihat kerajaan telah mengenakan tindakan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan beberapa orang hakim kerana pendirian yang tidak disukai oleh Perdana Menteri.

Dan orang terasa bahawa Tan Sri Jamil Jan sebagai penegak asal Proton tiba-tiba terlucut kedudukannya di Proton kerana semuanya diserah kepada Tan Sri Yahya Ahmad, tokoh korporat yang terkenal pada masa itu.

Semua terasa Tan Sri Jamil Jan telah menjadi mangsa keadaan. Orang tidak tahu apa yang berlaku di dalam, tetapi persepsi orang Jamil Jan jadi mangsa. Maka dalam keadaan seperti itu orang tidak menulak Tan Sri Ani mengalami keadaan itu. 

Mungkin sudah ada perbezaan antaranya dengan kerajaan tetapi kejadian yang berlaku itu adalah kesempatan yang baik bagi menggantikannya dengan orang lain.

Mungkin persepsi saya silap tetapi bukan hendak meletakkan Tan Sri Ani Arope di tempat orang yang bersalah. Dia seorang yang dihormati.




Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.