Monday, March 11, 2013

Gamis, SMM sokong dua agenda PR - YB Idham Lim

 
Gamis, SMM sokong dua agenda PR

Muhamad Azan (tiga, kanan) bersalaman dengan Setiausaha Kawat, Rosamiza Omar semasa berkunjung ke Pejabat Kawat, semalam. Turut serta, Safwan (dua, kiri).
KUALA TERENGGANU - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyatakan pendirian mereka yang menyokong penuh dua agenda Pakatan Rakyat (PR).
 
 
Dua agenda itu ialah pemberian semula hak royalti kepada rakyat Terengganu daripada lima kepada 20 peratus dan juga tawaran 10 perkara dalam manifesto PR.
 
Presiden Gamis, Muhamad Azan Safar berkata, 20 peratus royalti yang diperjuangkan itu merupakan hak sebenar yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebajikan seluruh rakyat Terengganu.
 
“Pemberian semula hak royalti kepada rakyat negeri Terengganu daripada lima kepada 20 peratus adalah hak rakyat. Dengan royalti tersebut, tiada masalah untuk tujuan pendidikan dan juga melaksanakan 10 perkara yang ditawarkan manifesto PR.
 
“Kemudahan (royalti) akan digunakan untuk ekonomi rakyat Terengganu khususnya untuk anak muda,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada media semasa berkunjung ke Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di sini, semalam.
 
Sementara itu, Pengerusi SMM, Safwan Anang juga melahirkan rasa terkilannya terhadap kerajaan yang memerintah sekarang yang disifatkan tidak memperjuangkan royalti yang sememangnya menjadi hak Terengganu.      
 
“Jika BN betul ingin membela rakyat, sepatutnya isu royalti ini diperjuangkan juga. Kenapa tiba-tiba royalti dihentikan apabila bertukar pemerintah (1999).  Perkara itu merupakan halangan, kezaliman kepada rakyat Terengganu untuk mendapat hak mereka semula.
 
“Kami (juga) berasakan sekarang ini PR mendahului tawaran kepada anak muda. Kita juga menantikan (tawaran) daripada BN Terengganu sebagai pemerintah, namun secara jelas, PR mendahului BN,” katanya.
 
Menurutnya, sebagai golongan muda dan merupakan anak jati Terengganu, dia berasa bertanggungjawab untuk sama-sama memperjuangkan hak tersebut.      
 
Safwan turut menolak pandangan pihak yang menyatakan tawaran diberikan PR sebagai satu yang tidak realistik dan merupakan omongan kosong.
 
“Kalau royalti dapat dipulangkan kembali, segala agenda dapat laksanakan. Sebab pelik, kerajaan negeri seolah-olah meredhakan perkara itu dengan masih menyebut sebagai wang ihsan.
 
“Sepatutnya (kerajaan negeri) berusaha bersama-sama untuk dapatkan kembali hak rakyat,” katanya. 

Sinar harian/-
 
CINA ISLAM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.