Sunday, October 21, 2012

Kes 'Karpal Hina Sultan Perak', Mahkamah Tolak Permohonan 'Kamaluddin Said' Ketepikan Sepina


 

KUALA LUMPUR, 20 Okt - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara Datuk Kamaluddin Md Said (foto), untuk mengetepikan sepina agar beliau menjadi saksi pembelaan dalam perbicaraan kes hasutan Pengerusi DAP Karpal Singh.  
 
Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak hujah Peguam Kanan Persekutuan Abazafree Mohd Abbas bahawa Kamaluddin bukan saksi relevan untuk kes pembelaan. 
 
"Hujahannya bahawa saksi ini tidak dapat memberi keterangan yang berkaitan dengan pembelaan tertuduh adalah satu spekulasi pramatang untuk mahkamah ini membuat rumusan pada peringkat ini. 
 
"Mahkamah perlu memberi peluang kepada tertuduh memanggil mana-mana saksi yang relevan dan berkemungkinan dapat membantunya semasa membela diri," katanya.  
 
Azman juga berkata semasa perbicaraan, Karpal Singh merujuk satu keratan akhbar yang memetik Kamaluddin sebagai berhujah di mahkamah bahawa Sultan Perak patut dijadikan pihak dalam kes berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Perak. 
 
 
 
"Oleh itu, jika saksi ini mempunyai jawapan, atau alasan, atau penafian, beliau boleh menjawabnya nanti atas kapasiti sebagai saksi," katanya. Dengan keputusan itu, Karpal Singh akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama pada 2 November depan, diikuti Kamaluddin. 
 
Pada 30 Ogos lepas, Azman menolak permohonan Karpal Singh agar sepina dikeluarkan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. 
 
Pada prosiding hari ini, hakim itu berkata mahkamah menolak permohonan tertuduh untuk memanggil Dr Mahathir, Abu Talib dan Abdul Gani sebagai saksi kerana tidak relevan dan keterangan mereka tidak berkaitan dengan intipati pertuduhan yang dihadapi Karpal Singh. 
 
 
Peguam itu didakwa mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009. 
 
Karpal Singh, 72, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.
 
 
Pahang Daily Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.