Friday, November 2, 2012

IC PROJEK-Agenda Tersembunyi Mahathir?

HAMID SANGGUP MATI DEMI IBU PERTIWI!

ANAK JATI....Hamid Hassan, anak jati Tawau merupakan pesara Yayasan Sabah. Hamid menyertai politik pada tahun 1987 sebagai Ketua Cawangan Parti Bersatu Sabah di Tanjung Batu Laut Tawau. 
 
Hamid dilantik sebagai Ketua Kampung Tanjung Batu Laut pada tahun 1990. Pada tahun 1995, Hamid menyertai UMNO dan menjadi Ketua Cawangan Tanjung Batu Laut.

SEDUTAN BUKU IC PROJEK-Agenda Tersembunyi Mahathir?

HAMID @ ZAINI HASSAN, merupakan pejuang ulung yang tidak jemu-jemu menulis surat kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri, Ketua Polis Negara, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Ketua Komponen Parti Barisan Nasional menyuarakan kebimbangan dan teguran yang bernas berhubung isu kerakyatan songsang.

Sebagai Lelaki Sejati, walaupun diugut, diherdik, dicaci, dicerca dan disoal siasat bagaikan penjenayah, namun Hamid bersemangat waja dan berjiwa perwira. Tidak takut oleh ugutan dan tidak gentar oleh tekanan pihak berkuasa.
 
Kesan daripada tekanan mental dan paksaan fizikal, Hamid lumpuh selama lebih 3 tahun akibat serangan darah tinggi, kencing manis, gout dan lemah jantung. Kini dengan penuh semangat membara Hamid kembali memperjuangkan isu petualangan sindiket kad pengenalan projek setelah mampu berjalan kembali. Wawancara ini menyerlahkan segala-galanya.

Mutalib: Alhamdulillah saudara sudah beransur sembuh. Semangat saudara cukup kuat. Apakah saudara masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan yang tergendala kerana uzur?

HAMID: Syukur Alhamdulillah di atas doa saudara dan seluruh rakyat Malaysia. Saya sudah beransur pulih setelah mendapat ujian Illahi selama hampir 3 tahun. Ikhtiar saya berhasil. 
 
Semangat saya tidak patah sekalipun saya telah meninggal dunia kerana roh dan perjuangan saya sudah sebati. Tuhan hanya beri saya CUTI PANJANG daripada menulis, tetapi fikiran dan jiwa saya terus membara memperjuangkan isu PATI tanpa jemu.

TIDAK ADA yang dapat menghalang saya. Saya yakin dan percaya perjuangan yang ikhlas dan menjulang kebenaran akan menang sekalipun menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan. Kalau boleh saya ingin TUTUP MATA (mati) setelah PATI sifar!

Mutalib: Apakah mereka (Polis) masih ganggu saudara sekalipun dalam keadaan uzur?

HAMID: Ya. Mereka tetap mendesak saya datang ke Balai Polis atau Penjara Air Panas untuk mengambil kenyataan, tetapi saya bertegas mengatakan bahawa saya uzur dan bersedia disoalsiasat di rumah kerana saya tidak dapat berjalan dan terasa lemah sekali. Ada juga yang datang ke rumah dan ada juga yang berdegil menyuruh saya ke Balai. Tetapi saya tidak endahkan mereka. Syukurlah ini baru boleh bangun. Tiga bulan lalu angkat kakipun tak boleh.

Mutalib: Kenapa saudara tidak berhenti sahaja daripada mengkritik kerajaan dan berehatlah kerana kesihatan tidak mengizinkan?

HAMID: Ini hanya ujian Tuhan dan tidak lebih daripada itu. Kalau saya patah semangat kerana diuji dengan keuzuran, maka saya adalah manusia yang tewas sebelum berjuang. 
 
Saya bukan menentang kerajaan. Saya menyuarakan hak saya yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya sanggup tinggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu sudah menjadi Pembangkang dan menyertai UMNO semata-mata mahu memperjuangkan isu ini daripada dalam kerana PBS ternyata gagal merobohkan ’tembok’ yang membenteng mereka dengan ’telinga kuali’ Kerajaan Persekutuan.

KUNJUNGAN... Menerima Kunjungan Pengerusi Yayasan Pembangunan Insan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang menghadiahkan buku IC PROJEK kepada Hamid yang tidak jemu-jemu menulis surat aduan kepadanya berhubung PATI.

