KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan
Kepenggunaan Datuk Hasan Malek hari ini mencabar mana-mana pihak yang
mendakwa berlaku kenaikan harga barangan keperluan selepas Pilihan Raya
Umum ke-13 supaya tampil menunjukkan bukti.
Sambil menegaskan tiada kenaikan harga barang keperluan, Hasan berkata
tindakan pembangkang yang gemar membuat tuduhan dan dakwaan tanpa bukti
jelas membuktikan mereka sengaja mahu membangkitkan kemarahan dan
kebencian rakyat terhadap kerajaan.
"Semua cakap berbaur politik tiada langsung pemikiran
untuk bangunkan negara. Bagi tahu mana tempat dia (lokasi harga barang
naik) supaya kami boleh pergi buat pemeriksaan...saya sendiri sanggup
turun walaupun di Kota Kinabalu (Sabah)," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Ekspo Beli Barangan Malaysia 2013 di Pusat Konvensyen
Kuala Lumpur di sini.
Ekspo tiga hari bermula semalam itu disertai kira-kira 100 pempamer
terdiri daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta merangkumi pelbagai
sektor termasuk automotif, makanan dan minuman, perabot, hiasan
dalaman dan kesihatan.
Mengenai tindakan 20 pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGO) yang mahu
umat Islam memulau produk keluaran syarikat Cina, Hasan berkata pihaknya
menghormati pendirian semua NGO itu kerana sebagai sebuah badan
berkecuali mereka mempunyai hak untuk bersuara.
"Setiap NGO mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat dan kementerian ini
tak mahu terlibat...sebab fungsi kami adalah untuk melindungi
kepentingan serta hak rakyat," katanya.
Selasa lepas 20 NGO Islam dalam sidang akhbar di ibu negara menggesa
umat Islam supaya memboikot beberapa produk yang dikatakan tidak selamat
untuk dimakan.
Hasan bagaimanapun berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil
NGO terbabit dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut
mengenai perkara itu.
Terdahulu dalam ucapannya Hasan berkata syarikat-syarikat di negara ini
tidak seharusnya hanya memandang pasaran tempatan sebagai pengguna
utama, sebaliknya perlu membina keupayaan untuk bersaing dengan syarikat
terbaik di luar negara.
"Satu-satunya cara untuk kita menembusi pasaran global ialah apabila
produk dan perkhidmatan kita mampu bersaing dan memenuhi standard
antarabangsa", katanya.
Mengenai Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia, Hasan berkata ia
merupakan usaha berterusan kementerian untuk membantu pembangunan
ekonomi negara dan memastikan pengaliran wang ke luar negara tidak
berlaku.
"Kita mahu ekonomi negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk
menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia dan serantau yang semakin
mencabar," katanya. ~bernama
Addin :
Semua rakyat sudah tahu pasal kenaikan harga barang tapi menteri Bn ni
masih di buai mimpi. Terlupa, menteri bukan beli pun barang kot..
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.