Wednesday, July 11, 2012

Kes Pembunuhan Altantuya: Wakil Mongolia ke Malaysia Ogos

 

Sekumpulan wakil rasmi Mongolia yang ditugas untuk mengendalikan kes pembunuhan Altantuya Shaariibu dijangka hadir ke Malaysia Ogos ini, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne.

“Mereka akan tiba pada bulan Ogos, cuma tarikh yang tepat belum tahu kerana Mongolia baru saja mengadakan pilihan raya dan belum ada kerajaan lagi,” jelasnya.

“Saya berharap kes ini dapat diselesaikan dengan cepat, sudah enam tahun keluarga mangsa (Altantuya) menanti penyelesaian. Saya yakin bukan hanya saya yang berharap begitu, malah seluruh rakyat antarabangsa yang simpati pada nasib mendiang juga,” kata beliau lagi.

Menurut Gwo Burne, bapa Altantuya, Setev Shariibuu beberapa kali meminta kerajaan Malaysia menyelesaikan kes itu secepat mungkin, namun tidak mendapat respon apabila kes rayuan ditangguh ke Oktober.

“Ada baiknya wakil Mongolia datang sendiri ke sini, kalau harapkan kerajaan Malaysia, lima tahun pun belum tentu boleh selesai,” katanya.

“Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita patut tunjukkan simpati dan ambil berat untuk membantu mereka mencari keadilan,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Konsular Kementerian Luar Negara dan Perdagangan Mongolia, G Gankhuyag menyatakan bahawa, kerajaan Malaysia lembap dalam mengendali kes pembunuhan Altantuya. Kenyataan itu dipetik dalam satu wawancara dengan laman web Mongolia dan didedahkan Gwo Burne dalam satu sidang media 28 Jun lalu.


Anwaribrahimblog

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.