Mutalib: Tetapi bukankah saudara tidak juga berhasil dan gagal menyuarakan isu ini daripada dalam kerana Kerajaan mempunyai agenda mereka sendiri?

HAMID: Bukan gagal, tetapi belum berjaya kerana terpaksa merempuh banyak rintangan terutama menghadapi pegawai polis yang agak kasar dan kurang ajar dan tidak menghormati warganegara asal kerana mereka mendapat habuan daripada warganegara ASPAL (Asli tetapi Palsu). 
 
Kad Pengenalan mereka memang Asli tetapi Orang atau pemiliknya palsu. Kita kena terus berusaha tanpa jemu atau putus asa.

Mutalib: Berbalik kepada isu warganegara ASPAL yang saudara nyatakan tadi, bagaimana senario terkini?

HAMID: Rakyat Malaysia di Sabah sangat bimbang kerana kebanyakan PATI telah berjaya memiliki kad pengenalan biru atau KPT Malaysia dan kini Mykad. Kebanjiran PATI pada masa sekarang juga sangat membimbangkan.

Walaupun Kerajaan Pusat melalui Pasukan Petugas Khas Persekutuan (S/L) sedang mengatasinya namun kegiatan sindiket memberi kad pengenalan ASPAL kepada PATI masih berleluasa di negeri Sabah khasnya di Tawau sehingga sukar bagai kerajaan membanterasnya kerana terlalu banyak karenah birokrasi sehingga wang menjadi perantaraan dan pertukaran dengan kad pengenalan yang amat berharga terutama projek Lepa-Lepa di Semporna, Sabah.

Kita sedar Kerajaan hanya bertindak tegas kepada PATI yang memiliki IC atau Kad Pengenalan PALSU kerana ramai telah disumbat ke penjara setelah didapati bersalah di mahkamah.

Namun belum pernah kita dengar mereka mengambil tindakan terhadap warganegara ASPAL yang mudah diternak menjadi pengundi hantu dan kini merupakan kumpulan pendesak di dalam UMNO.

Sebagai Ketua cawangan UMNO Tanjung Pukat, saya menyedari hakikat ini memang agar sukar dibasmi kerana mereka rupa-rupanya dilindungi oleh pemimpin UMNO yang beragenda atau menempah keranda politik mereka!.

Di sana sini kedengaran rakyat mengeluh bahawa PATI mendapat permit pengangkutan awam, lesen berniaga, kebun dan sebagainya. Lebih menjengkelkan ramai PATI yang memegang jawatan dalam politik dan kerajaan.

Pada mulanya saya menyalahkan pegawai di jabatan kerajaan, tetapi setelah mengetahui bahawa JPN Malaysia telah mengesahkan kad pengenalan mereka, maka saya tidak jemu-jemu untuk membuat aduan kepada Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Mutalib: Kenapa saudara terlalu mengambil berat soal isu ini sedangkan saudara tinggal di kawasan hitam yang dikelilingi oleh PATI yang memperoleh kewarganegaraan ASPAL ini?

HAMID: Saya mengambil berat perkara ini kerana memikirkan masa depan anak cucu saya. Saya tidak mahu dipersalahkan oleh generasi akan datang. Dahulu sebagai Ketua Kampung, saya diibaratkan sebagai mata dan telinga kerajaan. Saya telah menjalankan tugas dengan penuh amanah membuat aduan mengenai isu ini, namun semua aduan yang saya buat belum berhasil.

Dengan itu saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Kampung sebulan notis. Bagaimanapun kerajaan Negeri Sabah mempunyai kuasa untuk menamatkan perkhidmatan saya sebagai Ketua Kampung pada bila-bila masa. 
 
Saya meletakkan jawatan bukan kerana menolak dasar kerajaan tetapi tidak berpuas hati terhadap JPN Malaysia. Pada mulanya Wakil Rakyat enggan menerima perletakan jawatan saya, namun saya terus menerus mengkritik beliau sehingga dipecat SERTA MERTA!

Kini saya berjuang atas tiket UMNO iaitu sebagai Ketua Cawangan UMNO Tanjung Pukat setelah ahli cawangan saya enggan menerima perletakan jawatan saya.

Mutalib: Berapa ramai penduduk @ pengundi Tanjung Pukat dan bagaimana status mereka?

HAMID: Rakyat tempatan 900 orang dan PATI 6,000 orang. Saya tak tahu nak cakap apa. Saudara fikirlah sendiri nasib saya dan orang tempatan jika berlaku sesuatu kepada kami di sini!

