Thursday, May 16, 2013

Rundingan antara CIMB, San Miguel tidak dibatalkan

 
KUALA LUMPUR, 16 Mei — Ketua eksekutif kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak berkata rundingan antara bank itu dan San Miguel Corp mengenai cadangan pengambilalihan kepentingan dalam Bank of Commerce (BoC) di Filipina.  dijangka dimuktamadkan dalam tempoh kurang dari sebulan.

“Kami masih di peringkat rundingan akhir dengan San Miguel mengenai transaksi itu, dan keputusan muktamad dijangka dibuat tidak lama lagi, mungkin dalam tempoh beberapa hari atau minggu akan datang.

“Kami akan membuat keputusan akhir sama ada meneruskannya memandangkan kelulusan kawalan atur sudah diperoleh.
“Kedua-dua pihak hanya perlu bersetuju atau tidak bersetuju untuk meneruskannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) ke-10 di sini hari ini.

Nazir mengulas laporan berita yang menyebut San Miguel mungkin membatalkan perjanjian untuk menjual kepentingan majoritinya dalam BoC kepada Kumpulan CIMB.

Pada Mei tahun lepas, Kumpulan CIMB mengumumkan pengambilalihan 60 peratus kepentingan dalam BoC membabitkan sejumlah RM881 juta, yang akan diselesaikan secara tunai.

BoC yang memiliki 122 cawangan di negara itu, ialah bank komersil ke-16 terbesar di Filipina, berdasarkan saiz aset.

Sidang kemuncak bertema ‘Masa depan Industri Perkhidmatan Kewangan Islam :Daya pulih, Kestabilan dan Pertumbuhan Inklusif’ dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia.

Sementara itu, mengenai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama Malaysia yang mencatatkan 4.1 peratus, Nazir berkata ia adalah dalam jangkaan.

“Berikutan kestabilan dan ketentuan politik sudah kembali, saya menjangkakan syarikat akan meneruskan aktiviti masing-masing, pelaburan akan mempunyai laluan yang jelas dan orang ramai yang menangguhkan pelaburan akan melangkah ke depan, oleh itu saya menjangkakan (KDNK) beberapa suku akan datang akan bertambah baik,” katanya. – Bernama


The Malaysia Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.