Saturday, October 6, 2012

Kes Polis Minta Rasuah Drp Deejay Suria.FM: Terbukti Ia Bukan Persepsi, Tapi Realiti

 

Ketua Polis Negara Kecewa Anggotanya Minta Rasuah Dari Deejay Suria FM Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar kecewa dengan sikap anggotanya yang meminta rasuah daripada penyampai radio Suria FM, Tyzo dan berhasrat mengambil tindakan tegas.

Ismail berkata, perbuatan meminta rasuah tidak boleh dimaafkan dan beliau mahu siasatan terperinci dilakukan berdasarkan kepada laporan yang dibuat penyampai radio itu.
“Saya akan siasat. Perkara begini tak boleh dimaafkan. Kalau perlu, kita akan gugurkan keanggotaannya jika benar didapati bersalah,” katanya kepada mStar Online dalam wawancara eksklusif bersama The Star di Ibu Pejabat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, dekat sini pada Khamis.

mStar Online pada Rabu lalu melaporkan Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zoqarnain Idris telah melalui pengalaman ditahan anggota polis kerana kesalahan memandu kereta bercermin gelap dalam satu sekatan Isnin lalu di sekitar jalan Sunway dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, anggota polis trafik tersebut telah memberi dua pilihan terhadap Tyzo sama ada mahu menyelesaikan kes itu dengan cara membayar wang ataupun dikenakan saman.

Bagaimanapun anggota polis tersebut melepaskan Tyzo selepas deejay tersebut memaklumkan dia adalah petugas media dan berhasrat melaporkan perbuatan tersebut kepada pihak atasan PDRM selepas mencatat nama dan nombor badannya.

Sementara itu Tyzo yang dihubungi mengucapkan terima kasih kepada Ismail kerana memberi respons terhadap aduan tersebut.

Malah kata Tyzo, dia juga telah menerima panggilan telefon daripada Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Zulkifli Joned yang mahu mengambil tindakan terhadap perkara itu.

“Saya juga akan ke Bukit Aman hari Jumaat dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu mengambil keterangan selepas berita mengenai kes ini disiarkan di media.

“Insya-Allah, saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkenaan,” katanya - Mstar
Rasuah: Deejay Tyzo Beri Keterangan Ke Bukit Aman & SPRM



Penyampai radio Suria FM, Tyzo telah memberi keterangan kepada pegawai polis di Ibu Pejabat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Jumaat, berhubung kejadian sorang anggota polis meminta rasuah akibat kesalahan lalu lintas daripadanya pada Isnin lalu.

Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zoqarnain Idris, 36, tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 2.30 petang dan memberi kenyataannya selama kira-kira 90 minit kepada seorang pegawai polis di Bahagian Tatatertib.

Selesai memberi kenyataan itu, dia turut hadir ke ibu pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Cheras di sini kira-kira pukul 4.45 petang dan diambil keterangan kira-kira 30 minit.

Tyzo berkata, dia tidak pernah membayangkan selepas membuat keputusan untuk tidak memberi rasuah, dia perlu memberi kenyataan kepada beberapa pihak berkuasa.

“Saya bagaimanapun gembira kerana saya dapat mempertahankan prinsip saya dan berkata “tidak” kepada rasuah,” ujarnya kepada mStar Online pada Jumaat.

Adalah difahamkan pihak polis telah mengenal pasti anggota yang dikatakan meminta rasuah daripada Tyzo itu dan kedua-dua pihak berkuasa berkenaan akan merakamkan kenyataannya dalam waktu terdekat.

Sementara itu Tyzo memberitahu dia bimbang dengan keselamatannya selepas menerima satu panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali melalui talian telefon pejabat yang mendakwa kononnya mahu menyiasat kes berkenaan.

Deejay itu curiga kerana sebelum ini Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintenden Zulkifli Joned dan pegawai penyiasat kes berkenaan telah berhubung dengannya secara terus melalui telefon bimbitnya.

“Rakan-rakan saya tidak memberikan nombor telefon saya kerana bimbang perkara yang tidak diingini.

"Saya bimbang kenapa orang yang mendakwa pegawai polis tidak mempunyai nombor telefon bimbit saya sedangkan sebelum ini pihak-pihak berkenaan telah berhubung secara terus dengan saya,” katanya.

mStar Online pada Rabu lalu melaporkan Tyzo telah melalui pengalaman ditahan anggota polis kerana kesalahan memandu kereta bercermin gelap dalam satu sekatan jalan raya di sekitar jalan Sunway dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang anggota polis trafik telah memberi dua pilihan terhadap Tyzo sama ada mahu menyelesaikan kes itu dengan cara membayar wang ataupun dikenakan saman.

Bagaimanapun anggota polis tersebut melepaskan Tyzo selepas deejay tersebut memaklumkan dia adalah petugas media dan berhasrat melaporkan perbuatan tersebut kepada pihak atasan PDRM selepas mencatat nama dan nombor badannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar turut memberi reaksi terhadap kes berkenaan dan mahu individu yang meminta rasuah tersebut dikenakan tindakan tegas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.