Tuesday, September 4, 2012

Pemimpin muda PKR perlu belajar adab berpolitik - Zahid

 
KUANTAN . - Pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menasihati pemimpin muda mereka supaya belajar tentang adab berpolitik dan tidak bertindak biadab kerana ia bukan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid berkata, perbuatan mereka menghina pemimpin negara dan Jalur Gemilang pada Himpunan Janji Bersih baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh rakyat.

Menurutnya, beliau mendapat maklumat balas daripada ramai pihak termasuk generasi lama yang menyatakan perbuatan itu tidak boleh diterima oleh mereka.

"Saya fikir generasi baru yang berpelajaran, golongan profesional serta intelek turut tidak boleh menerima perbuatan itu," katanya selepas program lawatan bersama media ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, tindakan perundangan boleh diambil terhadap mereka, tetapi kerana ia perbuatan politik maka ia harus diselesaikan secara politik.

"Satu caranya ialah menolak PKR dan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. 

Kita tidak mahu mengajar rakyat Malaysia jadi biadab, apatah lagi menghina mana-mana pemimpin termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri," katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah negara demokrasi, rakyat telah memilih serta mengiktiraf kepimpinan dan kerajaan yang ada sekarang melalui pilihan raya umum lalu.

Kononnya mahu menegakkan demokrasi tetapi daripada segi amalan dan perbuatannya tidak demokratik, maka politik sebegitu harus ditolak," katanya.

Beliau berharap kesedaran muncul terutama di kalangan pengundi muda atas pagar supaya memikirkan secara rasional pihak yang lebih berwibawa untuk dipilih sebagai pemimpin.


-Utusan
Malaysia Chronicle

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.