Mutalib: Mungkin saudara tidak mempunyai bukti yang kukuh dan kerana itu tidak hairan jika aduan saudara tidak diterima atau dipandang enteng oleh pemimpin negara?

HAMID: Penjelasan dan bukti-bukti yang telah saya berikan kepada mereka adalah cukup jelas yang membabitkan PATI yang telah berjaya miliki kad pengenalan Malaysia.

Namun jika kad pengenalan warga ASPAL ini dirujuk kepada JPN Malaysia, pasti jawapannya mereka ini telah memperoleh kad pengenalan dengan cara yang betul dan berdasarkan Perlembagaan Malaysia kerana nama dan nombor kad pengenalan mereka telah dimasukkan ke dalam buku atau komputer oleh kakitangan JPN Malaysia yang tidak bertanggung jawab.

Yang sebenarnya semua rakyat Malaysia di Sabah terutama kakitangan kerajaan mengetahui perkara ini dan tidak berpuas hati terhadap JPN Malaysia tetapi takut untuk menyuarakannya.

Saya akui bahawa bangsa Bugis adalah warganegara Malaysia. Seperti di Johor terdapat bangsa Bugis yang sangat ramai. Tetapi mereka (Bugis) di Johor adalah lahir di Malaysia atau berada di Malaysia sebelum merdeka.

Tetapi di negeri Sabah kebanyakan mereka (Bugis) datang ke Sabah semasa kerajaan BERJAYA hinggalah sekarang. Kerana bangsa Bugis sangat ramai di Merotai, mungkin salah satu sebab pemilihan Dr Pataware Patawi sebagai Adun UMNO di Merotai.

Mutalib: Kelihatan pada saya seolah-olah saudara tidak menyukai Dr Patawari atas sebab-sebab tertentu? Apakah warga UMNO Tawau juga tidak menyukai beliau?

HAMID: Pemilihan Dr Pataware Patawe sebagai calon UMNO/BN di Merotai ketika itu telah mengguris perasaan bumiputera di Merotai. Kebanyakan berpendapat tiada lagikah bumiputera yang boleh diketengahkan sebagai calon di Merotai?. Dr Pataware Patawe yang dilahirkan di Indonesia memang benar mengikut saluran untuk mendapatkan kad pengenalan (warganegara).

Tetapi Kerajaan BN sewajarnya mengutamakan bumiputera tempatan. Kalau di dalam Islam ada perbezaan di antara anak angkat dan anak rahsia. Anak angkat tidak dapat harta pusaka. Apakah KELEBIHAN Dr Pataware Patawe?

Ahli UMNO/BN di Merotai marah kerana susah berjumpa dengan Adun Merotai. Kata mereka kalau Dr Pataware Patawe datang pagi ke Tawau, pulang ke Kota Kinabalu petang. Kalaupun bermalam tidur di hotel. Dr Pataware Patawe tidak mempunyai rumah di Tawau.

Semasa pilihanraya umum negeri Sabah lalu, Dr Pataware terpaksa menyewa rumah berhampiran Hospital Besar Tawau. Memang benar Dr Pataware mempunyai dua buah rumah tetapi di Kota Kinabalu iaitu untuk isteri pertama dan isteri kedua.

Kami di Merotai sudah jemu mendengar cerita bahawa isteri Dr Pataware Patawe pertama (Kadazan) berkeluarga dengan isteri YAB Datuk Seri Panglima Osu Haji Sukam dan isteri Kedua (Bajau) Dr Pataware Patawe berkeluarga dengan Osu Haji Sukam.

Memang amat memalukan apabila Dr Pataware telah melantik Palurui Hassan sebagai Pengerusi JKKK Tanjung Batu Laut sedangkan Palurui adalah PATI Indonesia yang telah mengaku lahir di Sabah. Palurui telah menceroboh tanah kerajaan (Hutan Simpan Kelas Satu Bukit Kukusan) untuk membina kilang papan (Syarikat Ratna Bersaudara).

Mutalib: Pada pandangan saudara wajarkah warga ASPAL ini diberi peranan dalam parti kerana Kerajaan BN telah menerima mereka secara sah?

HAMID: Masa depan politik Sabah biarlah ditentukan sendiri oleh rakyat Malaysia. Kalau selama ini hak rakyat Malaysia di Sabah telah dirampas oleh PATI Indonesia dan Filipina, tapi sekarang ditambah lagi oleh satu negara iaitu Pakistan.

