Friday, April 19, 2013

Ku Li: Saya tiada niat sertai pembangkang

 
GUA MUSANG - Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan terus berjuang dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan janjinya untuk membela rakyat tercapai.

Beliau menolak spekulasi yang menuduh beliau akan menyertai pembangkang khususnya Pas menjelang pilihan raya umum Ke-13, pada 5 Mei depan.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menyimpan hasrat untuk menyertai parti pembangkang khususnya Pas dan akan tetap bersama Umno dan BN sepanjang masa kerana parti itu sudah sebati dalam hidup saya.

"Perjuangan saya dalam parti ini bukan baru, malah sejak saya muda lagi sampai ke tua hari ini masih tetap bersama Umno," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Wangi di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd Arshad Ismail dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof.

Tengku Razaleigh yang diumumkan calon BN mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang berkata, niatnya berjuang dalam Umno dan BN adalah ikhlas untuk membela nasib hidup rakyat tanpa mengejar jawatan.

"Saya menerima untuk dicalonkan semula bertanding kerusi BN Parlimen Gua Musang kerana saya masih mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat serta keadaan diri saya masih sihat," katanya.

Katanya rakyat di kawasan itu juga masih memberi sokongan kuat kepadanya untuk terus memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada pilihan raya umum ini dan berjanji akan memberi khidmat lebih terbaik bagi kemajuan rakyat.

"Terserahlah kepada penduduk sendiri untuk membuat penilaian mengenai segala khidmat yang dicurahkan selama ini dan mungkin selepas ini akan banyak lagi perubahan akan dilakukan untuk mencapai hasrat menjadikan Gua Musang bandar maju," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Tengku Razaleigh menang dengan majoriti 4,394 undi mengalahkan calon Pas Zulkefli Mohamed.


- Bernama/Malaysia Chronicle

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.