Saturday, July 27, 2013

Al-Quran petunjuk dan sumber ilmu - Oleh Kunta Kinte

Kitab Al- Quran. Dalam bulan puasa ini, kalau kita rajin perhati kita akan nampak banyak benda yang dalam keadaan biasa kita terlepas pandang.

Inilah antara kebaikan bulan puasa, iaitu bila kita tak asyik fikir pasal makan kita akan fikir berkenaan hal lain.

Contohnya, kita lebih rajin dan lebih mudah sembahyang berjemaah sebab kita ada banyak masa yang terluang. Satu perkara yang Kunta Kinte nampak makin hari makin jadi amalan adalah baca surah panjang-panjang masa sembahyang waktu dan sunat Tarawih.

Boleh kata di semua masjid dan surau di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang Kunta Kinte sempat solat Tarawih, khidmat tahfiz digunakan. Jadi, mereka baca surah yang panjang sebab masing-masing nak habiskan 30 juzuk al-Quran sebelum bulan puasa habis.

Hormat hafal al-Quran

Kunta Kinte tak kata ini tak baik cuma Kunta Kinte nampak ia susah sikit bagi yang lanjut usia. Tak larat berdiri lama-lama. Di sebuah masjid yang Kunta Kinte pergi, bilangan orang tua berkurangan dari malam ke malam sebab tak tahan.

Kunta Kinte tanya seorang jemaah yang Kunta Kinte tahu banyak belajar agama. Dia kata, tak ada satu hadis pun yang sebut kita kena habiskan satu al-Quran sepanjang Tarawih Ramadan. Jangan salah sangka. Kunta Kinte sangat hormat orang yang pandai baca al-Quran, apatah lagi yang hafal al-Quran dan faham maksudnya. Cuma Kunta Kinte tak berapa pasti sama ada baca ayat panjang-panjang waktu Tarawih sesuai untuk semua makmum.

Kunta Kinte teringat kepada sebuah cerita Hollywood bertajuk The Book of Eli (disebut Elai) lakonan Denzel Washington. Dalam cerita fiksyen sains itu, Eli adalah satu-satunya orang Kristian yang miliki kitab Bible setelah dunia dilanda perang besar yang memusnahkan semua kitab suci agama Kristian itu. Jadi, banyaklah pihak yang sanggup bunuh untuk dapatkan kitab yang Eli miliki itu sebab dengan kitab itu mereka akan dapat kuasa.

Seorang ketua kumpulan jahat berjaya rampas kitab itu selepas ‘bunuh’ Eli. Tetapi, celaka bagi penjahat itu sebab kitab yang jadi idaman dia dicetak dalam bentuk Braille dan tak ada siapa dalam kumpulan dia yang boleh baca Braille kecuali seorang perempuan tapi dia enggan.

Walaupun ditembak bertubi-tubi, Eli tak mati dan dia akhirnya sampai ke tempat yang ditujunya.

Apa yang nyata kemudiannya adalah Eli buta dan dia hafal kandungan kitab itu. Di akhir cerita, Eli mengimlakkan kitab itu untuk ditulis dan dicetak semula.

Kunta Kinte tak jemu tonton cerita itu sebab Kunta Kinte teringat kepada pengalaman ketika melawat Uzbekistan dan beberapa buah lagi wilayah Islam di Soviet Union waktu pemerintahan komunis.

Masa itu, hanya orang tertentu boleh miliki al-Quran dan pengedarannya amat terhad. Boleh kata satu generasi orang Islam Russia tak tahu baca al-Quran kecuali mereka yang dibenarkan memilikinya atau yang sanggup menghafal. Masa itu, sikap antiagama dalam kalangan generasi muda Russia, termasuk yang dilahirkan Islam, masih kuat.

Dalam lawatan rombongan Kunta Kinte ke beberapa tempat di Tashkent, ibu negara Uzbekistan, pemuda-pemuda komunis mengekori kita sambil mengejek Islam dengan mengatakan Tuhan tak wujud.

Jadi, bila kegiatan menghafal al-Quran dan sekolah-sekolah tahfiz dibuka di Malaysia selepas itu, Kunta Kinte berasa cukup seronok.

Cuma Kunta Kinte harap anak-anak kita yang cerdik dan belajar tahfiz janganlah tumpu kepada menghafal al-Quran saja. Mereka hendaklah diajar tafsir dan ilmu lain supaya mereka boleh kaitkan kehebatan al-Quran dengan alam sekeliling dan kehidupan harian.

Akui kehebatan al-Quran

Orang Barat yang suka belajar dan kuat menerokai ilmu, mereka dah lama akui kehebatan al-Quran bukan saja sebagai penunjuk akidah, tapi juga sebagai sebuah kitab ilmu dan maklumat saintifik. Banyak daripada mereka yang belajar dan dapat manfaat daripada al-Quran tidak pun beragama Islam dan kerana itu juga, ramai yang masuk Islam.

Kunta Kinte nak cadangkan kepada kerajaan, khasnya kepada menteri yang jaga agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, supaya bukan saja perluas tahfiz dan tafsiran al-Quran, tapi juga popularkan al-Quran sebagai sumber ilmu dan maklumat yang lengkap, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Wallahualam.


Kitab Al- Quran.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.