Negeri Sabah adalah tanah tempat tumpah darah kami. Tembuni kami ditanam di bumi negeri Sabah. Kami sekarang hidup dalam ketakutan di negeri sendiri.

TERLEPAS…Walaupun PATI yang dituduh membunuh Datuk Norjan Khan Bahadar terlepas atas masalah teknikal, namun membuktikan IC Projek yang dimiliki tertuduh membolehkannya bekerja dan membahayakan nyawa orang lain. PATI tersebut menetap di Tawau.

Kebanyakan kes jenayah serius dilakukan oleh PATI dan kebanyakan anak mereka berkeliaran di bandar Tawau meminta sedekah, menghidu gam dan sebagainya. Apakah pandangan para pelancong luar negara terhadap perkara ini?

Mutalib: Wakil rakyat saudara menganggap dakwaan saudara tidak berasas dan palsu kerana cemburu dengan kejayaan pihak yang didakwa sebagai warga ASPAL? Apakah jaminan yang saudara boleh berikan?

HAMID: Mungkin saluran yang saya gunakan selama ini salah. Patutkah saya ketika itu selaku Ketua Kampung yang diibaratkan sebagai mata dan telinga kerajaan berdiam diri? Sekali lagi saya merayu pihak berkuasa agar menyiasat semua aduan yang telah saya berikan selama ini, terutama Jabatan Pendaftaran Negara kerana mencabar kewibawaan mereka.

Saya bersumpah dengan nama Allah, sekiranya aduan saya didapati semua tidak benar, saya bukan sahaja sanggup di penjara tetapi sanggup di hukum mati.

Mutalib: Pada pandangan saudara kenapa PATI suka datang ke Sabah dan memilih Tawau sebagai destinasi mereka?

HAMID: Pendatang tanpa izin suka datang ke Tawau kerana peluang pekerjaan yang banyak mempunyai ramai keluarga yang telah berjaya memiliki kad pengenalan ASPAL yang mengaku lahir di Sabah.

Mereka inilah yang menjadi pelindung kepada PATI dan tidak hairan jika ada sebarang operasi hanya beberapa orang yang ditangkap. Jika ada ahli UMNO yang ditangkap, akan dibebaskan juga setelah campurtangan politik sekalipun ahli berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen kerana dokumen yang mereka gunakan semasa menjadi ahli dahulu adalah palsu.

MATI.....Surat Akuan Berkanun Hamid yang mengesahkan bahawa kenyataannya adalah benar dan sanggup di penjara atau di HUKUM MATI jika tidak benar!

Mutalib: Apakah cadangan saudara bagi mengatasi masalah ini?

HAMID: Cadangan saya, setiap PATI yang ditangkap dan di bawa ke penampungan atau memiliki salinan kad ASPAL, mestilah memberitahu siapa yang membuat kad pengenalan mereka. Sekiranya nama seseorang kerap disebut, pihak berkuasa patut menyiasat/memerhati gerak geri penama tersebut.

Beberapa tahun lalu (semasa kerajaan BERJAYA) saya pernah ditanya oleh masyarakat kampung (rakyat asing) mengenai kad pengenalan yang mereka miliki.

Saya tanya adakah kamu buat kad pengenalan di Pejabat Pendaftaran Negara Tawau? Mereka kata tidak, tetapi dibuat di rumah pengurus.

Antara nama yang masih saya ingat mereka sebut ialah Samsul Alang Hamsah (bekas tanahan ISA) dan Allahyarham Dullah Suing.

Sementara dalam kerajaan PBS nama yang sering mereka sebut ialah Andy Bandy Pilo (bekas tahanan ISA), Persatuan Kebangsaan Bugis Bersatu (PKBS) dan sebagainya.

Betapa malunya saya sekarang kerana kad pengenalan ASPAL ini telah berjaya ditukar kepada Mykad.

Rakyat Pakistan pula yang menjual kain dan jika saya tanya di mana kamu dapat kad pengenalan, mereka kata Datuk Harris yang beri.

Ada juga PATI yang memperoleh kad pengenalan ASPAL ini memohon Sijil Kelahiran Daftar Lewat dengan cara memalsukan keterangan diri dengan kerjasama Pegawai JPN, Ketua Kampung dan Ketua Anak Negeri yang rasuah dan pecah amanah.

