Sekretariat
Pakatan mendapat makluman bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
menolak permohonan menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun 2013, melalui surat yang difakskan semalam.
Melalui
sidang media dan laporan berita berikutnya, saya mendapat tahu
alasan-alasan kenapa permohonan itu ditolak, termasuklah alasan bahawa
Padang Merbok diperlukan pada 22 Jun 2013 sebagai persiapan kepada satu
acara yang dianjurkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada keesokan
harinya iaitu 23 Jun 2013.
Saya
telah membuat semakan seperti berikut untuk menentukan apakah acara
yang akan dianjurkan oleh MOM seperti yang disebut oleh Dato’ Bandar Kuala Lumpur:
1. Menyemak kalendar acara MOM di laman rasmi MOM www.olympic.org.my seperti
paparan skrin yang disertakan. Mengikut kalendar acara MOM, pada 23 Jun
2013 MOM akan menganjurkan Larian Olimpik McDonald (McDonald’s Olympic
Run)
2. Menyemak
laman Facebook MOM untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Larian
Olimpik McDonald ini. Didapati bahawa larian ini bukanlah berlangsung di
Padang Merbok tetapi bermula dan berakhir di Dataran Merdeka (sila rujuk paparan skrin di bawah)
3. Untuk
memastikan acara ini benar-benar diadakan di Dataran Merdeka dan
bukannya Padang Merbok, saya menyemak pula laman Pacesetters Athletic
Club Malaysia (PACM) yang turut sama akan terlibat di laman rasminya www.pacesetters.com.my (sila rujuk paparan skrin). Disahkan bahawa acara anjuran MOM ini akan diadakan di Dataran Merdeka, bukannya Padang Merbok.
4. Akhir
sekali, saya menyemak sendiri laluan larian dari borang pendaftaran
yang disertakan. Berdasarkan laluan larian seperti yang ditunjukan di
paparan skrin, jelas bahawa larian tersebut tidak menggunakan Padang
Merbok sebagai tapak dan ia bermula dan berakhir di Dataran Merdeka.
Saya
kesal dengan tindakan DBKL yang tidak memberikan jawapan yang jelas
mengenai kepenggunaan Padang Merbok pada 23 Jun 2013 semata-mata kerana
terpaksa tunduk kepada tekanan politik Umno/Barisan Nasional. Jelasnya,
acara pada 23 Jun 2013 tidak melibatkan Padang Merbok dan
bermula/berakhir di Dataran Merdeka – maka tidak ada alasan untuk tidak
membenarkan himpunan aman #black505 berlangsung di Padang Merbok pada 22
Jun 2013.
Saya
juga ingin menjawab alasan-alasan lain yang diberikan oleh Dato’ Bandar
Kuala Lumpur terutamanya ekoran pendedahan bahawa acara pada 23 Jun
2013 anjuran MOM tidak menggunakan Padang Merbok:
1. Pendirian
pimpinan Umno/Barisan Nasional bahawa perhimpunan aman hanya boleh
diadakan di tempat tertutup seperti stadium adalah tidak masuk akal dan
bertentangan dengan hak berhimpun secara aman di semua tempat-tempat
awam mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman. Jika pendirian pimpinan
Umno/Barisan Nasional ini digunapakai, maka tidak ada apa-apa majlis
atau acara yang boleh dibuat di tempat terbuka dan akta perlulah ditukar
namanya menjadi “Akta Perhimpunan Aman Dalam Stadium Sahaja”
2. Alasan
bahawa penggunaan stadium akan memudahkan penjaja juga tidak masuk akal
kerana semua perhimpunan aman yang dibuat di tempat terbuka sebelum ini
berjaya menempat penjaja dengan baik. Malah, penggunaan stadium
menyempit ruang untuk penjaja berniaga
3. Alasan
bahawa perhimpunan di Padang Merbok akan menjejaskan perhiasan sekitar
kawasan sudah tentu tidak masuk akal kerana acara Larian Olimpik
McDonald mengambil ruang yang lebih besar dan melalui semua
kawasan-kawasan berhampiran Parlimen
4. Alasan
bahawa perhimpunan akan menyebabkan kesesakan jalan raya tidak boleh
dipakai kerana Larian Olimpik McDonald akan menyebabkan jalan-jalan
ditutup di sekitar kawasan. Jika pihak berkuasa boleh menutup jalan
untuk mempermudahkan larian itu, saya pasti pihak berkuasa juga boleh
menutup jalan untuk perhimpunan aman #black505 pada 22 Jun 2013.
Saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat akan hadir berbincang dengan Dato’ Bandar Kuala Lumpur pada 14 Jun 2013 tetapi kami tidak akan berganjak
dari keputusan mengadakannya di Padang Merbok pada 22 Jun 2013, apatah
lagi apabila terbukti padang itu tidak digunakan pada hari Sabtu dan
Ahad minggu itu.
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.