[SH] KUANTAN – Seorang pemuda semalam mengaku keluar mengundi dua kali
kerana mahu membuktikan sistem pilihan raya menggunakan dakwat kekal
masih boleh dipertikaikan.
Bagaimanapun, Mohd Fadhli Khaharruddin, 23, mendakwa tidak buang undinya
kali kedua, sebaliknya berhasrat menyimpan kertas undi SPR dan nombor
saluran sebagai bukti bahawa prosedur mengundi dengan dakwat kekal
lemah.
Katanya, tindakan untuk keluar mengundi kali kedua dilakukan tanpa
disuruh dan dibayar mana-mana pihak sebaliknya dengan rela hati
berikutan dakwat kekal di jarinya tanggal sepenuhnya apabila dibasuh
selepas undi kali pertama.
“Saya mengundi kali pertama jam 10.30 pagi di saluran 4, peti undi
Sekolah Kebangsaan Sungai Isap dan kemudian undi kali kedua pada jam
1.15 petang di lokasi yang sama,” katanya.
“Dengan cara mengundi sebanyak dua kali maka saya boleh membuktikan
bahawa sistem pilihan raya masih boleh dipertikaikan,” katanya pada
sidang media di pejabat Adun Tanjung Lumpur, semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Adun Tanjung Lumpur,
Rosli Abdul Jabbar dan Penasihat Undang-undang, Jabatan Undang-Undang
dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pas Malaysia, Mohd Aznel Azharudin.
Pelik dengan situasi itu, Mohd Fadhli dari Perkampungan Sungai Isap
Damai terus membuat laporan polis berikutan dengan mudahnya dia boleh
mengundi dua kali.
Katanya, dia menggunakan peluntur untuk membersihkan dakwat kekal di
jarinya selepas cuba membersihkannya dengan sabun dan ternyata hilang
dalam tempoh itu juga.
“Jadi saya ambil keputusan untuk mengulangi proses pengundian sama
seperti yang pertama dan mengikut segala prosedur dan ternyata saya
melepasi setiap petugas sehingga menerima kertas undi,” katanya.
Sementara itu, Fuziah mendakwa, perkara itu mungkin berlaku di lokasi undi lain.
“Sekiranya perkara seperti ini banyak berlaku, lebih baik mereka SPR mengadakan PRU sekali lagi,” katanya.
Duniacacamarba
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.