Mutalib: Adakah bukti lain atau asas kukuh untuk membuktikan dakwaan saudara?

HAMID: Sejak Dato’ Seri Megat Junid Megat Ayob menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia lagi sehinggalah sekarang, banyak bukti telah saya berikan. JPN mengesahkan kad pengenalan seseorang hanya berpandukan nama dan nombor kad pengenalan seseorang ada tercatat di dalam buku atau komputer yang dimasukkan oleh kakitangan JPN yang tidak bertanggung jawab.

Manakala saya sebagai Ketua kampung yang diibaratkan sebagai mata dan telinga kerajaan mengesahkan mereka rakyat asing berpandukan seperti berikut;

a) Saya mempunyai rekod banci penduduk. Pertama mereka sampai menggunakan pasport atau masuk secara haram.

b) Di dalam Sijil Kelahiran anak-anak mereka ada tercatat nombor pasport ibu bapa.

c) Mereka selalu balik kampung (Indonesia/Filipina) begitu juga keluarga mereka (pendatang tanpa izin) masuk secara haram ke negeri Sabah. Tidak berapa lama, mereka juga mendapat kad pengenalan ASPAL.

d) Mereka sendiri bercerita bahawa di kampung mereka (Indonesia) mereka mempunyai rumah dan kebun.

e) Kita sebagai anak jati Malaysia mempunyai tanda di lengan (suntikan cacar berbentuk bulat) walaupun tidak semua yang jadi. Manakala mereka (rakyat asing Indonesia) juga mempunyai tanda di lengan berbentuk bergaris panjang.

f) Mereka rakyat asing (Indonesia) selalu bertanya kepada saya ini malam ada polis checkingkah? Saya kata saya tidak tahu. Mereka pandai berkata, polis mesti melalui Ketua Kampung jika mahu checking. Saya kata tidak. Polis mempunyai kuasa pada bila-bila masa membuat checking tanpa memberitahu Ketua Kampung. Sekiranya mereka benar-benar lahir di Malaysia kenapa mereka patut takut jika polis membuat checking dari rumah ke rumah.

g) Dalam perbualan harian mereka sendiri berkata, kami datang hanya untuk cari makan Pak. Orang kasi IC kami ambil. Lalu saya tanya kamu buat di Pejabat Pendaftarankah? Tidak Pak, di rumah Pengurus.

h) Mereka memberitahu pembayarannya RM350 dan sekarang saya dengar sehingga RM1,200. Pengeluaran kad pengenalan kepada rakyat asing bermula sejak kerajaan BERJAYA.

i) Kalau di Tawau, nama-nama yang sering mereka sebut mengurus kad pengenalan untuk rakyat asing ialah Samsul Alang Hamsah (bekas tahanan ISA); Andy Bandy Pilo (bekas tahanan ISA); Puan Apsah Maming (bekas tahanan ISA) dan penduduk Tanjung Batu Laut) Persatuan Bugis dan banyak lagi nama-nama yang mereka sebut.

Mengikut seorang bekas pemimpin parti BERJAYA yang tidak mahu namanya disebut, memang ada arahan dari KL membuat kad pengenalan. Tetapi disalahgunakan. Tujuan pemimpin KL (arahan) ialah untuk rakyat pedalaman yang tidak mempunyai kad pengenalan atau rakyat asing yang telah lama memegang kad pengenalan merah. Pemimpin KL tidak pernah mengarahkan rakyat asing diberikan kad pengenalan yang mengaku lahir di negeri Sabah.

JPN Malaysia Tawau juga masih mengarahkan seseorang pemohon untuk meminta surat pengesahan suami isteri daripada Ketua kampung. Berkali-kali saya katakan (melalui surat) bahawa Ketua Kampung tidak mempunyai kuasa untuk membuat surat pengesahan suami isteri.

Pengesahan suami isteri hendaklah dirujuk kepada Imam Bertauliah atau pihak MUIS. Ketua Kampung hanya boleh mengesahkan seseorang tinggal di kampung jagaannya.

Rakyat asing PEMBOHONG! Sijil nikah mereka (Akta Nikah Indonesia) bukan hilang, tetapi tidak berani menunjukkan kerana mereka sekarang telah berjaya memiliki kad ASPAL. Ada di antara mereka memiliki Akta Nikah Indonesia dan ada juga yang memiliki Sijil Nikah Malaysia secara sah.

Tetapi mereka takut kerana di dalam Sijil Nikah tersebut ada tercatit nombor pasport mereka sedangkan mereka sekarang mempunyai kad ASPAL yang mencatatkan kelahiran mereka di salah sebuah kampung di negeri Sabah.

Apakah lagi kami rakyat tempatan tidak marah kepada PATI yang telah berjaya memiliki kad ASPAL, sedangkan PATI sendiri marah. Kata mereka, kami sama-sama datang dari Indonesia/Filipina, mereka sudah dapat kad pengenalan sedangkan kami masih pasport atau kad pengenalan merah.

Mutalib: Apakah ciri jelas yang mudah dilihat terutama sekarang ini mereka telah memiliki Mykad, sama seperti yang saudara miliki?

HAMID: Kalau JPN Malaysia hendak mengesan kad pengenalan rakyat asing memang boleh dan terlalu mudah. Semua kad pengenalan biru ada pendua yang disimpan rapi di dalam rekod komputer dan di Jabatan Pendaftaran Negara di Kota Kinabalu. Kad pengenalan biru PATI yang berumur di antara 30 tahun hingga 60 tahun tidak tercatat nombor kad pengenalan lama. Sedangkan rakyat Malaysia yang berumur 12 tahun diwajibkan membuat kad pengenalan.

Kenapa mereka tidak mempunyai kad pengenalan lama? Jawapannya mereka rakyat asing. Bil daftaran juga tiada. Manakala tempat daftaran juga tiada. Sedangkan setiap kad pengenalan ada mencatatkan tempat daftaran yang menunjukkan pejabat JPN Malaysia tempat seseorang membuat kad pengenalan.

Bukti besar mereka bukan membuat kad pengenalan di pejabat JPN Malaysia. Memang benar pengakuan mereka bahawa kad pengenalan mereka dibuat di rumah pengurus. Hanya sebilangan kecil sahaja dibuat di pejabat JPN .

Seorang kakitangan JPN Tawau, Awang Mohd Amin Ibrahim adalah kakitangan JPN Malaysia Tawau yang selalu disebut-sebut oleh rakyat asing bagus kerana boleh menolong mereka membuat kad pengenalan rakyat asing. Selain itu, nama Puan Murni juga mereka (rakyat asing) katakan bagus boleh menolong membuat kad pengenalan rakyat asing.

Ada di antara mereka (rakyat asing) berkata kad pengenalannya dibuat di Semporna semasa Puan Murni bertugas di sana.

Bagi orang awam, mereka boleh kenal PATI yang memiliki kad ASPAL dengan mudah kerana di belakang mykad mereka tercatat nombor kad pengenalan lama menurut nombor siri yang dihuraikan di muka surat 157, buku IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah yang saudara tulis.

Mutalib: Sepanjang menjadi Ketua Cawangan UMNO, apakah insiden yang melibatkan PATI paling memalukan pernah berlaku di Tawau?

HAMID: Perkara yang paling memalukan UMNO ialah pada 15/3/1998 apabila bekas tahanan ISA, Samsul Alang Hamsah yang menjadi 'Penjenayah' atau 'Petualang IC Projek' dikekalkan semula sebagai Timbalan Ketua Bahagian UMNO P 165 Tawau walaupun telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama dua tahun.

Pada fahaman kami, ahli UMNO boleh aktif dan memegang jawatan sekiranya dilepaskan sepenuhnya, bermakna seseorang itu telah lupus semua jawatannya sewaktu ia ditahan di dalam Akta ISA dan hendaklah bermula daripada bawah semula. Kami berpendapat bekas tahanan ISA kerana memalsukan kad pengenalan tidak dibenarkan memegang jawatan dalam politik dan kerajaan selama lima (5) tahun atau selama-lamanya kerana perbuatan tersebut menjual hak rakyat negara Malaysia dan boleh menggugat keselamatan negara.

BERJAYA......Samsul Alang antara PATI yang berjaya mengukir nama dan kaya raya di Malaysia hasil IC Projek.

Lebih malang lagi dia mendakwa jawatannya sebagai Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Sabah juga kekal. Katanya gajinya berjalan selama dalam tahanan ISA dia telah mendapat tuntutan pembayaran gaji lebih RM80,000 selepas keluar daripada ISA! Saya kesal kerana wang rakyat digunakan untuk membayar gaji penjenayah.

Selain daripada terkenal membuat kad pengenalan palsu dan projek, status Samsul Alang Hamsah juga membingungkan. Apa yang saya tahu Samsul Alang Hamsah adalah rakyat Indonesia. Semasa bekerja di JKR Tawau, dia memegang pasport. Tapi bagaimana dia mempunyai surat lahir. Rakan saya, Abdillah Bin Ahmad telah membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing Kota Kinabalu terhadap status Samsul Alang beberapa tahun lalu, tetapi sehingga sekarang belum ada tindakan dibuat.

Mutalib: Adakah sesiapa lagi yang saudara yakin PATI yang memiliki kad ASPAL?

HAMID: Ada. Bukti terbaru yang saya perolehi ialah Andi Baso Bin Basir K/P H0392277 bekas Ketua Cawangan UMNO Kampung Sentosa Blok 4 (kod 096) telah hilang hak sebagai ahli UMNO kerana dikatakan kad pengenalannya tidak betul. Memang dia betul rakyat Indonesia.

Tetapi pada tahun lalu dengan menggunakan nama Raba Bin Bella @ Andi Baso telah memperolehi kad pengenalan yang bernombor H0293741. Maklumat tersebut telah saya terima daripada seorang kawan yang bertugas di Pejabat Parti Bersatu Sabah (PBS) Merotai yang mengatakan orang kamu keluar UMNO masuk PBS.

PALSU.....Kad Pengenalan milik Tham Vui Henn ini telah diguna pertama kalinya oleh Andi Baso untuk menjadi Ketua Cawangan UMNO Kampung Sentosa Blok 4.




BARU.....Setelah kad pengenalan H0392277 didapati palsu, maka Andi Baso mendapat satu lagi kad pengenalan H0293741 dan menukar namanya kepada Raba Bin Bella.

Mutalib: Selain maklumat dokumen yang telah disebutkan, pernahkah saudara membuat tinjauan atau siasatan sendiri mengenai perkara ini?

HAMID: Ya ada. Beberapa orang peniaga di gerai berhadapan panggung wayang Kong Fah pernah saya tanya. Kamu orang sinikah? Mereka menjawab ia. Kad pengenalan kami sekarang Mykad.

Lalu saya bertanya, berapa kali kamu sudah tukar kad pengenalan? Mereka menjawab dua (2) kali. Terus terang saya berkata kepada mereka, kamu orang Indonesia kerana kalau kamu orang Malaysia seperti umur saya lebih 52 tahun sudah tiga (3) kali dan ibu bapa saya sudah empat (4) kali mempunyai kad pengenalan.

Kad pengenalan saya yang pertama 320000, manakala yang kedua H0083280 dan sekarang bernombor 550513-12-5471. Mereka terus mengaku, kami memang orang Indonesia dan kami datang hanya untuk mencari makan.

Mutalib: Adakah apa-apa tanda yang jelas kelihatan yang boleh membezakan orang tempatan dengan PATI?

HAMID: Mudah sahaja dan sebagai panduan untuk semua rakyat Malaysia, rakyat tempatan Sabah Malaysia mempunyai tanda suntikan cacar di lengan berbentuk bulat, manakala PATI bergaris panjang.

Tidak payah periksa kad pengenalan. Tengok tanda cacar sahaja sudah boleh mengenali spesis PATI yang ASPAL ini. Kalau polis atau rela mahu membuat pemantauan atau operasi dengan pantas dan menjimatkan masa, periksa tanda cacar sahaja! Jika tanda cacar mereka panjang tetapi mengaku lahir di Sabah, mereka adalah PEMBOHONG PALING BESAR DI DUNIA!

Mutalib: Adakah siapa lagi yang saudara kenal benar dan pasti status PATI yang berjaya dengan kad ASPAL?

HAMID: Memang ramai yang saya kenal, dua minggupun tidak selesai kalau mahu di senaraikan. Ramai di antara mereka telah mendapat lesen berniaga, permit teksi, permit bas dan sebagainya. Mereka mula mahu menjadi pemimpin dan tidak mahu dipimpin lagi. Mereka mula mahu menjadi Ketua Kampung. Ada yang menjadi Pengerusi JKKK dan Pengerusi PIBG.

PALSU..... Kita tidak tahu IC siapa yang benar kerana wanita ini berdaftar sebagai pemilih sedangkan nombor Kad Pengenalan lamanya pernah digunakan Harris Laksamana. Tiada siapa tahu apa dokumen yang Harris gunakan sekarang, tetapi beliau bebas ke sana ke mari?

Sebagai contoh, Haris Laksamana Bin Hj Bahrum yang memegang kad pengenalan bernombor H0513979. Saya mengenalinya sebagai Bob sekitar tahun 1980. Haris Laksamana ini kerjanya menjual ubat di kaki lima kedai gambar Dahlia di waktu siang dan menjual ubat tahan lama di tangga hotel pelacuran pada waktu malam.

Kakitangan Majlis Perbandaran Tawau juga sangat mengenalinya. Harris Laksamana adalah rakyat Indonesia pernah berkata kepada saya pada Februari 1998 lalu bahawa kad pengenalannya sah dan ada surat pengesahan daripada Pengarah Pendaftaran Negara Sabah Kota Kinabalu.

Selain Harris, ada juga yang menjadi Pemaju Mukim, Ahli Majlis Perbandaran Tawau dan amat memeranjatkan seorang Ahli Majlis Perbandaran Tawau telah dipenjara beberapa tahun lalu kerana mempunyai dua kad pengenalan.

Mutalib: Baru-baru ini Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti telah menjemput saudara memberi keterangan di Parlimen, namun saudara tidak hadir. Apakah sebab-sebab yang menghalang saudara menghadiri sesi pendengaran awam berkenaan?

HAMID: Saya memohon maaf daripada Jawatankuasa berkenaan kerana tidak dapat hadir sebab uzur dan bersedia untuk hadir pada bila-bila masa jika keadaan kesihatan saya mengizinkan. Jika boleh saya mohon agar sesi pendengaran ini diadakan di kediaman saya di Tanjung Pukat, Tawau agar jawatankuasa dapat MERASAI dan MENIKMATI suasana ’AMAN DAMAI’ dan indahnya tinggal di celah-celah PATI.

Mutalib: Apakah harapan saudara berhubung isu PATI dan kad pengenalan ASPAL ini? Ke arah mana hendak dihalakan perjuangan saudara?

HAMID: Saya akan terus menerus menghantar surat kepada pihak berkuasa dan memberi kerjasama kepada semua pihak agar masalah ini dapat diselesaikan secara bijaksana.

Sebagai rakyat Sabah, saya berikrar akan berjuang selagi hayat di kandung badan. Saya tidak akan jemu-jemu membuat teguran dan menghantar petisyen. Saya percaya lambat laun Perdana Menteri akan akur dengan kehendak rakyat kerana tidak akan ada pemimpin yang kekal di dunia jika MENGKHIANATI RAKYAT.

Merekrut PATI sebagai warga ASPAL atas apa juga sebab, tidak boleh dimaafkan dan penjenayah warga dihukum.

Ingatlah. Insaflah. Jika mereka tidak menerima balasan di dunia, mereka akan menerima di alam barzah dan di akhirat. Kalau bukan mereka, anak cucu mereka. Tuhan telah memberi peringatan adanya hari pembalasan.

Menghalalkan warga ASPAL ini adalah alasan meramai umat Islam adalah MEMPERSEKUTUKAN Allah kerana Allah akan menjaga agamanya dan bukan pemimpin yang berjubahkan agama untuk kepentingan politik.

BERANI... Hamid menunjukkan Bab 8 buku IC PROJEK-Agenda Tersembunyi Mahathir? yang mengandungi kenyataannya dengan tajuk Kerajaan BN Telinga Kuali?

Mereka yang merekrut PATI sebagai warga ASPAL dengan melacurkan agama ISLAM adalah MURTAD dan SYIRIK kerana menyekutukan Allah dan mencemar agama Islam yang suci.

Kepada yang terlibat dengan sindiket haram ini segeralah BERTAUBAT selagi pintu taubat masih terbuka atau mati di dalam kekufuran. Mufti Negeri Sabah hendaklah memberi fatwa bahawa merekrut PATI sebagai warganegara melalui jalan songsang adalah HARAM!
 
(PESANAN KHAS : Buku IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir? boleh dipesan terus daripada Sabahkini.net dengan menghantar email ke sabahkini.net@gmail.com. Senaskhah buku ini berharga RM1,500. CEPAT, hanya tinggal 7 buah lagi di Pasaran. Buku ini TIDAK AKAN DICETAK SEMULA. Dapatkan sebelum Pilihanraya Umum akan datang)

-sabahkini.net

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.